Wednesday, October 04, 2023

 ■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 298)

■■■■■■■■■■■■■■■■■



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ




Dosa besar 39:

Puji Makhluq Tanpa Haq

======================


Definisi

=======

Menurut bahasa: 

Puji ( مَدْحاً) berasal dari kata  ( مَدَحَ - يَمْدَحُ - مَدْحاً ) adalah :  pernyataan penghargaan, menghargai, pandang mulia,  menyanjung, mengagungkan


Menurut istilah :

Pernyataan kesyukuran (terima kasih) atau ucapan penghargaan oleh seseorang kepada orang lain yang menjadi asbab dirinya memperoleh kebaikan atau kepada seseorang yang mempunyai kelebihan, dipandang mulia.  Ada kalanya ucapan tersebut dengan ikhlas, jujur, tawadhu dan penuh Tauhid (keimanan) dan ada kalanya disertai pembohongan, tidak jujur, riya', syirik atau kufur. 


Memuji makhluq tanpa haq:

Memuji makhluq tanpa haq adalah pujian seseorang kepada seseorang yang lain tanpa Tauhid (tanpa sandarkan pujian tersebut kepada Allah), atau pura-pura memuji dengan niat mencapai suatu kebendaan duniawi, atau memuji dengan kesombongan atau riya atau dengan niat jahat.


Penjelasan:

==========


(1) Menurut Ahlus Sunnah terdapat 4 macam pujian:

■ Puji Qadim bagi Qadim — Pujian Allah kepada Diri-Nya sendiri

■ Puji Qadim bagi hadith — Pujian Allah kepada hamba Pilihan-Nya — Rasul, Nabi dan Auliya Allah 

■ Puji Hadith bagi Qadim — Pujian makhluq kepada Allah

■ Puji Hadith bagi Hadith — Pujian sekalian makhluq sesama mereka. 


(2) Semua macam pujian pada hakikatnya kembali kepada Allah dan Milik Allah semata-mata kerana pada hakikatnya makhluq tiada memiliki apa-apa. 


(3) Pujian yang dibicarakan di sini adalah Puji yang keempat, iaitu Puji makhluq bagi makhluq. Dengan demikian kita cuma akan fokus pada pujian makhluq kepada makhluq  di dalam perbincangan ini. 


(4) Puji makhluq bagi makhluq tidak mutlaq haram. Sebahagiannya harus bahkan disunnatkan apabila menepati syarat-syaratnya. 


(5) Memuji Nabi kita Sayyidina Muhammad Rasulullah ﷺ , dan sekalian Nabi yang lain dan sekalian Auliya Allah yang masyhur nama mereka sebagai Kekasih Allah adalah termasuk pujian yang disunnatkan kerana memuliakan orang yang di Muliakan oleh Allah adalah Ibadah.


(6) Puji makhluq bagi makhluq boleh jadi haram, bahkan boleh jatuh syirik apabila melampaui ketentuan hukum yang ditetapkan oleh Ulama Ahlus Sunnah. 


(7) Pujian tanpa Tauhid, iaitu pujian seorang kepada makhluq Allah yang lain tanpa menghubungkannya kepada Allah, jatuh kepada Syirik khafi.  Misalnya seorang memuji bayi yang baru lahir kerana kecantikannya,  tanpa menyandarkannya kepada Allah Yang Menciptakannya, maka ini Syirik khafi.


(8) Pujian  seseorang kepada makhluq  sehingga menyamakannya dengan Allah, maka jatuh murtad tanpa khilaf.  Ini seperti yang dilakukan oleh sebahagian golongan Syi'ah terkeluar dari Agama. 


(9) Orang yang mengharamkan terus pujian makhluq kepada makhluq lain adalah dia penentang Al-Qur'an Hadith dan Ijma' Ulama.


(10) Orang yang menuduh sesat kepada amalan memuji-muji Rasulullah ﷺ ketika bacaan Maulid atau Barzanji atau bacaan-bacaan Solawat lainnya, maka orang menuduh demikian itulah sebenarnya sesat dan di La'nat Allah kerana dia telah menentang Perintah Allah yang menyuruh Ummat Islam banyakkan pujian kepada Baginda.  


Berkata Imam Ghazali Radhiallahu anhu :

Pujian itu dilarang pada sebahagian tempat.  Sekiranya seseorang itu berasa aman daripada beberapa keburukan di atas ini, sama ada pada yang memuji atau dipuji, maka tidak ada masalah pada pujian bahkan boleh jadi ia dituntut untuk melakukannya. 

[Ihya Ulumuddin]


Bersambung siri 299 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 583) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...