Tuesday, July 01, 2025

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 671)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 70:

Mufaraqah dari Saf Ummat

sambungan....



Cabang Penting:

Betulkan pegangan batil dan sesat berhubung dengan Tasawwuf Toriqat Rasul ﷺ:


Wujud di kalangan mereka yang mengaku Ahlus Sunnah sendiri, mempunyai pegangan yang salah dan batil berhubung dengan Toriqat dan Tasawwuf.  Ini termasuklah sesetengah Ulama, Ustaz, Pegawai Agama, ahli fatwa yang memberikan gambaran yang salah dan menyeleweng.


(1) Mereka mengakui Tasawwuf tetapi ingkar akan Toriqat yang warid dari Rasulullah ﷺ.

(2) Mereka memahami Tasawwuf itu hanyalah teori-teori yang dihafal.

(3) Mereka mengatakan mendalami Tasawwuf membawa kesesatan. 


Hakikatnya mereka adalah ulama jahil yang tidak mempelajari Ilmu Ahlus Sunnah daripada Mursyid yang Siddiq. Mereka tidak mengalami perjalanan Toriqat dan tak pernah dapat menghayatinya. Mereka sekadar membaca teori-teori berkenaan Tasawwuf lalu mengaku sudah memahami Tasawwuf.


Untuk membicarakan hal ini secara ilmiah yang mendalam, sudah tentu makan masa yang sangat panjang.  Sebagai permulaan memadailah disebut secara ringkas sahaja...hubungan Tasawwuf  dan Toriqat  Rasulullah ﷺ.


(1) Tasawwuf menyatakan Matlamat hati yang suci murni. Toriqat menunjukkan jalan untuk mencapai Matlamat tersebut.  (Ertinya Tasawwuf itu buahnya (matlamat kesucian hati), sedang Toriqat itu menunjukkan jalan untuk mencapai buah (matlamat kesucian hati) tersebut. 


(2) Tasawwuf itu menggambarkan sifat-sifat keindahan hati orang beriman,  Toriqat adalah jalan untuk mencapai sifat-sifat tersebut.


(3) Tasawwuf menyebut kejahatan hati yang wajib dijauhi, Toriqat menunjukkan jalan untuk menjauhinya.


(4) Tasawwuf menghuraikan Syirik dalam hati yang wajib dihapuskan, Toriqat menunjukkan jalan untuk hapuskannya.


(5) Tasawwuf menyebut kewajipan khusyu' dalam Solat, Toriqat menunjukkan jalan untuk Khusyu’.


(6) Tasawwuf menyebut hakikat Ikhlas dalam beribadah, Toriqat menunjukkan jalan mencapai Ikhlas yang sebenar.


(7) Tasawwuf mengatakan Zikir terus-menerus mengingat Allah sebagai kewajipan, Toriqat menunjukkan jalan untuk menjadikan hati sentiasa ingat Allah.


(8) Tasawwuf menuntut Tauhid yang hakiki, Toriqat menunjukkan jalan mencapai Tauhid yang hakiki ini. 


(9) Tasawwuf menyebut kewajipan mencapai "Ihsan", Toriqat menunjukkan jalan mencapai "Ihsan".


(10) Keseluruhannya Tasawwuf menggambarkan akhlaq Nabi ﷺ, Toriqat menunjukkan cara-cara mencapai akhlaq Kenabian.


Ertinya dari satu sudut pandang, Tasawwuf menceritakan buah, kebaikan dan keindahan hati yang wajib dicapai oleh orang beriman sedangkan Toriqat menunjukkan jalan-jalan praktikal bagi mencapai keindahan tersebut.  Iaitu dengan mengikuti Disiplin Toriqat Rasul ﷺ, seorang Muslim akan mencapai Akhlaq Kerasulan yang indah, Keimanan yang teguh, Tauhid yang suci murni serta Ubudiyyah yang tulus Ikhlas.


Ertinya semua kebaikan hati ini dicapai dalam bentuk penghayatan — benar-benar merasai dan menghayati di dalam hati dan ruh seseorang, BUKAN sekadar teori yang diulang-ulang, BUKAN sekadar perbahasan di bilik kuliah, BUKAN sekadar seminar, kursus, diskusi dan sebagainya, BUKAN sekadar bacaan kitab-kitab.   


Bacaan kitab dan teori-teori berkenaan kebaikan hati dan keindahan akhlaq hanyalah permulaan mengenal Tasawwuf, belum mencapainya secara hakiki.  Seseorang yang benar-benar ingin menghayatinya secara hakiki perlu menempuh sendiri perjalanan ini kepada Allah melalui Disiplin Toriqat Rasul ﷺ di samping tetap berpegang teguh kepada Syari'at Rasul ﷺ. 


Barang siapa tidak memahami haqiqat ini, akan tinggal di dalam kejahilan dan kesesatan.  Walaupun mereka mengaku Ahlus Sunnah tetapi mereka menyeleweng kepada kebatilan dan kesesatan.


Bersambung siri 672 اِ نْ شَآ ءَ اللّه

______________________________

     MAJLIS TAZKIRAH JILANI     

           🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

  SIRI 10 بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ     Bab 1: Haqiqat Ahl...