Monday, February 09, 2026

SIRI 33


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

 

Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ

Fasal 5: Dalil Toriqat (Tasawwuf)

sambongan...


Dalil 6: Firman Allah:

 

Firman Allah:

 

 وَمَآ أُمِرُواْ إِلاَّ لِيَعْبُدُواْ اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدّينَ 

 "Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya."

[Al-Bayyinah (98) :  Ayat 5] 

 

Rasulullah   ﷺ  bersabda:

"Sesungguhnya Allah tidak akan menerima amal kecuali amal yang dilaksanakan dengan ikhlas dan dilakukan semata-mata untuk mengharap Redha Allah.

[Imam Abu Daud, Imam An-Nasa'i]

 

Dalil tersebut adalah berhubung dengan ikhlas dan sudah pasti ianya berkaitan dengan HATI.

 

Ikhlas adalah syarat sah ibadah.  Tanpa ikhlas, sekalian ibadah akan musnah, sia-sia dan rugi.  Walaupun seseorang pernah ibadah ribuan tahun, walaupun dia puasa sepanjang usia, walaupun dia sedekah seluruh hartanya, walaupun dia jihad fi sabilillah dan mati di dalamnya ...  namun semua ini TANPA ikhlas Lillahi Ta'ala, maka semua itu tiada makna apa-apa, akan sia-sialah segala amalnya, rugilah dia dunia akhirat.  Namun apakah hakikat Ikhlas?

 

●Apakah itu ikhlas?

●Apakah hakikat ikhlas?

●Berapakah Tingkatan Ikhlas?

●Apakah kaitan ikhlas dengan Tauhid yang murni?

 

Fakta-fakta berkenaan "ikhlas" secara ringkas, menurut Ahlus Sunnah:

 

(1) Ikhlas adalah pintu qabul (diterima) atau mardud (ditolak) amalnya oleh Allah Ta'ala.

 

(2) Ikhlas sebenar adalah ikhlas semata-mata kerana Allah Ta'ala tanpa disertai suatu apa pun bersertanya sama ada dunia atau juga akhirat bersifat kebendaan.

 

(3) Orang yang beribadat kerana ingin pahala dan segala ke-Nikmatan Syurga berupa istana, makanan enak, minuman enak, kecantikan bidadari dan sebagainya - ikhlasnya adalah peringkat kanak-kanak atau ikhlasnya orang buruh.

 

(4) Orang yang beribadat semata-mata kerana Allah tanpa suatu apa bersertanya adalah ibadah yang sebenar ikhlas yang di-Redhai Allah.

 

(5) Selok-belok perbahasan berkenaan dengan "ikhlas"  dijelaskan ddalam Kitab Tasawwuf.  Kitab Fiqh atau Usuluddin tidak membahaskan hal ini.

 

(6) Para Masyaikh Ahlus Sunnah telah menyelami sekalian maksud-maksud "ikhlas " sampai ke dasar lautan Ilmu dan melakukan ijtihad menjelaskannya secara terperinci.

 

(7) Untuk memperoleh hakikat ikhlas sebagaimana yang di-Redhai Allah, seseorang perlu mujahadah sungguh-sungguh menyucikan batinnya melalui Toriqat Mu'tabar Ahlus Sunnah dengan pimpinan Guru yang Arif (Mursyid yang siddiq).

 

Tingkatan Ikhlas: 

 

Ulama Arif membahagikan ikhlas kepada beberapa tingkatan:

 

1. Ikhlas orang awam 

2. Ikhlas orang abrar 

3. Ikhlas orang Arif

 

Sebahagian lainnya memberikan perincian lebih halus dengan pembahagian berikut:

 

Ikhlas orang awam - 3 tingkatan 

Ikhlas salikin - 3 tingkatan 

Ikhlas Arifin - 1 tingkatan

 

Jika seseorang tidak menempuh jalan Ma'rifat (amalkan kedua-dua sekali, Syari'at dan Toriqat) dengan bimbingan Guru yang Arif (Mursyid yang Siddiq, Pewaris Nabi sebenar), maka tak mungkin dia mencapai keikhlasan sejati.

 

Bersambung siri 34 اِ نْ شَآ ءَ اللّه

____________________________

 MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

MENCARI MURSYID PEWARIS NABI YANG SEBENAR - FASAL 15 - AKHIR

بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ Fasal 15 :   Khotimah Demikianlah kami m...