Wednesday, September 27, 2023

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 297)

■■■■■■■■■■■■■■■■■



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ




Dosa besar 38:

Meremehkan Dosa

.....sambungan....



Penjagaan dan Rawatan

=================


(1) Sesungguhnya di dalam diri setiap manusia wujud dua macam kuasa yang mempengaruhi arah perjalanannya.  Pertama Kuasa Kebaikan yang datang dari "hakikat insan" yang jauh di dalam hati yang suci bersih.  Kedua Kuasa Kejahatan yang datang dari tiupan nafsu-nafsu jahat, syaitan, dunia dan makhluq.  Maka beruntunglah siapa yang sucikan hatinya dan mengikut seruan suci dari hati yang suci.  Dan merugilah siapa-siapa yang mengotori hati dengan mematuhi seruan syaitan dan nafsu-nafsu kejahatan.


(2) Cara-cara sucikan hati diterangkan oleh sekalian Masyaikh  melalui kitab mereka dan waris mereka yang hidup, iaitu Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq, yang Allah Ta'ala Zahirkan pada setiap zaman — sepanjang zaman sampai Qiamat.  Setiap Muslim wajib mengambil ilmu dari mereka dan menyucikan batin mereka sehingga menjadi hamba-hamba yang di Redhai Allah. 


Orang yang tidak menemui Pewaris Nabi yang Siddiq untuk mengambil rawatan dan penawar bagi segala penyakit zahir dan batin, akan tinggal di dalam hati yang kotor, keji dan syirik.  Sejarah kemanusiaan membuktikan hal ini.  Wal Iyazubillah.


(3) Manusia yang berdosa yang paling baik adalah mereka yang segera bertaubat dan sentiasa bertaubat mohon keampunan Allah.  Sebaliknya mereka yang sewenang-wenang melakukan dosa dan keras hati untuk bertaubat adalah manusia yang tertipu dengan angan-angan.


(4) Jangan sesekali pandang remeh mana-mana dosa sekalipun, meski pun dosa paling kecil, kerana setiap dosa adalah penentangan kepada Allah.   Sebaliknya anggaplah setiap dosa sebagai sebuah gunung yang besar dan sedia menimpa kamu. 


(5) Orang kaya, hartawan, jutawan, berpangkat, Raja, Sultan, Perdana Menteri, Pegawai-pegawai yang hidup mewah serta melakukan berbagai kefasikan dan kezaliman, jangan sesekali merasa aman dari Azab Allah.  Jangan kamu menyangka kamu memperoleh kesenangan duniawi kerana Allah Kasih kepada kamu sedangkan ia adalah Istidraj.  Yang benar adalah :  Allah Ta'ala biarkan kamu didalam kemungkaran dan dosa-dosa kamu sehingga sampai masanya Allah Ta'ala menyentap nyawa kamu dengan sekali sentap sedang kamu mati di dalam kezaliman.  Wal Iyazubillah. 


(6) Dosa berkaitan dengan HATI terlebih banyak dan terlebih besar berbanding dosa zahir, tetapi kebanyakan orang Islam tidak menyedarinya.  Mereka yang menyedari bahaya DOSA HATI tidak mempedulikannya.


(7) Orang Islam yang abaikan Toriqat-Tasawwuf sentiasa menanggung dosa besar ; Dosa syirik di dalam hati, Dosa mazmumah (kekejian hati) dan ghaflah (kelalaian). Maka ditakuti mati di dalam keadaan menanggung dosa besar yang banyak sedang dia tidak menyedarinya. Wal Iyazubillah. 


Bersambung siri 298 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 392) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...