Saturday, November 02, 2024

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 554)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 65:

Bermegah-megah

Berlumba mencari dunia

.... sambungan....



Tanda 5:  Tamak harta dunia 

Meskipun harta kekayaan sudah melimpah-ruah, namun dia tak pernah puas.  Jika memperoleh emas segunung, dia ingin lagi beberapa gunung emas lagi. 


Tanda 6:  Tamak kuasa

Ahli politik saling berlumba-lumba untuk berkuasa.  Di dalam perlumbaan mencari kuasa, mereka saling bercakaran, fitnah- memfitnah, adu domba, dusta dan caci maki.


Tanda 7:  Sangat Bakhil

Perlumbaan untuk mencari kekayaan dan bermegah dengan harta banyak menjadikan dia bakhil — sangat berat untuk menghulurkan bantuan kepada faqir miskin atau orang yang memerlukan.


Tanda 8:  Orang alim bagi fatwa sesat

Di antara tandanya lagi ....orang alim, cerdik pandai Agama, Profesor sedia "menjual Agama".  Mereka sanggup berbohong, memutarbelitkan ayat Qur'an dan Hadith Rasulullah ﷺ dan mengeluarkan fatwa sesat demi keuntungan dunia mereka.


Tanda 9:  Khianat

Orang yang "berlumba-lumba mencari dunia dan kemegahan" akan mudah khianati amanah.  Jika mereka diberi kuasa memerintah, mereka khianati Amanah Allah. 


Tanda 10:  Habiskan masa dengan berfoya-foya

Orang yang cintakan dunia tenggelam di dalam kenikmatannya dan lupa kepada Akhirat.  Mereka habiskan wang dan harta semata-mata untuk berfoya-foya, setengahnya dengan minuman keras dan makanan haram.  Wal Iyazubillah.


Tanda 11:  Menilai untung rugi berdasarkan penilaian dunia

Mereka menilai dan mengukur setiap suatu dengan pandangan dunia.  Jika pada pandangan dunia ianya baik maka disanjung dan dipuja. Jika sesuatu perkara tidak membawa keuntungan dunia, maka menilainya buruk.  


Tanda 12:  Benci kepada nasihat dan kebenaran

Orang yang berlumba mencari dunia dan kemegahan, tidak senang dengan nasihat-nasihat Agama.  Mereka benci dengan kebenaran kerana diri mereka bergelumang di dalam kegelapan.  Jika mereka berkuasa  mereka akan gunakan segala kuasa untuk menghalang kebenaran. Pendakwah akan dituduh dan diugut dengan berbagai akta dan undang-undang jahiliyah.


Tanda 13:  Ingkar jihad fi sabilillah

Orang yang berlumba-lumba mencari dunia dan bermegah-megah dengannya,  enggan berjihad fi sabilillah ; sama ada jihad di medan perang atau jihad harta benda kerana tersangat cintakan dunia dan takut mati.


Rasulullah ﷺ  bersabda:

“Hampir-hampir saja bangsa-bangsa (kaum kafir dan sesat) mengerumuni kamu (orang Islam) seperti halnya orang-orang yang mengerumuni hidangan.  Seseorang berkata; Apakah kerana sedikitnya kami waktu itu?  Baginda bersabda; Bahkan kamu pada waktu itu ramai sekali, tetapi kamu seperti buih di atas lautan.  Dan Allah mencabut rasa takut musuh-musuhmu terhadap kamu serta menjangkitkan di dalam hatimu penyakit al-wahn.  Seseorang bertanya; Apakah wahn itu?  Baginda menjawab; Cinta dunia dan takut mati.” 

[Imam Abu Dawud]


Bersambung siri 555  اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

___________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 583) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...