■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■
PENYAKIT HATI MANUSIA BAHAYA YANG TAK DISEDARI
( Siri 36)
■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
7.3 Dosa Besar Keempat : 'Ujub'
sambungan....
Ubat dan Penawar bagi penyakit 'Ujub:
Setelah mengetahui betapa besarnya penyakit 'Ujub serta akibat2nya yang amat dahsyat sekali sehingga membawa kepada dosa besar Syirik khafi serta batal segala amal ibadahnya, maka sudah pasti setiap orang beriman akan cuba hindarkan darinya. Namun ini tidak mungkin kerana tidak ada manusia yang mampu melepaskan diri dari penyakit 'Ujub yang amat halus dan merbahaya ini.
Meskipun dia seorang alim yang besar , hafal berbagai kitab, mahir berbagai ilmu alat yang menjadikannya terkenal serata dunia, namun dia tak mampu melepaskan diri dari penyakit ini. Bahkan orang2 alim yang menguasai berbagai ilmu Syari'at serta beribadat siang dan malam lebih banyak terdedah kepada penyakit hati yang besar ini.
Dengan demikian pilihan yang tinggal adalah merawatnya. Iaitu merawat hati yang telah dikuasai oleh berbagai bentuk 'Ujub. Jalan terbaik merawat hati yang 'Ujub ini sehingga kembali bersih adalah mengambil Penawarnya dari Mursyid yang Siddiq. Hanya Mursyid yang siddiq memiliki ubat, rawatan dan penawar mujarrab bagi mengubati penyakit ini, bahkan semua penyakit yang berada di dalam batin manusia.
Mursyid akan pimpin dan mendidik setiap orang menurut Disiplin Ma'rifat yang diwarisi turun-temurun dari Junjungan Besar Rasulullah ﷺ. Warisan Agung ini BUKAN dengan fikir aqal, BUKAN teori2, BUKAN catatan kitab, ... sebaliknya ia adalah Anugerah Allah Ta'ala kepada mereka setelah mereka sendiri mujahadah pada waktu yang lama di bawah asuhan Guru Mursyid mereka sehingga mereka berjaya menundukkan segala nafsu2 kejahatan serta mengalahkan segala bisikan2 Syaitan.
Jika seseorang belum bertemu Mursyid yang Siddiq, maka kaedah sementara merawat hati yang berpenyakit ini adalah dengan Kaedah kedua : Jalan Orang awam sebagaimana telah disebut beberapa kali sebelum ini. Jalan Orang awam ini TIDAK akan mampu hapuskan segala penyakit batin termasuk 'Ujub, tetapi hanya dapat mengurangkan kesan2nya. Dan bertahan supaya penyakitnya tidak menjadi parah sampai binasa.
Jalan bagi orang awam :
(1) I'tiqad dan pandang sungguh2 dari dalam hati bahawa setiap kelebihan dan nikmat yang kita miliki berupa harta, wang ringgit, kekayaan, kepandaian, kekuasaan dll adalah haq Allah Ta'ala, BUKAN haq kita. Pada hakikatnya manusia dan makhluq seluruhnya TIDAK memiliki apa2 pun. Dengan demikian adalah kebodohan yang amat nyata seseorang mengaku sesuatu yang bukan hak dia.
(2) Tetapkan di dalam hati, setiap nikmat yang ada pada manusia itu hanyalah pinjaman yang diberikan oleh Allah Ta'ala untuk menguji sejauh mana dia bersyukur kepada Allah Ta'ala. Jika dia kenang bahawa semua itu dari Allah untuk menguji dia lalu dia bersyukur, maka selamatlah dia dunia akhirat. Sebalik nya jika dia menganggap semua itu milik dia, menganggap semua nikmat itu hasil usaha dia, maka jatuhlah dia kepada kebinasaan. Masihkah ada perasaan 'Ujub dengan kelebihan diri?
(3) Sentiasa ingat bahawa setiap makhluq adalah lemah, tiada daya upaya sedikit pun. Segala usaha ikhtiar untuk mencapai suatu kejayaan hanyalah asbab untuk mencapai sesuatu yang lain. BUKAN manusia menentukan kejayaannya atau keberhasilannya. Jika demikian halnya, maka mana mungkin manusia jadi 'Ujub dengan dirinya?
(4) Setiap ibadah yang dilakukan oleh manusia, setiap sedekah, setiap usaha da'wah dll nya atas Taufiq dan Hidayah Allah Ta'ala. Manusia TIDAK mampu melakukan apa jua ibadah, solat, puasa, sedekah, da'wah dan kebaktian lain. Maka dari mana datang 'Ujub? Apa yang dia nak hairankan dengan diri sedangkan semua yang dia perbuat adalah pada hakikatnya Taufiq dan Hidayah Allah Ta'ala?
(5) Lazimkan lakukan tiga amalan ini : Istighfar, Zikir La-Ilaha Illallah dan Solawat atas Nabi sebanyak2nya.
Semoga segala sifat 'Ujub (dan juga segala penyakit hati lain) akan terhalang dari menguasai hati.
Semua kaedah ini sangat mudah ditulis dan di suratkan namun tersangat berat untuk dihayati. Sifat Ujub akan sentiasa terselit di dalam amal ibadah tanpa disedarinya. Lazimnya setelah lama masa berlalu barulah sedar bahawa dia telah 'Ujub.
Inilah sebabnya WAJIB bagi setiap orang beriman mencari Mursyid yang siddiq (benar), berbai'at serta menerima didikannya sampai jiwanya menjadi benar2 suci bersih.
Bersambung siri 37 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
No comments:
Post a Comment