■■■■■■■■■■■■■■■■■
PENYAKIT HATI
BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI
(Siri 296)
■■■■■■■■■■■■■■■■■
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 38:
Meremehkan Dosa
.....sambungan....
Contoh 10 : Murid engkar kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq
Sebahagian murid (pada Jalan Ma'rifat) engkar kepada Gurunya kerana menganggap dirinya yang benar dan Gurunya salah. Murid ini tidak langsung berasa bersalah sebaliknya megah dengan perbuatannya. Perbuatan murid ini menghantarkan dia kepada dosa besar yang amat berat dan terkena istidraj. Wal Iyazubillah.
Terdapat kisah yang terjadi kepada Rasulullah ﷺ sendiri untuk dijadikan i'tibar. Seorang Islam yang bernama Zul Khuwaishirah menentang Nabi dengan kata-kata yang amat biadab.
Hadith Rasulullah ﷺ :
“Dari Abu Sa'id Al Khudriy Radliallahu anhu, beliau berkata; "Ketika kami sedang bersama Rasulullah ﷺ yang sedang membahagi-bahagikan (harta rampasan perang Hunain), datanglah Zul Khuwaishirah, seorang laki-laki dari Bani Tamim, lalu berkata; "Wahai Rasulullah, berlaku adillah.” Maka Baginda ﷺ berkata: "Celaka kamu!. Siapa yang mampu berbuat adil kalau bukan aku yang berbuat adil. Sungguh kamu telah mengalami keburukan dan kerugian jika aku tidak berbuat adil". Kemudian 'Umar berkata; "Wahai Rasulullah, izinkan aku untuk penggal batang lehernya!. Sabda Baginda ﷺ : "Biarkanlah dia, kerana dia memiliki teman-teman yang salah seorang dari kalian dipandang remeh solatnya dibanding solat mereka, puasanya dibanding puasa mereka. Mereka membaca Al Qur'an namun tidak sampai ke tenggorokan mereka. Mereka keluar dari agama seperti keluar anak panah dari sasarannya (haiwan buruan).”
[Imam Bukhari]
Zul Khuwaishirah adalah pelopor kaum Khawarij (wahhabiyyah, Najdiyyah, kaum muda pada zaman ini). Daripada dia lahir golongan Khawarij yang memerangi Sayyidina Ali Karramallahu Wajhah.
Golongan Khawarij sentiasa menganggap diri mereka benar dan orang lain semuanya salah. Mereka halalkan darah kaum Muslimin dan memerangi sekalian Ulama Ahlus Sunnah.
Inilah kebodohan kaum Khawarij yang menghantarkan mereka kepada kesesatan. Mereka tertipu dengan ibadah mereka yang banyak. Mereka sombong dengan ilmu dan ibadah mereka yang sedikit sehingga berani melawan Rasulullah ﷺ sendiri. Sesungguhnya kaum Khawarij adalah golongan yang tertawan oleh Iblis La'natullah.
Demikian juga sebagai i'tibar.... murid yang menentang Pewaris Nabi yang Siddiq adalah tertipu masuk ke dalam perangkap Iblis La'natullah. Bahkan mereka terkena istidraj, dan hati akan menjadi gelap. Hati mereka tertutup dari Cahaya Ilahi, maka tidaklah mereka memperoleh Tauhid yang hakiki.... kecuali mereka Taubat segera dan kembali kepada kesucian hati.
Imam Al-Haythami Radhiallahu anhu berkata:
"Barangsiapa membuka pintu-pintu mengkritik (engkar) akan Shaikh Mursyidnya dan perlakuan Gurunya itu, maka murid itu akan menerima hukuman dan terhijab dari mendapat limpahan keruhanian dan ilmu Ketuhanan. Barangsiapa berkata kepada Mursyidnya "kenapa" tidak akan berjaya selama-lamanya."
[Fataawa Al-Hadithiyyah]
Maksud fatwa Imam Haythami adalah :
Murid yang bertanya "kenapa" kepada Mursyidnya dengan maksud "bantahan" atau "penentangan".
Bersambung siri 297 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
=====================
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment