Tuesday, July 01, 2025

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 670)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 70:

Mufaraqah dari Saf Ummat

sambungan....


Prinsip Kedua:

Berpegang teguh kepada Syari'at dan Toriqat yang warid dari Rasulullah ﷺ tanpa abaikan mana-mana satu daripadanya*



Menurut Pegangan Ahlus Sunnah Wal Jama’ah, Syari’at (fiqh) dan Toriqat (Tasawwuf) adalah dua bahagian Ilmu Agama yang WAJIB diamalkan oleh setiap orang yang benar-benar beriman. 


Sebagaimana kami syarahkan kata-kata Mutiara _Masyaikh Ahlus Sunnah_ berulangkali di dalam risalah kami,  Syari’at adalah ilmu dan amal yang takluk (berhubung dan berkait) kepada anggota zahir manusia dan Toriqat adalah ilmu dan amal yang takluk kepada anggota batin manusia (hati). 


Ilmu dan amal berhubung dengan anggota Zahir adalah  :   solat, puasa, zakat, Haji, Da’wah, Jihad, nikah kahwin, pemerintahan dan lainya.  

Ilmu dan amal berhubung dengan hati adalah :  Zikrullah, Muraqabah, Musyahadah, jauhi penyakit hati, jauhi dosa-dosa hati, jauhi  Syirik khafi (syirik tersembunyi), mazmumah (kekejian hati), kewajipan  khusyu’ dan bahaya lalai dalam solat, kewajipan Ikhlas dan bahaya ujub, riya’, sum’ah, takabbur, tawakkal bi-ghairillah, kewajipan mencapai Keimanan Sejati dan bahaya nifaq dan banyak lagi hal ehwal berhubung hati. 


Kedua-dua ilmu ini (Syari’at dan Toriqat) bersumber dari Kitabullah dan Sunnah Rasul ﷺ.  Ia bukan rekaan Ulama tetapi hasil Ijtihad (bersungguh-sungguh menerbitkan hukum) oleh Ulama Mujtahid (iaitu Mursyid Pewaris Nabi  yang sebenar yang layak melakukan ijtihad) dari dua sumber Agung Ilmu – Al-Qur’an dan Sunnah Rasul ﷺ. 


Masyaikh Ahlus Sunnah telah sepakat bahawa kedua-dua ilmu ini; Syari’at (kadangkala disebut Fiqh) dan Toriqat (kadangkala disebut Tasawwuf) hukumnya fardhu ‘ain atas setiap mukallaf.  Ertinya barang siapa abaikan salah satu daripadanya, maka dia jatuh kepada kebinasaan berat ; fasiq atau zindiq.  Wal ‘Iyazubillah. 


Berkata Al Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu Anhu:

(Mujaddid Agung sepanjang zaman)

"Dua macam ilmu yang diturunkan kepada kita.  Pertama ilmu Zahir, disebut Syari'at.  Kedua  Ilmu batin, disebut Ma'rifat (yang terhasil dari Toriqat).  Syari'at untuk jasad kita dan Ma'rifat (yang terbit dari Toriqat) adalah untuk batin.  Kedua-duanya WAJIB dipadukan (amalkan sekaligus dan jangan abaikan satu pun daripadanya) dan dari perpaduannya membuahkan haqiqat.  Seperti halnya pohon dan daunnya yang menghasilkan buah.   Sebagaimana Firman-Nya di dalam Surah Ar Rahman : Ayat 19 dan 29".   Dengan ilmu zahir sahaja, manusia tidak akan mencapai Haqiqat dan tidak akan sampai kepada Matlamat Ubudiyyah.  Ubudiyyah yang benar dan sempurna hanya akan wujud oleh perpaduan antara ilmu zahir (Syari'at Rasulullah) dan ilmu batin (Toriqat Rasulullah).  Dengan ini dapat menyempurnakan  tuntutan Ma'rifat dan Ubudiyyah  sebagaimana Firman Allah    "وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ ". 

[Tamat Nukilan dari Kitab Sirrul Asrar]


Fatwa Imam Malik Radhiallahu Anhu:

(Mujtahid Mutlaq Mazhab Maliki)

“Sesiapa yang mempelajari ilmu fiqh tanpa mengamalkan Tasawwuf, maka dia telah menjadi fasiq.  Dan sesiapa yang mengamalkan Tasawwuf tanpa mempelajari ilmu fiqh, maka dia telah menjadi zindiq.  Dan sesiapa yang menggabungkan antara kedua-duanya, maka itulah kebenaran."

[Nukilan Imam Ghazali di dalam Ihya, Al-Qutb Tajul Arifin Shaikh Yahya Al-Kholidi di dalam Risalah Ma’rifat, Imam Zarruq di dalam Qawaid Tasawwuf, Imam Qusyairi di dalam Risalah Qusyairiyah, Imam Asy-Sya'rani di dalam Tabaqat] 


Bersambung siri 671 اِ نْ شَآ ءَ اللّه

______________________________

     MAJLIS TAZKIRAH JILANI     

           🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

  SIRI 4 Bab 1: Haqiqat Ahlus Sunnah Wal Jama'ah   Fasal 1: Definisi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah   Menurut bahasa: Kalimat Ahlus Sunnah...