SIRI 353
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 5: Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq
Fasal 3: Fakta-Fakta Penting Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq
Fakta 4: Warisan Terpelihara Keaslian dan Kesuciannya
Mursyid menerima dan memindahkan Ilmu Agama dan rahsia-rahsia Ketuhanan dengan jalan yang sangat murni — yang tetap terpelihara kesuciannya. Iaitu kaedah pemindahan Ilmu yang terpelihara daripada noda dan gangguan nafsu. Dan terpelihara daripada dimasuki iblis dan kuncu-kuncunya. Dan terpelihara daripada dipintas oleh mana-mana Penguasa Dunia, baik kafir, fasiq atau munafiq.
Kaedah Kesinambungan yang bersifat Rabbani yang membawa petanda khusus Pemeliharaan Allah ke atas Warisan Suci Rasulullah ﷺ. Keistimewaan Kesinambungan Generasi Mursyid Pewaris Nabi yang memegang AMANAH Rasulullah ﷺ sebagai Pewaris Nabi adalah terletak pada kaedah penerimaan atau perpindahan Ilmu dalam bentuk yang sangat rapi dan terpelihara keasliannya, iaitu:
(1) Penerimaan Ilmu zahir Syari'at dengan Wasilah Bai'at (janji setia) dan Talaqqi Musyafahah (berhadapan dan menerima langsung dari lisan Gurunya, yang sambung-menyambung ilmu sampai Rasulullah ﷺ).
(2) Penerimaan Ilmu Haqiqat dan Ma'rifat melalui limpahan HATI (Mursyid) ke dalam HATI (murid).
(3) Penerimaan ilmu langsung dari Allah — Limpahan Anugerah Nur Allah terus ke dalam dada Mursyid, yang dipanggil Kasyaf, Khitob, Firasat, Ladunni.
Dengan disiplin perpindahan ilmu yang sangat ketat ini, Warisan Rasulullah ﷺ terus-menerus terpelihara keaslian dan kesuciannya sampai Qiamat di tangan sekalian Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq. Sementara ilmu yang disebarkan oleh Ulama selain mereka sentiasa terdedah kepada unsur-unsur penyelewengan dan kesesatan.
Guru-guru biasa atau Ulama awam, Ulama fiqh, Alim kitab, yang hanya mahir di dalam Syari’at semata-mata, tidak sunyi dari melakukan penyelewengan mengikut nafsu dan bisikan-bisikan syaitan. Bahkan berdasarkan bukti-bukti sejarah, inilah kebenarannya.
Orang alim fiqh yang tidak mempunyai Mursyid sebagai pemimpin inilah yang jatuh menjadi “Ulama As-su”, “Ulama dunia”, “Ulama politik keji dan kufur”, “Ulama ilmu Kalam sesat” yang membuat firqah-firqah sesat yang berjumlah 72 golongan sesat Aqidah dan golongan sesat di dalam keruhanian berjumlah 11 golongan (sebagaimana fatwa oleh Al-Imam Shaikh Abdul Qadir Jilani Radhiallahu Anhu).
Pada zaman ini lahir lagi berbagai-bagai kelompok yang jelas bertentangan dengan Prinsip-prinsip Ahlus Sunnah Wal Jama’ah yang tulen. Mereka mencipta jalan-jalan sendiri lalu mendakwa merekalah pendokong Ahlus Sunnah yang benar. Mereka tertipu dengan angan-angan sendiri.
Ringkasnya…
Hanya Ilmu yang diwarisi oleh Mursyid yang Siddiq, turun-temurun daripada Rasulullah ﷺ, benar-benar terpelihara keaslian dan kesuciannya. Sedangkan ilmu yang datang dari sumber-sumber lain terdedah kepada pencemaran, penyelewengan dan kesesatan. Inilah sebabnya setiap Muslim diperintah mencari Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq dan berpegang teguh kepada beliau sampai akhir hayatnya.
Bersambung siri 354 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
___________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment