■■■■■■■■■■■■■■■■■
PENYAKIT HATI
BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI
(Siri 696)
■■■■■■■■■■■■■■■■■
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 70:
Mufaraqah dari Saf Ummat
sambungan...
Prinsip ke-14:
Syirik khafi merosak Iman dan batalkan amal ibadah
Menurut pendirian Ahlus Sunnah, Syirik khafi adalah syirik tersembunyi. Ianya dikatakan syirik yang tersembunyi kerana syirik ini terpendam di dalam hati. Tidak diketahui oleh manusia lain kecuali dirinya dengan Allah Ta'ala. Namun ada kalanya syirik tersembunyi ini akan terzahir dari perkataan dan perbuatan seseorang yang memiliki sifat-sifat ini.
Adakalanya syirik terpendam ini terzahir di dalam keadaan kehidupan biasa atau mungkin juga ketika terjadi suatu peristiwa yang menggugah perasaannya. Atau suatu cabaran yang menggugat kedudukannya pada pandangan manusia. Contoh yang paling besar di dalam kejadian manusia adalah kisah Iblis dengan Nabi Adam. (sebagaiman telah dijelaskan sebelum ini).
Menurut Ulama Ahlus Sunnah, Syirik khafi tidak menggugurkan Iman seseorang, tetapi jika dia mengekali Syirik Khafi ini tanpa taubat SEGERA dan tidak berusaha bersungguh-sungguh menjauhkannya, maka ia boleh membawa kepada kerosakan Iman dan boleh hapuskan amal ibadah seseorang bagaikan api memakan sekam (terhapus secara senyap tanpa disedari).
Dari suatu sudut pandang, Syirik khafi ini tidak kurang bahayanya dengan Syirik Jali (Syirik besar) kerana lazimnya syirik ini tidak kelihatan lantaran terpendam di dalam hati. Bahkan dari suatu sudut, Syirik khafi lebih merbahaya bagi orang beriman kerana Ummat ini tidak akan sembah berhala berupa patung, kayu atau benda-benda lain. Tetapi mereka menyembah "berhala hati" yang bermaksud "menyembah" diri sendiri atau "menyembah" makhluq lain berupa nafsu, Iblis, kekayaan dunia, pangkat, kekayaan dan lain-lain. Oleh kerana ini Nabi ﷺ bersabda:
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Aku sangat takut syirik pada Ummatku. Walaupun mereka tidak menyembah berhala, matahari, bulan dan batu. Akan tetapi memperlihatkan kepada orang dengan amal mereka”
[Imam Ibnu Majah, Al-Hakim]
Keterangan darihal Syirik khafi, sebab-sebabnya, jenis-jenisnya, jalan-jalan penyakit ini terbentuk dalam hati dan cara-cara merawatnya sehingga hati kembali kepada kesucian diri yang asal dijelaskan di dalam kitab-kitab Tasawwuf dan Ma'rifat.
Inilah sebabnya mempelajari hal ehwal penyakit hati yang paling berat ini daripada ahlinya, iaitu Mursyid yang Siddiq dan seterusnya mujahadah melawan nafsu kejahatan, melawan bisikan-bisikan Syaitan, berzikir sungguh-sungguh membersihkan hati dengan Pimpinan beliau menjadi Fardhu Ain (wajib atas setiap diri yang mukallaf).
Tiga Golongan menghadapi Syirik khafi:
Pertama: Orang Awam:
Kebanyakan orang awam tidak mengenali Syirik khafi, tidak mengetahui wujudnya Syirik khafi, tidak mengetahui betapa besarnya bahaya Syirik khafi, dengan demikian mereka tidak peduli mengenainya. Akibatnya terumbang-ambinglah mereka antara Keimanan dan kesyirikan (tanpa disedari).
Kedua: Alim fiqh dan Usuluddin:
Sebahagian besar orang alim fiqh atau Usuluddin mengetahui akan wujudnya Syirik khafi, mereka tahu bahaya dan kebinasaannya. Namun mereka tidak dapat membuangnya kerana mereka tidak mengetahui jalan-jalan untuk hapuskan Syirik khafi ini dari hati mereka.
Ketiga : Golongan Sesat: Golongan ini menafikan terus wujudnyaSyirik khafi. Pada pendapat mereka segala gerak dan lintasan hati dimaafkan, maka menurut pendapat mereka, persoalan bab keruhanian dan Ilmu Toriqat dan Tasawwuf semua tak wujud. Akibatnya tinggallah mereka di dalam kesesatan dan kebinasaan.
Bersambung siri 697 اِ نْ شَآ ءَ اللّه
______________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment