SIRI 22
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ
Fasal 4: Definisi Tasawwuf
Dari segi Bahasa:
Dari sudut bahasa, Tasawwuf dan Sufi dikatakan berasal dari beberapa ungkapan:
(1) Dari kalimah الصَفَاءُ [Sofa] yang melambangkan kesucian hati daripada Syrik khafi dan sifat-sifat mazmumah.
(2) Dari kalimah صُوْفُ [Suf]
yang menjadi pakaian ahli-ahli zuhud menjauhi kemewahan dunia.
(3) Dari kalimah الصَّفُّ [Saf] yang bermaksud saf solat kerana Ahli
Tasawwuf berada di saf hadapan ketika solat.
(4) Dari kalimah الصُّفَّةُ, [Suffah]
iaitu tempat di utara masjid Nabi yang menjadi tempat bermalam bagi
sahabat-sahabat Nabi yang zuhud lagi fakir.
Mengikut riwayat Imam al-Bukhari daripada Abu Hurairah katanya: Aku
pernah melihat 70 orang daripada kalangan ahli suffah yang tinggal di tempat
tersebut.
(5) Dari kalimah سُوْفِيَا
[Sufiya] yang membawa maksud hikmah
kebijaksanaan.
Dari segi istilah:
Dari sudut istilah, Ulama Ahlus Sunnah memberikan banyak
Ta'rif yang berbeza-beza. Menurut Imam
Zarruq, terdapat lebih 2000 ta'rif yang
merujuk kepada Ilmu Tasawwuf.
Walaupun berbagai ta'rif diberikan oleh Ulama Arif, namun ianya tidak bertentangan. Sebaliknya
kesemua ta'rif tersebut saling melengkapi dan menguatkan antara satu dengan
lain. Dan apabila diteliti secara halus kesemua istilah tersebut membawa makna
yang menuju kepada satu pengkhususan iaitu -
HATI dan KESUCIAN HATI!
Penjelasan
(1) Ilmu Tasawwuf (Toriqat dan haqiqat Tasawwuf) adalah satu
dari cabang utama Ajaran Islam menurut pegangan Ahlus Sunnah yang benar
(tulen).
(2) Perbezaan Toriqat dan Ilmu Tasawwuf adalah:
Toriqat adalah wahyu yang datang dari Allah, tiada berubah
sama sekali sedangkan Tasawwuf adalah Ijtihad Ulama Ahlus Sunnah.
(3) Maksud utama Tasawwuf adalah kesucian hati.
Kesucian HATI yang dimaksudkan adalah kesucian daripada
sekalian kesyirikan, syirik khafi (syirik tersembunyi), mazmumah (kekejian) dan
ghaflah (kelalaian). Dengan erti kata
yang tegas, Tasawwuf atau Toriqat membawa insan kembali kepada fitrah dirinya
suci murni…! Dan inilah hakikat seruan sekalian Anbiya dan Mursalin - Seruan kepada Kalimah Tauhid yang suci
Kalimah La Ilaha Ilallah.
(4) Sama seperti Ilmu Fiqh, Ilmu Tasawwuf juga takluk kepada
hukum Syara' — Wajib, Sunnat, Makruh, Halal, Haram.
(5) WAJIB bagi setiap Muslim amalkan kedua-dua Syari'at
(fiqh) dan Toriqat (tasawwuf). Apabila seseorang Muslim amalkan kedua-dua ilmu
ini — Syari'at (fiqh) dan Toriqat (tasawwuf) dengan pimpinan Guru yang rasyid -
Mursyid, maka akan terhasil baginya ilmu
Tauhid yang murni.
(6) Barang siapa abaikan salah satu daripadanya, maka dia
akan jatuh kepada fasiq atau zindiq.
(7) Sebahagian budak-budak baru yang baru berjinak-jinak
dengan Ilmu Tasawwuf mendakwa Tasawwuf tiada hukum, hanya fadhilat sahaja. Ini
kebodohan, kerana menurut penelitian Ahli Ma'rifat, dosa yang terkumpul di
dalam hati akibat dosa-dosa hati adalah jauh lebih banyak berbanding dosa
zahir.
(8) Mempertikaikan Syari'at (fiqh) atau Toriqat (tasawwuf)
adalah kebodohan yang mencelakakan, kerana orang-orang yang mempertikaikan
demikian adalah menentang Allah dan Rasul.
Wal Iyazubillah
Bersambung siri 23 اِ نْ شَآ ءَ اللّه
____________________________
MAJLIS TAZKIRAH
JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment