Wednesday, January 04, 2023

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 194)

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.25 Dosa Besar ke-24:  Melaknat


Definisi


Laknat adalah : Kutukan dan Kemurkaan Allah dan dijauhkan daripada Rahmat-Nya, jauh daripada Petunjuk-Nya, dan hilang belas Ihsan-Nya sehingga menjadi manusia paling rugi dunia Akhirat. Apabila seseorang melaknat manusia lain bererti dia telah mendoakan kecelakaan, keburukan dan Kemurkaan Allah ke atasnya.


Berkata Imam Ghazali :

"La'nat adalah ibarat dari menghalau dan menjauhkan dari Allah Ta'ala. Dan yang demikian dilarang kecuali orang yang bersifat dengan sifat yang menjauhkannya dari Allah Ta'ala, iaitu Kufur dan Zalim."

[Ihya Ulumuddin]


Penjelasan


1. Laknat adalah lambang Kemurkaan Allah yang paling dahsyat yang membawa kepada balasan paling buruk, yang terkena kepada manusia (atau jinn) yang tersangat keras kekafirannya atau kezalimannya atas muka bumi. 


2. Iblis adalah makhluq Allah yang pertama terkena La'nat Allah, dan abadi Laknat Allah sampai Qiamat dan kekal di dalam Neraka. Wal Iyazubillah. 


3. Iblis diLa'nat oleh Allah kerana keengkarannya yang keras berserta kesombongannya terhadap Allah dan Rasul-Nya. Dengan demikian setiap manusia (dan jinn) yang amat keras kekafirannya, kezalimannya dan kesombongannya (Takabbur) adalah termasuk manusia yang terkena Laknat Allah.


4. Secara umum, manusia mana pun dilarang mengungkapkan kata2 "Laknat" terhadap manusia lain — dengan beberapa pengecualian.    Demikian lagi dilarang Melaknat haiwan atau jamadat yang tidak bernyawa sekalipun kerana seluruh makhluq Allah berzikir kepada Allah.


5. Seseorang dibenarkan mengungkap kata2 "La'nat Allah ke atas seseorang" apabila dia tersangat zalim atau kufur. Misalnya seorang pemimpin yang tersangat zalim atau sangat keras kekafirannya. 


6.  Seseorang yang terkena kezaliman, harus doakan keburukan terhadap orang yang menzaliminya, tetapi menurut Imam2 kita, Masyaikh Ahlus Sunnah, sabar itu lebih utama. Ertinya jangan membalas meskipun ada kekuatan dan kesempatan.   Jika dia membalas juga penganiayaan orang terhadapnya dengan doa kecelakaan terhadapnya, maka perlu pastikan kadarnya sama dengan kezaliman yang menimpanya. Dan hal ini amat sukar.


7. Orang yang bersabar atas kezaliman manusia terhadapnya akan memperoleh dua kebaikan : Pertama : Ganjaran pahala atas kesabarannya. Kedua : dia berhak menuntut balas daripada orang yang menzaliminya di Hari Perhitungan.  


8. Cara terbaik menghadapi kejahatan dan kezaliman manusia adalah :  Mohon perlindungan Allah daripada semua manusia jahat dan zalim dan sekalian kezaliman mereka. Dan jangan doakan kematian mereka dan jangan doakan mereka ditimpa malapetaka. 


Misalnya seseorang yang teraniaya perlu berdoa : 

"Ya Allah Ya Tuhanku, jauhkanlah manusia2 zalim daripadaku".

"Ya Allah Ya Tuhanku, hapuskanlah segala perancangan jahat Penguasa2",  

"Ya Allah Ya Tuhanku, hapuskanlah kejahatan Pegawai2 Keselamatan",

"Ya Allah Ya Tuhanku, jauhkanlah muslihat Pegawai2 Perubatan", 

"Ya Allah Ya Tuhanku, jauhkanlah semua jenis fitnah manusia yang suka Pemfitnah"


Ertinya mohon Allah Ta'ala hapuskan "langkah2 jahat, perancangan jahat atau muslihat mereka", dan bukan doakan kecelakaan menimpa mereka, dan BUKAN doakan suatu keburukan atas mereka.  Sebaliknya hanya doakan agar Allah Ta'ala lemahkan  dan batalkan perancangan jahat mereka. 


Inilah jalan paling selamat untuk memelihara hati dan ketenangan pada hari Perhitungan.


Bersambung siri  195  اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 527) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّل...