Tuesday, February 10, 2026

SIRI 46


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

 

Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ

Fasal 5: Dalil Toriqat (Tasawwuf)

 

Dalil 17, 18, 19:

sambungan...

 

Contoh-contoh kebinasaan akibat cinta dunia

 

Berikut adalah beberapa contoh "cinta dunia" dan "kemegahan dunia" yang berlaku pada zaman dahulu yang berakhir dengan kebinasaan. 

 

Contoh 1 :  Kisah kaum 'Aad

 

Ini adalah kisah kaum 'Aad yang leka, lalai, tenggelam di dalam kemewahan dan kekayaan dunia serta lupa kepada Allah, bermegah-megah dengan pembangunan negara yang serba maju, megah dengan kekuatan dan kekuasaan....  akhirnya menerima kebinasaan akibat kekafiran mereka.  Wal Iyazubillah.

 

Kaum 'Aad adalah generasi ke-empat keturunan Nabi Nuh Alaihis Salam.  Mereka tinggal di Jazirah 'Arab di bahagian Utara Hadramaut, Yemen.  Allah Ta'ala Mengurniakan kekayaan dan kemewahan melimpah ruah kepada kaum 'Aad.  Mereka hidup senang-lenang dan makin lupa kepada Allah Ta'ala.  Segala Ni'mat dunia berupa bangunan-bangunan mewah, makanan yang mewah-mewah, kebun-kebun subur yang terbentang luas menjadikan mereka kufur. Ketika Nabi Hud diutus oleh Allah untuk memperingatkan mereka, hanya sedikit yang beriman kepada Baginda.  Kebanyakannya menentang.  Akibatnya Allah Ta'ala menurunkan 'Azab yang berat, angin kencang yang amat sejuk melanda kaum 'Aad sehingga mereka mati bagaikan kayu yang reput.

 

Firman Allah:

 

وَأَمَّا عَادٌ۬ فَأُهۡلِڪُواْ بِرِيحٍ۬ صَرۡصَرٍ عَاتِيَةٍ۬ (٦) سَخَّرَهَا عَلَيۡہِمۡ سَبۡعَ لَيَالٍ۬ وَثَمَـٰنِيَةَ أَيَّامٍ حُسُومً۬ا فَتَرَى ٱلۡقَوۡمَ فِيہَا صَرۡعَىٰ كَأَنَّہُمۡ أَعۡجَازُ نَخۡلٍ خَاوِيَةٍ۬ (٧) فَهَلۡ تَرَىٰ لَهُم مِّنۢ بَاقِيَةٍ۬

 

"Adapun 'Aad (kaum Nabi Hud), maka mereka telah dibinasakan dengan angin ribut yang kencang, yang melampau kencangnya.  Yang diarahkannya menyerang mereka tujuh malam lapan hari terus-menerus; (kalaulah engkau menyaksikannya) maka engkau akan melihat kaum itu bergelimpangan mati, seolah-olah mereka batang-batang pohon kurma yang (tumbang dan) lompong.  Dengan yang demikian, dapatkah engkau melihat lagi sisa-sisa mereka (yang masih hidup)?

[Al-Haqqah (69) : Ayat 6-8 ]

 

I'tibar : Akibat cintakan dunia dan lupakan Akhirat, akibat tenggelam di dalam kenikmatan dunia dan lupakan Yang Empunya Kurnia, akibat bermegah-megah dengan kelebihan dunia dan lupakan Allah Yang Maha Pemurah .... maka dibinasakan semuanya di dalam sekelip mata.  Wal Iyazubillah.

 

 

Contoh 2: Kisah Namrud

 

Alla Ta'ala Kurniakan kepandaian, kepintaran dan berbagai kelebihan dunia kepada Namrud, bahkan menjadikannya Raja yang sangat berkuasa di Negeri Babylon (negeri Iraq sekarang).  Namun dia tidak bersyukur sebaliknya menjadi kafir. Kekayaan harta benda dan duniawi yang melimpah-limpah bukan sahaja menjadikan dia kafir bahkan lebih jahat lagi dia mengaku dirinya Tuhan.  Namrud memaksa rakyatnya agar menyembahnya sebagai Tuhan.

 

Kesudahan kisahnya... Allah Ta'ala binasakan Namrud dengan mengirimkan seekor nyamuk ke dalam otaknya.  Namrud menggelupur kesakitan setiap kali nyamuk tersebut menggigit otaknya.  Setiap kali Namrud menggelupur kesakitan, kepalanya terpaksa dipukul dengan sepatu (kasut) untuk meredakannya sebentar.  Kemudian berulang lagi kesakitan dan dipukul lagi kepalanya dengan kasut. Demikian keadaannya sampai dia mati di dalam keadaan sangat hina. 

 

I'tibar :  Kepandaian duniawi, kepintaran, kecekapan aqal fikiran dan intelek yang tinggi menjadikan manusia merasa dirinya hebat dan lupa kepada Tuhan Rabbul Jalil Yang Mengurniakannya.  Kerajaan besar, negeri yang kaya-raya... menjadikan manusia sombong takabbur... lupa kepada Allah Ta'ala... maka matilah manusia di dalam kehinaan.  Wal Iyazubillah.

 

Bersambung siri 47 اِ نْ شَآ ءَ اللّه

____________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

SIRI 55 بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ   Bab 2: Syari'...