Saturday, November 02, 2024

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 555)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 65:

Bermegah-megah

Berlumba mencari dunia

.... sambungan....



Rawatan dan Penjagaan

=================


(1) Letakkan dunia pada tangan, Akhirat dalam hati.

Dunia, wang ringgit dan harta kekayaan adalah di antara dugaan sangat besar bagi orang beriman.  Harta diperlukan untuk kesinambungan hidup.  Pada masa yang sama harta benda dunia yang tidak diuruskan dengan cermat membawa kepada kebinasaan.  Imbangan yang benar selamat adalah:

Sentiasa tetapkan Akhirat di dalam hati sebagai matlamat, sedang dunia dipegang dengan tangan-tangan sahaja, jangan sampai masuk ke hati. 


(2) Redha dengan ketentuan Allah

Jika kamu miskin dan kamu sudah berusaha sungguh-sungguh mencari rezeki, namun keadaan kamu tetap miskin, maka hendaklah sabar dan redha dengan Taqdir Ketentuan Allah. 


(3) Tetapkan hati ikhlas kerana Allah ketika mencari rezeki

Ungkapan "kekayaan", berkait dengan usaha mencari rezeki.  Dan maksud " rezeki " tidak terlepas dari Kurnia Allah kepada seseorang.  Rahmat dan Limpahan rezeki dari Allah kepada manusia tidak sama. Sebahagian manusia memperoleh rezeki melimpah ruah dengan hanya berusaha sedikit.  Sebahagian lain bertungkus lumus untuk memperolehnya. 


Walau apa pun keadaan seseorang itu mencari rezeki, perkara pertama yang WAJIB diperhatikan adalah "ikhlas kerana Allah".  Jauhkan sama sekali niat ingin jadi kaya-raya atau ingin menjadi jutawan, ingin menjadi terkenal dan sebagainya.  Sebaliknya wajib niat di dalam hati semua usahanya itu adalah kerana Allah, untuk Agamanya, untuk Akhirat.


Dengan tetapkan hati "ikhlas mencari rezeki semata-mata kerana Allah" maka sekalian usahanya akan diberkati dan di-Kurniakan Rahmat Allah bersertanya.  Dan dia akan dipelihara daripada termasuk ke dalam Golongan yang di Laknat Allah — iaitu terpelihara daripada perbuatan "bermegah-megah"  dan "berlumba-lumba mencari kekayaan."


(4) Syukur kepada Allah sebanyak-banyaknya

Apabila Allah Ta'ala Kurniakan harta benda yang banyak kepada kamu, syukurlah kepada Allah sebanyak-banyaknya.

Makna syukur adalah:

1. Sentiasa kembalikan segala pujian kepada Allah yang Kurniakan kekayaan yang banyak kepada kamu.

2, Jangan sesekali bermegah-megah dengan keupayaan, kebijaksanaan atau kehebatan kamu mencari kekayaan. 

3. Belanjakan wang ringgit dan harta kepada Fi Sabilillah, membantu faqir miskin dan orang yang terlantar.


(5) Cari Redha Allah pada setiap perbelanjaan

Setiap pembelian dan perbelanjaan pastikan bertujuan mencari Redha Allah semata-mata.  Jauhkan sama sekali tujuan kemegahan, takabbur, menunjuk-nunjuk kebaikan dirinya. 


(6) Istiqamah Zikrullah

Sepanjang masa berusaha ikhtiar mencari rezeki kekalkan hati ingat Allah sebanyak mungkin.  Rezeki yang diperoleh dalam keadaan Zikrullah lebih berkat serta di-Limpahi Rahmat Allah.


(7) Jangan gelojoh dan tamak

Berusaha sekadarnya, jangan terlalu banyak masa dihabiskan untuk mencari harta sehingga tiada masa atau kurang masa untuk dirikan Zikrullah serta Ibadah lain. 


(8) Patuhi hukum Syara'

Ketika mencari harta, patuhi sekalian hukum-hakam Syari'at. Wajib pelajari selok-belok syari'at — halal haram dalam perniagaan, perkara yang jatuhkan kepada riba', penipuan, kezaliman.  Harta yang diperoleh dengan cara yang tidak halal tiada keberkatan. 


Bersambung siri 556  اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

____________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI  

🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 583) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...