SIRI 253
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 3: Iman Orang Awam
Fakta-fakta Iman Orang Awam
Fakta ke-10: Perincian Syirik khafi ke-5: Tawakkal kepada makhluq
Contoh-contoh Tawakkal kepada makhluq
sambungan.......
Contoh ke-7 Tawakkal kepada makhluq:
Orang yang gemar bersedekah merasakan di dalam dirinya bahawa dia yang melakukan sedekah tersebut tanpa menyandarkannya kepada fudhlah kemurahan yang Allah Kurniakan kepadanya. Perbuatan ini adalah Tawakkal kepada makhluq yang merupakan dosa Syirik. (syirik khafi)
Contoh ke-8 Tawakkal kepada makhluq:
Seseorang yang berda'wah dan berjihad harta yang banyak merasakan di dalam dirinya bahawa dia mempunyai keupayaan untuk melakukan sekalian kebajikan tersebut.
Demikian sebahagian contoh-contoh yang lazim terjadi di kalangan Ummat Islam.
Semua contoh yang tersebut di atas dan contoh-contoh lain sepertinya adalah syirik khafi kerana menyandarkan suatu amal kebaikan kepada diri sendiri atau meletakkan pergantungan pada amal atau meletakkan diri pada kedudukan mampu melakukan sesuatu dengan daya usaha sendiri atau makhluk lain sedangkan sekalian makhluk tidak mempunyai daya upaya sedikit pun!!! Sedangkan sekalian kejayaan / kemenangan adalah Rahmat Allah Ta'ala Yang Maha Penyayang.
Tidak ada yang boleh memberikan kejayaan melainkan Dia!
Tidak ada yang mampu melepaskan diri dari segala bencana selain Dia!
Firman Allah:
مَا شَآءَ ٱللَّهُ لَا قُوَّةَ إِلَّا بِٱللَّهِ
"Sekaliannya menurut barang yang dikehendaki Allah. Tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah".
[Al-Kahfi (18) : Ayat 39]
Firman Allah:
وَمَا تَشَاءُونَ إِلَّا أَنْ يَشَاءَ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًا
“dan tiadalah kamu berkemahuan (melakukan sesuatu perkara) melainkan dengan cara yang dikehendaki Allah; Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana (mengaturkan sebarang perkara yang dikehendaki-Nya)”.
[Al-Insan (76) : Ayat 30]
Rasulullah ﷺ bersabda:
“dan ketahuilah bahawa jikalau makhluq sekaliannya berhimpun untuk memberi kamu suatu manfaat tidaklah perkara itu bermanfaat bagi kamu melainkan Allah telah menetapkannya untukmu dan jikalau mereka berhimpun untuk memudaratkan kamu maka tidaklah akan memudaratkan kamu melainkan Allah jua yang telah menetapkannya bagimu, telah diangkat Qalam dan telah selesai ditulis suhuf (tempat tulisan takdir)”.
[Imam Tirmizi, Imam Ahmad]
Perhatikan sungguh-sungguh!
Seperti kami katakan pada awal huraian bab ini, bergantung hati kepada makhluq, menyandarkan amal kebaikan kepada diri sendiri, menyandarkan kamampuan untuk mencapai kejayaan atau menolak suatu kecelakaan tanpa menghubungkannya kepada Kemurahan Allah adalah Syirik Khafi, dan ini berbeza dengan 'Ujub.
Semua contoh yang kami paparkan di atas BUKAN 'Ujub tetapi lebih halus dari Ujub yang mana hampir-hampir tak dapat dikesan oleh orang awam termasuk ahli Usuluddin, ahli Ilmu Kalam yang hanya bergelumang dengan ilmu perdebatan tanpa mendidik hati, tanpa mensucikan hati menurut Disiplin Ma'rifat.
Bersambung siri 254 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
_________________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment