■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■
PENYAKIT HATI MANUSIA BAHAYA YANG TAK DISEDARI
( Siri 37)
■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
7.5 Dosa Besar Kelima : Tawakkal Kepada Makhluq
Sebelum melihat pengertian "Tawakkal kepada makhluq" yang terlarang, mari kita melihat dahulu pengertian sebenar "Tawakkal" yang dituntut atas setiap orang beriman.
Definisi Tawakkal:
Tawakkal berasal dari kata : " وَكَلَ " (wakala) bermaksud wakil, pengganti diri, mewakilkan, menyerahkan suatu urusan kepada seseorang yang dipercayai.
Tawakkal menurut Syara' adalah "Menyerahkan diri dan segala urusan hidup dunia akhirat sepenuhnya kepada Allah Ta'ala, serta tenang hati berserta Allah."
Penjelasan :
Maksud dari Ta'rif di atas adalah :
(1) Meyakini sepenuh hati bahawa Allah Ta'ala Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Hanya Dia penentu segala nya bagi makhluq-Nya. Dia Yang Maha Berkuasa memberi Manfaat dan Hanya Dia Maha Berkuasa menolak mudarat.
(2) Meyakini bahawa makhluq tiada kuasa apa pun pada haqiqatnya. Makhluq sekaliannya dhaif dan lemah, walau siapa pun dia, walau sebesar mana pun pangkatnya, walau betapa gagah pun dia, walau tinggi mana pun kedudukannya... semua itu tiada daya upaya sedikit pun memberikan manfaat atau menolak mudarat.
(3) Meyakini sungguh2 bahawa kemampuan seseorang melakukan sesuatu kebaikan, mendirikan ketaatan, ubudiyah adalah Anugerah Allah Ta'ala semata2, BUKAN kerana kebaikan dirinya. BUKAN kerana usaha ikhtiarnya. BUKAN kerana kekuatan yang ada padanya.
(4) Meyakini sungguh2 bahwa setiap kejayaan yang dicapainya atau dicapai oleh manusia lain seluruhnya adalah milik Allah. Allah Ta'ala Yang Maha Berkuasa memberikan kejayaan kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan Dia juga Maha Berkuasa menahan kejayaan daripada sesiapa yang Di Kehendaki-Nya.
(5) Melihat dari dalam hati bahawa tidak ada yang bergerak maupun diam melainkan dengan izin Allah. Bahkan segala sesuatu digerakkan oleh Allah Ta'ala pada haqiqatnya. Zahirnya makhluq memperbuat sesuatu sedangkan pada haqiqatnya semua itu Af'al (Perbuatan) Allah.
(6) Setiap orang WAJIB berusaha sekuat mungkin menurut kemampuannya dan kemudian menyerahkan urusan tersebut kepada Allah Ta'ala.
Dari definisi Tawakkal serta hakikat tuntutan Kalimah Syahadah....Kalimah Tauhid La-Ilaha Illallah, kita dapat memahami, orang beriman wajib Tawakkal kepada Alla Ta'ala, dan hanya Allah Ta'ala SAHAJA...!
Maka berlawanan dengan semua ini adalah Tawakkal kepada makhluq yang dilarang., iaitu:
(1) Bergantung hati kepada makhluq di dalam sebarang urusan hidup... iaitu meyakini makhluq juga mampu memberikan manfaat atau menolak mudarat.
(2) Bergantung hati kepada keupayaan dan kemampuan diri untuk melakukan sesuatu tanpa menghubungkannya kepada Allah.
(3) Mengaku dan mendakwa suatu kejayaan / kemenangan sebagai hasil usahanya sendiri.
(4) Melihat kemampuan diri melakukan suatu ibadah seperti solat, puasa, da'wah dll.
Di dalam semua keadaan tersebut di atas, dia TIDAK melihat Kekuatan yang Allah Ta'ala Kurniakan pada dia untuk melakukan semua macam ketaatan. Dia TIDAK melihat Rahmat Allah Ta'ala untuk mencapai kejayaan. Dia TIDAK melihat keberhasilan usahanya dari Kurnia Allah. Sebaliknya dia semata2 melihat keupayaan dan kekuatan dirinya atau kekuatan makhluq.
Apabila seseorang Tawakkal kepada selain Allah, meletakkan pergantungan hidup kepada makhluq, menyandarkan segala kejayaannya kepada usaha ikhtiarnya sendiri, menyandarkan segala ibadah serta keberhasilan kepada usaha ikhtiarnya sendiri, maka ketika itu berlakulah penyimpangan dari Tawakkal kepada Allah. Ini adalah Syirik khafi, syirik yang amat halus yang sangat tersembunyi.
"Tawakkal kepada selain Allah (makhluq)" ini termasuk dalam rangkaian Syirik khafi kerana berlaku penyekutuan kepada Allah di dalam hati.
Cuba perhatikan baik2 dengan pandangan tajam....
Sifat ini hampir kepada 'Ujub, namun ia bukan 'Ujub bahkan lebih halus dari 'Ujub kerana orang yang melakukan 'Ujub mempunyai rasa "bangga, megah, takjub dengan diri", berbeza dengan hal 'Tawakkal kepada makhluq" tidak mempunyai perasaan2 demikian sebaliknya dia hanya melihat dirinya mempunyai keupayaan melakukan sesuatu atau secara umumya dia melihat makhluq mempunyai kemampuan untuk memberikan manfaat dan menolak mudarat. Semua ini adalah suara hati dan hanya terpendam di dalam hati. Hal ini adalah lebih halus dari 'Ujub sekira2 tidak disedari oleh kebanyakan orang awam.
Untuk pemahaman lebih lanjut, ikuti penjelasan berikutnya....
Bersambung siri 38 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
__________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
No comments:
Post a Comment