Tuesday, August 26, 2025

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 764)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 70:

Mufaraqah dari Saf Ummat

sambungan...




Rumusan 12:

Masyaikh Ahlus Sunnah sepakat bahawa mencari Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (benar), berbai'at dan sungguh-sungguh mengikuti beliau adalah wajib.


Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qadir Jilani Radhiallahu anhu:


“Takabbur, kemunafikan dan ego, adalah panah syaitan yang tertuju pada hati kamu.  Kamu perlu siapkan satu strategi mempertahankan diri dari serangan-serangan ini.  Formula strategi tersebut telah diterangkan dan telah dibuktikan oleh _Mashaa'ikh_ (guru-guru Mursyid).  Kamu perlu mendengar baik-baik arahan mereka dan mematuhinya.  Mereka akan pimpin kamu pada Jalan Allah kerana mereka telah pun melalui jalan tersebut.  Mintalah pada mereka nasihat-nasihat berkenaan nafsu-nafsu (yang rendah dan jahat) dan kelemahan-kelemahan lainnya,  kerana mereka juga pernah mengalami kesulitannya dan menghadapi kesan akibat darinya.  Mereka sangat sedar dan mengetahui bahaya dan ancaman dari nafsu-nafsu kejahatan.  Mereka telah menempuh jalan yang panjang memerangi (nafsu-nafsu tersebut) dengan demikian mereka boleh menghalang, mengawal dan mengalahkan semua kejahatan itu.”

[Fathur-Rabbaniy Wa Faid ar -Rahmaniy]


Imam Fakhruddin Ar-Razi Radhiallahu Anhu:

“Seorang murid tidak memiliki jalan untuk sampai ke maqam-maqam hidayah (Iman, Taqwa, Tauhid  yang murni) dan mukashafah, kecuali dia mengikuti Mursyidnya yang menunjukkannya ke jalan yang lurus serta menghindarkannya dari titik-titik kesalahan dan jalan yang sesat.” 

[Tafsir Mafatih Al-Ghaib]



Berkata Imam Ghazali Radhiallahu anhu:

“Murid memerlukan seorang Mursyid atau guru keruhanian yang dapat diikutinya, agar dia menunjukkannya ke jalan yang lurus. (jalan benar yang di-Redhai Allah).  Jalan agama sangatlah samar, (tak dapat bezakan haq dan batil, benar atau salah) dan jalan-jalan syaitan sangat banyak dan jelas (terbuka luas untuk dimasuki oleh siapa sahaja).  Oleh kerana itu, jika seseorang yang tidak mempunyai Shaikh ( Mursyid ) yang membimbingnya, maka pasti syaitan akan menggiringnya (memimpin dan memujuknya) menuju jalannya.”

[Ihya Ulumuddid Bab Ilmu]


Berkata Imam Al-Ghazali lagi:

“Di antara hal yang wajib bagi seorang salik yang menempuh jalan kebenaran adalah dia wajib mempunyai seorang Mursyid dan pendidik spiritual yang dapat memberinya petunjuk dalam perjalanannya serta melenyapkan akhlak yang tercela dan menggantinya dengan akhlak yang terpuji.” 

[Ihya Ulumuddin]


Bersambung siri 765 اِ نْ شَآ ءَ اللّه

__________________________________

       MAJLIS TAZKIRAH JILANI

          🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

SIRI 140 KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَة...