SIRI 255
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 3: Iman Orang Awam
Fakta-fakta Iman Orang Awam
Fakta ke-10: Perincian Syirik khafi ke-5: Tawakkal kepada makhluq
Kemusykilan dan Jawapan:
sambungan.....
Kemusykilan 3:
Sebahagian penuntut yang mendalami Ilmu perbahasan Sifat 20 mendakwa begini: "Tawakkal kepada makhluq bukan suatu dosa kerana ianya tak dapat dielakkan". Atau mereka berkata: "Tawakkal kepada makhluq bukan suatu dosa kerana ianya dimaafkan".
JAWAPAN:
Kedua-dua ungkapan di atas BUKAN pegangan Ahlus Sunnah yang benar (tulen). Ianya adalah pendirian Golongan sesat yang terkeluar dari Ahlus Sunnah. Meskipun barangkali mereka mengaku mereka kiyai, ustaz, muallim dsb. Namun mereka adalah pendusta dan penyamar di kalangan Ahlus Sunnah. Mereka telah terang-terangan menentang Al-Qur'an, Hadith dan Ijma' Ulama Mu'tabar. (Yang kami maksudkan dengan Ulama Mu'tabar adalah Ulama Ahlus Sunnah bertaraf Auliya Allah yang menjadi Pemimpin Ummat sepanjang zaman. Mereka adalah Pemimpin kepada jalan lurus — satu-satunya jalan yang di-Rahmati Allah. Mereka BUKAN pendusta Agama)
Adapun yang dimaafkan adalah khatir (lintasan) seperti jawapan kami pada Soalan kedua di atas. Hujjahnya telah banyak kami sebutkan sebelum ini, maka tidak diulangi lagi.
Kemusykilan 4:
Jika seseorang memohon suatu pertolongan kepada manusia lain, apakah ianya menjadi kesalahan atau dianggap sama seperti Tawakkal kepada makhluq?
JAWAPAN:
Tidak.
Memohon pertolongan kepada manusia lain dalam urusan kehidupan di atas muka bumi adalah harus dan tidaklah termasuk larangan, selama TIDAK bergantung hati kepada makhluq dan TIDAK menyandarkan kejayaan atau suatu keberhasilan kepada keupayaan makhluq.
Memang benar, memohon pertolongan secara mutlaq adalah kepada Allah Ta'ala semata-mata. Misalnya memohon secara umum sihat tubuh badan, mohon murah Rezeki yang halal, mohon Keselamatan diri dan ahli keluarga..... semua ini semata-mata ditujukan kepada Allah Ta'ala kerana Dia Yang Maha Kaya, Dia Yang Maha Pemberi Rezeki, Dia Yang Maha Pemberi Perlindungan.
Walau bagaimanapun memohon pertolongan kepada manusia untuk suatu keperluan kehidupan adalah harus. Misalnya seseorang buruh memohon pekerjaan kepada Pemilik Syarikat, atau pesakit memohon rawatan doktor, atau seseorang memohon pertolongan mekanik untuk baiki keretanya yang rosak.
Tolong-menolong sesama manusia adalah setengah dari tanda-tanda kelemahan dan kekurangan manusia. Sekalian makhluq adalah lemah, tiada daya upaya. Allah Ta'ala menjadikan manusia saling memerlukan untuk menyempurnakan urusan kehidupan atas muka bumi. Petani memerlukan benih dan baja untuk menghasilkan tanaman. Penjual benih dan baja memerlukan beras dan sayuran yang dihasilkan oleh Petani. Peniaga memerlukan pengangkutan dan logistik untuk eksport barangannya ke tempat lain. Syarikat pembinaan memerlukan bantuan berbagai pihak yang menghasilkan simen, batu, pasir, kayu, besi untuk mendirikan bangunan. Peniaga, pedagang, doktor, polis, guru memerlukan makanan laut yang diusahakan oleh nelayan. Begitulah Taqdir Allah Ta'ala menjadikan manusia saling menolong di dalam urusan kehidupan di atas muka bumi.
Bersambung siri 256 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
_________________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment