■■■■■■■■■■■■■■■■■
PENYAKIT HATI
BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI
(Siri 766)
■■■■■■■■■■■■■■■■■
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 70:
Mufaraqah dari Saf Ummat
sambungan...
Rawatan dan Penjagaan
Rawatan dan penjagaan agar tidak terkena penyakit ini bermula dari awal-awal seseorang itu masuk Islam atau awal-awal dia mengenal Allah dan mengenal tuntutan Agama. Sebahagiannya kami telah sebut di dalam risalah-risalah sebelum ini.
(1) Langkah pertama seseorang Muslim mengenal Agama yang lurus, yang benar ialah mencari Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (benar). Meskipun dia sudah bergelar sebagai orang alim yang hebat, atau dia mempunyai kedudukan di dalam masyarakat sekalipun atau dia memegang ijazah universiti yang hebat-hebat sekalipun, atau dia seorang yang dikenali sebagai Kiyai pondok yang hebat sekalipun... tetap wajib bagi dia menerima didikan seorang Guru yang Arif yang benar-benar mewarisi Nabi ﷺ, mengenal Allah menurut Warisan Pendidikan Rasulullah ﷺ.
Firman Allah:
هُوَ ٱلَّذِى بَعَثَ فِى ٱلۡأُمِّيِّـۧنَ رَسُولاً۬ مِّنۡہُمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡہِمۡ ءَايَـٰتِهِۦ وَيُزَكِّيہِمۡ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَإِن كَانُواْ مِن قَبۡلُ لَفِى ضَلَـٰلٍ۬ مُّبِينٍ۬
“Dia-lah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, menyucikan mereka dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan Hikmah (Ilmu rahsia dan pengetahuan mendalam). Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata.”
[Al-Jumu’ah (62) : Ayat 2]
(2) Mengetahui sedikit sebanyak penyelewengan 72 golongan sesat dan sungguh-sungguh menjauhinya sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu atau Imam-imam kita yang lain.
Menurut penjelasan Imam Besar Ahlus Sunnah, Shaikh Abdul Qadir Jilani رضي الله عه kelompok-kelompok yang tersesat dari jalan kebenaran dan terkeluar dari Ahlus Sunnah adalah:
1. Khwarij - 15 kelompok
2. Mu'tazilah - 6 kelompok
3. Murji'ah - 12 kelompok
4. Syiah - 32 kelompok
5. Jahmiyyah - 1 kelompok
6. Najjariyyah- 1 kelompok
7. Dharariyyah - 1 kelompok
8. Kilabiyyah - 1 kelompok
9. Musyabbihah - 3 kelompok
Jumlah semua 72 golongan.
(3) Mengenali penyelewengan Golongan sesat pada zaman ini yang menggunakan Islam sebagai alat mencari keuntungan duniawi dan menjauhinya. Mereka campur adukkan berbagai fahaman batil dan sesat seperti ideologi falsafah atau ilmu kebatinan sesat yang lain ke dalam Agama lalu menonjolkannya sebagai Islam.
(4) Menjauhi politik jahat yang diamalkan oleh sebahagian orang menamakan diri sebagai Islam. Mereka menipu daya Ummat dengan berbagai penyamaran. Sesungguhnya sebahagian besar daripada kerosakan Agama adalah datang daripada ahli-ahli politik dan Ulama jahat.
(5) Menjauhi Ulama As-su (Ulama jahat) yang mengeluarkan fatwa sesat dan menyesatkan. Mereka ini yang mengeluarkan berbagai fatwa sesat mengharamkan Toriqat yang sahih yang warid (datang) daripada Rasulullah ﷺ. Sesungguhnya "Ulama" sesat lebih bahaya daripada Dajjal.
Rasulullah ﷺ bersabda:
"Sesungguhnya aku lebih takutkan akan kamu kepada yang bukan Dajjal daripada Dajjal. Lalu ditanyakan kepada Baginda, "Siapakah itu wahai Rasulullah?" Maka Baginda menjawab, "Imam-Imam (Ulama As-su') yang menyesatkan."
[Imam Ahmad]
(6) Sentiasa mencari Sahabat Iman dan bersama mereka. Sahabat Iman akan sentiasa memperingatkan kamu kepada Iman, Taqwa dan Akhirat.
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Perbandingan teman duduk yang soleh dan buruk adalah seperti penjual minyak wangi dan tukang besi. Adapun penjual minyak wangi, boleh jadi dia akan memberikan kamu minyak wangi, atau kamu akan membeli darinya atau kamu akan mendapat bau harum darinya. Adapun tukang pandai besi, boleh jadi dia akan membuat pakaianmu terbakar, atau kamu akan mendapat bau yang tidak sedap darinya.”
[Imam Bukhari dan Imam Muslim ]
Bersambung siri 767 اِ نْ شَآ ءَ اللّه
_________________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment