Saturday, November 02, 2024

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 553)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 65:

Bermegah-megah

Berlumba mencari dunia

.... sambungan....




Kemusykilan 5:

Adakah mencari kekayaan dan berusaha menjadi orang yang kaya-raya dilarang secara mutlaq? 


Jawapan:

—————

Islam tidak melarang kekayaan dan tidak melarang seseorang berusaha menjadi kaya. Walau bagaimanapun seseorang yang benar-benar beriman wajib perhatikan beberapa syarat dan penjagaan agar tidak terjerumus ke dalam larangan "berlumba-lumba mencari dunia dan bermegah-megah dengannya".


Berdasarkan sejarah kemanusiaan, manusia yang di-Kurniakan kekayaan oleh Allah menjadi manusia yang "lupa daratan".  Mereka menyombong diri, membesarkan diri, takabbur, riya', 'ujub, dan lain-lain  syirik khafi.  Mereka gemar menghina orang yang lemah dan miskin serta aniaya mereka.  Kebanyakan mereka juga menjadi bakhil, enggan keluarkan zakat dan sedekah kerana mereka mendakwa semua harta mereka adalah milik mereka yang mencari sendiri...!  Mereka melupakan Allah Yang Maha Pemurah. Mereka menjadi orang kufur Ni'mat Allah.


Inilah sebabnya Allah dan Rasul-Nya berulang-ulang mengingatkan akan bahayanya kekayaan dunia — bahayanya kepada Agama seseorang. Kekayaan melimpah-ruah akan butakan "mata hati".  Orang ini akan mencari dan terus mencari sampai masuk kubur, tak sedar diri ajal sudah sampai.  Wal Iyazubillah.



Kemusykilan 6:

Apakah tanda-tanda seseorang terjerumus ke dalam "berlumba-lumba mencari dunia" ?


Jawapan:

—————

Di antara tanda-tanda seseorang itu tertawan oleh dunia sehingga masuk kepada perbuatan "berlumba-lumba mencari dunia dan kemegahan" adalah:


Tanda 1:  Asyik dengan dunia dan lupakan Allah Ta'ala

Inilah tanda permulaan seseorang jatuh kepada perbuatan "berlumba-lumba mencari dunia serta bermegah-megah dengannya".  


Lupa kepada Allah, lupa untuk berzikir ingat Allah dan lupa untuk mensyukuri Ni'mat-Ni'mat Kurniaan-Nya akan hijabkan hati seseorang dengan Allah.  Jika dia tidak segera bertaubat, maka hijab hati akan makin tebal sehingga akhirnya menjadi keras dan mati.  Wal Iyazubillah.


Firman Allah:


 فَوَيۡلٌ۬ لِّلۡقَـٰسِيَةِ قُلُوبُہُم مِّن ذِكۡرِ ٱللَّهِ‌ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ فِى ضَلَـٰلٍ۬ مُّبِينٍ        


"Maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang keras membatu hatinya daripada Zikrullah.  Mereka yang demikian keadaannya, adalah dalam kesesatan yang nyata."

[Az-Zumar (39) : Ayat 22]



Tanda 2:  Utamakan tuntutan dunia

Di antara tanda seseorang termasuk golongan yang yang "berlumba-lumba mencari dunia serta bermegah"  adalah sentiasa mendahulukan tuntutan dunia.  Urusan agama dipandang sebagai sampingan sahaja atau sekadar memenuhi kebiasaan adat. 


Tanda 3:  Tidak mempedulikan halal haram

Dalam usaha mencapai dunia dia tak pedulikan hukum. Bahkan dia memandang Agama itu menyusahkan hidupnya.  Orang ini lebih senang mengikut tradisi jahiliyah yang menguasai kehidupan manusia pada zaman ini.  Wal 'Iyazubillah


Tanda 4:  Terikut-ikut fahaman sesat

Oleh kerana asyik dengan perlumbaan mencari dunia, mereka tak mampu bezakan Ahlus Sunnah dengan fahaman sesat.  Mereka menerima apa sahaja fahaman  asalkan ia membawa keuntungan duniawi.


Bersambung siri 554  اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

__________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 583) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...