Saturday, April 18, 2026

SIRI 236


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 4:  Tingkatan Iman

Fasal 3:  Iman Orang Awam


Fakta-fakta Iman Orang Awam

Fakta ke-9:  Perincian Syirik khafi ke-4: Ujub

sambungan....



Fakta Sifat 'Ujub

==============


Berikut adalah beberapa fakta berhubung dengan sifat 'Ujub yang wajib diperhatikan, diperhalusi dan difahami sungguh-sungguh oleh setiap orang beriman sehingga jelas baginya akan bahayanya kepada Tauhid serta amal ibadahnya: 


(1) 'Ujub merupakan satu lagi Syirik Khafi yang membawa kepada binasanya amal serta rosaknya Tauhid/ Iman.  


(2) 'Ujub adalah termasuk Syirik Khafi kerana ia merupakan perbuatan "menyekutukan Allah di dalam hati".

Apabila seseorang beriman menyangka lalu i'tiqad di dalam hati bahawa dia memiliki keistimewaan, kehebatan, kemuliaan tersendiri lalu takjub dengannya, maka jatuhlah dia kepada Syirik yang amat halus ini. 


(3) 'Ujub lebih halus dari Takabbur, Riya' atau Sum'ah.  Meskipun semua ini Syirik Khafi, sifat 'Ujub adalah lebih tersembunyi kerana ianya  TIDAK kelihatan pada pandangan zahir.  Ia semata-mata terpendam di dalam hati sehingga tiada siapa pun akan menyangka wujud sifat ini pada seseorang yang terlihat melakukan amal ibadah, sedekah, da'wah atau kebajikan lainnya.


(4) 'Ujub boleh menjadi pangkal kepada timbulnya Sifat Takabbur, Riya' dan Sum'ah.  Ertinya bermula dari menghairani dirinya, merasa takjub dan hebat di dalam hati pada awalnya, ia akan menular menjadi lebih besar kepada Sum'ah, Riya' atau Takabbur.


(5) 'Ujub ini lazimnya terjadi kepada mereka yang mempunyai kelebihan tertentu yang Allah Ta'ala Kurniakan; sama ada berbentuk duniawi seperti orang berpangkat, keturunan bangsawan, kaya-raya, jutawan, harta banyak, rumah mewah, rupa yang tampan, petah bercakap dll.  Atau suatu kelebihan ukhrawi seperti memiliki banyak ilmu Syari'at, banyak ilmu pidato, banyak hafal Hadith, banyak melakukan ibadah malam, rajin baca Al-Qur'an, fasih baca Al-Qur'an, banyak sedekah, mengerjakan Haji berulang-ulang atau ibadah-ibadah lainnya.  Dengan semua kelebihan ini mereka rasa aman, hebat dan selamat.  Mereka menyangka diri mereka sudah hebat dengan berbagai kelebihan tersebut sehingga tertutup mata hati melihat Yang Empunya Kemuliaan.


(6) 'Ujub akan datang tanpa diundang, ertinya sifat tercela ini boleh jadi timbul tiba-tiba di dalam hati walaupun pada awalnya seseorang tidak mempunyai sebarang niat yang terpesong.  Ketika ini seseorang yang sedang melakukan ibadah mempunyai pilihan sama ada menolaknya segera dengan istighfar dan taubat.  Atau dia biarkan perasaan 'Ujub itu menguasai dirinya.  Di dalam kebanyakan keadaan, si abid (hamba yang melakukan ibadah) tidak mampu menolak sifat 'Ujub yang mendatang ini kerana dia akan menyangka diri dia layak dengan pujian tersebut.  Si abid menyangka dia sangat layak dengan pujian tersebut disebabkan ibadah yang dilakukannya sememangnya sangat cemerlang.  Ketika inilah dia jatuh kepada Syirik khafi tanpa disedari.


(7) 'Ujub timbul dari hati yang telah dicemari oleh hembusan nafsu-nafsu jahat serta bisikan Syaitan.  Inilah sebabnya WAJIB tanpa kecuali bagi setiap orang beriman berusaha sungguh-sungguh menyucikan batinnya menurut panduan Masyaikh-Masyaikh Ahlus Sunnah sehingga dia benar-benar bebas dari belenggu nafsu jahat dan bisikan syaitan.  Tanpa usaha yang sungguh-sungguh seseorang akan tetap bergelumang di dalam 'Ujub ini sehingga seringkali jatuh dan bangun semula.  Kemudian jatuh tersungkur dan bangun lagi.  Demikianlah hal kebanyakan orang awam yang tidak mempunyai jalan menyucikan hatinya.


(8) Orang yang kekalkan sifat 'Ujub di dalam dirinya tanpa taubat serta tidak sungguh-sungguh melawan bisikan nafsu dan syaitan yang mendorongnya kepada 'Ujub ini, maka dia jauh dari Rahmat Allah serta dekat dengan Kemurkaan Allah. 


Bersambung siri  237 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

_________________________________

 MAJLIS TAZKIRAH JILANI     

        🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

SIRI 246 KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَة...