Monday, July 15, 2024

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 399)

■■■■■■■■■■■■■■■■■



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar ke-53:

Menyakiti Rasulullah ﷺ

...sambungan....



Contoh-contoh Menyakiti Nabi

=======================


Contoh-contoh menyakiti Nabi ﷺ amat banyak, kita hanya sebutkan beberapa hal yang sudah terjadi di kalangan manusia, sama ada ia berlaku ketika hayat Baginda mahupun terjadi kemudiannya, sama ada ianya dilakukan oleh orang kafir atau orang Islam sendiri. 


Meskipun kita menyebut contoh-contoh kejahatan orang kafir terhadap Rasulullah ﷺ, fokus utama adalah perlakuan buruk dan keji orang-orang yang mengaku Islam terhadap Rasulullah ﷺ, kerana orang kafir (yang mati kafir) tiada hitungan apa pun melainkan masuk Neraka tanpa hisab. Sedangkan orang bernama Islam akan menerima hisab atas dosa-dosa dan kejahatan dia, lebih-lebih lagi kekejian dan jahat adab terhadap Rasulullah ﷺ. 


Contoh 1 : Ingkar Perintah Rasulullah ﷺ

Ingkar kepada mana-mana Perintah, ajaran, nasihat atau panduan-panduan Rasulullah ﷺ. Misalnya ingkar kepada hukum-hakam berkenaan solat, puasa, zakat, haji, da'wah, jihad, pemerintahan Negara atau lain-lainnya.  Perlakuan ini bukan sahaja menyalahi adab kepada Baginda serta menyakiti Baginda tetapi menjatuhkan seorang Muslim kepada kekafiran.  Wal Iyazubillah.


Contoh 2 : Menghina Sunnah Baginda

Merasa jijik atau menghina mana-mana Sunnah Rasulullah ﷺ, misalnya memandang hina cara makan berjemaah di dalam satu talam atau menghina Baginda berkahwin ramai wanita pada satu masa atau lain-lainnya.


Contoh 3 : Mempersoalkan Amalan Baginda

Mempertikaikan suatu Sunnah Baginda yang sudah thabit dari Baginda.  Misalnya ada orang Islam moden mempertikaikan zikir jihar (zikir dengan kuatkan suara) dan menuduhnya sebagai bid'ah sesat.  Wal Iyazubillah. 


Contoh 4 : Menafikan Sunnah Baginda

Orang Islam berpendidikan moden menafikan jubah dan serban Rasulullah ﷺ sebagai Sunnah Baginda.  Menurut dakwaan mereka, ianya cuma tradisi Arab. 


Contoh 5 : Mengejek atau Mencerca Sunnah Baginda

Setengah orang Islam, mereka mengejek janggut Rasulullah ﷺ dengan berbagai ungkapan-ungkapan keji. 


Contoh 6 : Menuduh Rasulullah ﷺ sebagai gila, ahli sihir dan sebagainya

Asalnya ini adalah perlakuan yang amat dahsyat yang dilemparkan oleh pembesar-pembesar kafir Makkah ketika Baginda diutus menjadi Rasul.  Namun pada hari ini, yang  menghina Baginda bukan sahaja terdiri daripada kaum Yahudi dan Nasrani tetapi yang lebih malang adalah sebahagian orang Islam sendiri terikut-ikut dengan perangai Kafir ini. 


Bersambung siri 400 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

 ■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 522) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...