Saturday, April 18, 2026

SIRI 241


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 4:  Tingkatan Iman

Fasal 3:  Iman Orang Awam


Fakta-fakta Iman Orang Awam

Fakta ke-9:  Perincian Syirik khafi ke-4:  Ujub

sambungan....



Penjelasan 8:  'Ujub dengan kekayaan:


Orang yang memiliki kekayaan, harta benda, gedung-gedung perniagaan merasakan dirinya bagus, rasa diri hebat, rasa diri pintar kerana mampu mengumpulkan kekayaan yang banyak.  Rasa diri bagus, rasa diri hebat, rasa diri pintar, walaupun tiada siapa mendengarnya, maka ini adalah syirik khafi.


Golongan hartawan, jutawan seringkali berkata-kata dalam hati:  "Aku banyak harta kerana aku pandai usaha".  Mereka lupa kepada Allah yang Kurniakan mereka segala kekayaan.  Walaupun pada zahirnya kamu yang berusaha tungkus lumus, tetapi pada haqiqatnya yang melorongkan semua itu adalah Allah Ta'ala Yang Maha Pemurah.


Walaupun kamu yang memerah otak, kamu yang mengerah tenaga, kamu yang habiskan kekuatan sehingga tercapai segala kekayaan kamu itu, haqiqatnya yang Kurniakan otak, tenaga, kekuatan, kebijaksanaan, kepintaran adalah Allah Ta'ala Yang Maha Perkasa.  Sebab itu wajib kamu syukuri segala kekayaan yang kamu peroleh, bukan bermegah-megah, bukan rasa kehebatan diri dan bukan rasa kepandaian diri!


Selain dari dosa syirik, orang yang merasa diri hebat mampu mengumpulkan kekayaan yang banyak, akan menjadi bakhil.  Seringkali dia bertanya begini:  "Mengapa aku perlu habiskan harta yang aku penat-penat mencari kepada orang lain?"  Maka perbuatannya mengheret kepada dosa besar lain, dosa bakhil!


Sepatutnya dia membahagikan harta kekayaan yang banyak yang Allah Kurniakan kepada manusia lain, terutama yang benar-benar memerlukan, bukan menyimpan untuk diri sendiri semuanya.  Jika dia berbuat demikian dia akan memperoleh Rahmat Allah dan bertambah-tambah rezekinya.



Penjelasan 9:  'Ujub dengan banyaknya anak atau pengikut: 


Merasa hebat dengan banyaknya anak atau banyaknya pengikut adalah satu lagi sifat 'ujub yang mengheret kepada Syirik.  Mereka berbangga-bangga, megah, rasa diri hebat kerana mampu mengumpulkan banyak pengikut. 


Dipandang pada suatu sudut yang sempit, barangkali seseorang pemimpin yang mempunyai pengikut yang ramai adalah baik dan beruntung.  Tetapi awas, pengikut yang ramai juga boleh menjadi sebab seseorang pemimpin mendapat saham dosa yang banyak tak terhitung dan terheret ke Neraka.  Iaitu ketika dia biarkan mereka di dalam kefasikan dan kesesatan, pemimpin tersebut akan mendapat saham dosa pengikutnya.  Maka mempunyai pengikut yang ramai bukan sesuatu kebanggaan tetapi kebinasaan.  Ertinya bermegah dengan pengikut yang ramai bukan sahaja mendapat dosa syirik, tetapi dia mendapat dosa-dosa pengikutnya.

 

Jika engkau bertanya apa cara selamat, maka jawapannya:

Syukur kepada Allah dengan pengikut yang ramai, jangan sesekali 'ujub rasa diri hebat dengan pengikut yang ramai sebaliknya takut kepada Allah.  Di samping itu kamu sentiasa waspada, pastikan pengikut-pengikut kamu tetap di atas Jalan Ahlus Sunnah Wal Jama'ah.


Bersambung siri  242 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

_________________________________

  MAJLIS TAZKIRAH JILANI     

        🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

SIRI 246 KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَة...