Tuesday, April 21, 2026

SIRI 254


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 4:  Tingkatan Iman

Fasal 3:  Iman Orang Awam


Fakta-fakta Iman Orang Awam

Fakta ke-10:  Perincian Syirik khafi ke-5:  Tawakkal kepada makhluq



Kemusykilan dan Jawapan:

Berikut adalah kemusykilan-kemusykilan serta jawapannya berhubung dengan persoalan "Tawakkal kepada makhluq" yang sering menjadi kekeliruan di kalangan Ummat.



Kemusykilan 1:

Mengapa perbahasan berkenaan "Tawakkal kepada makhluq" diletakkan di bawah Ilmu Tasawwuf / Toriqat dan BUKAN di bawah Usuluddin / Ilmu Kalam / Perbahasan Sifat 20?


JAWAPAN:

"Tawakkal kepada Allah" dan lawannya "Tawakkal kepada makhluq" dibincangkan di dalam Ilmu Tasawwuf kerana ianya berkaitan dengan HATI, berhubung dengan Syirik Khafi serta Tauhid yang hakiki.  Menurut Ijtihad Ulama Ahlus Sunnah yang Mu'tabar, sekalian Ilmu, amal dan hal ehwal yang berkaitan dengan HATI dihimpunkan di dalam Ilmu Tasawwuf.  


Sedangkan Ilmu Perbahasan Sifat 20 / Ilmu Kalam menumpukan aspek aqal, mengkayakan hujjah aqal, membincangkan hal-hal berhubung dengan Syirik Jali dan Tauhid pada aqal.  Di dalam perbahasan ilmu ini, hal HATI tidak diberi penekanan khusus.  Mereka TIDAK memberikan perhatian khusus kepada Syirik khafi yang membawa kepada kerosakan Iman dan kebinasaan amal kebaikan.


Inilah sebabnya telah sepakat sekalian Ulama Mu'tabar, WAJIB mendidik hati / sucikan hati melalui Toriqat dengan pimpinan Mursyid yang Siddiq.  Meskipun dia sudah bergelar Ulama (Ulama Fiqh atau Guru Besar Usuluddin), dia tetap wajib masuk kepada Pimpinan Mursyid yang Siddiq.



Kemusykilan 2:

JIka datang lintasan sekejap sahaja kemudian dia tolak lintasan tersebut segera, adakah jatuh Syirik khafi juga?


JAWAPAN:

Khatir (lintasan) yang jahat datang dari bisikan nafsu atau hembusan Syaitan ke dalam hati manusia.  Jika seseorang didatangi _khatir_ (lintasan) yang jahat sekejap sahaja dan dia segera menolaknya, maka ini dimaafkan / bukan dosa.  Ini kerana setiap orang Islam awam atau Salikin (yang masih di dalam mujahadah) akan terkena khatir ini.  Seseorang hanya dihukum di atas sesuatu hal yang menjadi "tetap" di dalam hati atau menjadi keyakinan.  


Maksudnya apabila lintasan tadi tidak ditolak segera sehingga ia berubah menjadi "niat" atau "qasad" di dalam hati (menetap di dalam hati), maka ketika itulah menjadi dosa hati.  Sekiranya ia dibiarkan terus sehingga menjadi "keyakinan" yang dipegang, maka ini bahaya lebih besar kerana boleh menjerumuskan kepada "kekufuran" atau "Syirik Akbar".  Wal Iyazubillah.


Inilah sebabnya setiap murid pada Jalan Ma'rifat dilatih dengan Zikrullah serta sistem penyucian jiwa.  Ketika datang lintasan, maka Zikrullah yang sentiasa berdiri di dalam hati akan segera menolak lintasan tersebut sehingga terselamatlah mereka dari dosa Syirik. (syirik khafi)


Bersambung siri 255 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

_________________________________

  MAJLIS TAZKIRAH JILANI     

        🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

SIRI 260 KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَة...