■■■■■■■■■■■■■■■■■
PENYAKIT HATI
BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI
(Siri 355)
■■■■■■■■■■■■■■■■■
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa Besar 48:
Meremehkan, menghina Ulama
...... sambungan......
Dalil 3 : Ulama Billah adalah Auliya Allah (Kekasih Allah)
Firman Allah Ta'ala:
أَلاۤ إِنَّ أَوْلِيَآءَ ٱللَّهِ لاَ خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلاَ هُمْ يَحْزَنُونَ. ٱلَّذِينَ آمَنُواْ وَكَانُواْ يَتَّقُونَ. لَهُمُ ٱلْبُشْرَىٰ فِي ٱلْحَياةِ ٱلدُّنْيَا وَفِي ٱلآخِرَةِ لاَ تَبْدِيلَ لِكَلِمَاتِ ٱللَّهِ ذٰلِكَ هُوَ ٱلْفَوْزُ ٱلْعَظِيمُ
"Ketahuilah! Sesungguhnya para Auliya Allah itu, tidak ada ketakutan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita. Mereka (Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman (Mu'min sejati) serta mereka pula sentiasa bertaqwa (sebenar-benar Taqwa). Bagi mereka diberi berita gembira di dalam kehidupan dunia dan di Akhirat; tidak ada sebarang perubahan pada janji-janji Allah yang demikian itulah kejayaan yang besar.”
[Yunus (10) : Ayat 62-64]
Kata Ibn Abbas Radhiallahu Anhu:
“Sesungguhnya mereka yang benar-benar beriman (mencapai Keimanan Sejati) adalah Auliya Allah (Kekasih Allah) yang tiada takut apa pun terhadap sesuatu yang mendatang, dan tiada dukacita terhadap suatu yang mereka tinggalkan di belakang. Kemudian Allah tegaskan lagi bahawa mereka yang dimaksudkan adalah orang-orang yang beriman (benar-benar beriman) dan bertaqwa (sebenar Taqwa) kepada Allah. Kalimat “ ٱلْبُشْرَىٰ " (Al-Busyra = khabar gembira) bermaksud dua macam kebahagiaan ; Pertama : Kebahagiaan di dunia dengan mendapat mimpi-mimpi benar. Kedua : Jaminan masuk syurga (tanpa hisab). Yang demikian itu adalah jaminan Allah kepada mereka. Dan itulah sebesar-besar kemenangan.”
[Tafsir Ibn Abbas]
Maksud perkataan Ibn Abbas “benar-benar beriman” adalah : Orang-orang yang telah mencapai Keimanan sejati, Tauhid yang hakiki yang suci bersih daripada segala macam syirik (syirik khafi), Mazmumah (sifat keji). Mereka telah mencapai Tingkatan Maqam Tauhid Af’al yang suci bersih daripada sekalian syirik khafi (syirik tersembunyi) - Takabbur, ‘Ujub, Riya’, Sum’ah, dan Tawakkal bi Ghairillah. Mereka juga suci bersih daripada segala macam kekejian seperti khianat, dusta, adu domba, fitnah, mengumpat dan lain-lain. Allah Ta’ala Memilih mereka dan Anugerahkan mereka beberapa banyak kelebihan mengatasi manusia-manusia lainnya.
Kalimah " ٱلْبُشْرَىٰ " (khabar gembira) ditafsirkan oleh Ibn Abbas dengan dua macam kebahagiaan. Maksud beliau dengan dua macam kebahagiaan adalah dua macam “Syurga”, iaitu : Syurga pertama adalah Syurga di Akhirat (setelah kematian). Syurga kedua adalah “Syurga yang disegerakan” di dunia ini lagi, iaitu “Syurga melihat Allah” atau disebut ‘Syurga berserta Allah” atau disebut “Syurga berkasih-kasih dengan Allah” sehingga mereka tiada cita-cita apa pun selain Allah.
Sekali lagi Firman Allah ini menjadi bukti kukuh bahawa Ulama yang benar adalah Ulama Billah yang di-Pilih oleh Allah serta menjadi Kekasih-kekasih Allah di atas muka bumi.
Bersambung siri 356 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
=====================
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment