■■■■■■■■■■■■■■■■■
PENYAKIT HATI
BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI
(Siri 695)
■■■■■■■■■■■■■■■■■
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 70:
Mufaraqah dari Saf Ummat
sambungan...
Penjelasan Ringkas: Af'al Allah dan af'al makhluq
Beberapa hal penting yang wajib difahami berhubung dengan Af'al Allah dan Af'al makhluq.
(1) Allah Ta'ala Ciptakan makhluq dan sekalian Perbuatan makhluq
Menurut Ahlus Sunnah, Allah Ta'ala menciptakan sekalian makhluq berserta perbuatannya. Sekalian Taqdir makhluk sudah tersurat di dalam Luh Mahfuz — sama ada manusia atau makhluq selainnya yang mengisi sekalian alam semesta. Setiap kejadian berlaku menurut apa yang tertulis pada Luh Mahfuz. Qalam (pena) sentiasa menulis Taqdir makhluq tanpa henti. Setiap kejadian yang berlaku pada setiap saat ditulis oleh Qalam tanpa terlewat sesaat maupun terawal sesaat. Semuanya berlaku menurut ketentuan Allah pada Azali. Tiada yang terkeluar darinya.
(2) Af'al (Perbuatan) Allah adalah hakiki (yang sebenar) sedang af'al (perbuatan) makhluq adalah majazi (bayangan)
Menghalusi pegangan Ahlus Sunnah, Af'al Allah (Perbuatan Allah) adalah Perbuatan Allah yang hakiki, ertinya Perbuatan Allah itulah yang sebenar di sebalik perbuatan makhluq. Sedangkan af'al makhluq (perbuatan makhluq) adalah di katakan majazi (bayangan) — hakikatnya tidak wujud. Zahirnya dikatakan makhluq itu memperbuat sesuatu, tetapi haqiqatnya disebalik setiap kejadian itu adalah Af'al Allah (Perbuatan Allah). Zahirnya kelihatan makhluq yang memperbuat, tetapi hakikatnya semua itu adalah Perbuatan Allah. Semua itu adalah takluk (terkait dan terjadi) dari Ilmu, Qudrat dan Iradah Allah Ta'ala yang dikenali sebagai Taqdir Ilahi. Tiada suatu pun terjadi atas muka bumi termasuk edaran matahari, planet-planet, bintang-bintang, cakrawala sekaliannya melainkan ianya di dalam Taqdir Ilahi dan Perbuatan-Nya.
(3) Hati pegang kepada Haqiqat, sementara Perkataan dan Perbuatan berdiri pada hukum syari'at
Maksud ungkapan ini...
Setiap perkataan dan perbuatan kamu wajib menghukum menurut ketentuan Allah dan Rasul dan Fatwa Ulama Ahlus Sunnah Mu'tabar. Manakala mana-mana yang menyalahi syari'at, maka wajib dihukumi sebagai haram dan berdosa. Pada masa yang sama hal hati wajib berdiri pada haqiqat, iaitu berpegang bahawa semua yang terjadi adalah di dalam Genggaman Allah serta di dalam Qadha dan Qadar-Nya yang azali. Tiada suatu pun terkeluar dari Taqdir Allah Yang Azali. Makhluq tiada kuasa apa-apa pada hakikatnya.... termasuk iblis dan syaitan juga tiada kuasa apa-apa melainkan yang di-Taqdirkan oleh Allah.
(4) Syukur kepada Allah atas semua kebaikan. Mengutuk diri sendiri atas setiap kesalahan dan dosa.
Apabila kamu di dalam kebaikan dan keselamatan syukurlah banyak-banyak kepada Allah atas Anugerah-Nya. Demikian lagi apabila kamu mendapat kejayaan di dalam pelajaran, pekerjaan, kerjaya, kehidupan dunia, menjadi orang kaya, mendapat pangkat, menjadi Pegawai, menjadi Menteri atau lain-lain kejayaan dunia maupun akhirat semua itu adalah dari Anugerah Allah semata-mata — bukan sebab usaha ikhtiar kamu, maka wajib syukur atas setiap Kurnia Allah itu. Jangan sesekali thabitkan kebaikan pada diri sendiri.
Sebaliknya apabila kamu gagal dalam kehidupan, kamu gagal di dalam peperiksaan, kamu gagal di dalam kerjaya... atau lain-lain urusan dunia atau akhirat .. semua ini wajib dikembalikan kepada diri kamu, salahkan diri sendiri. Mengakui kekurangan diri. Walaupun boleh jadi kamu sudah berusaha sungguh-sungguh, namun apabila terjadi kegagalan dalam apa jua hal, maka salahkanlah diri sendiri dan cari jalan lain serta usaha sungguh-sungguh lagi dengan mohon pertolongan Allah. Walaupun pada hakikatnya yang menahan kamu dari berjaya hakikatnya Allah Ta'ala jua. Namun inilah adab di hadapan Allah bagi Ahlus Sunnah wal Jamaah yang benar (tulen).
Bersambung siri 696 اِ نْ شَآ ءَ اللّه
______________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment