■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■
KEWAJIPAN AMALKAN TASAWWUF-TORIQAT
(Siri 63)
■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
10.0 Rumusan Awal Dalil2 Kewajipan Toriqat - Tasawwuf
10.1 Berdasarkan Dalil2 Al-Qur'an, Hadith berserta tafsirannya oleh Ulama Ahlus Sunnah bertaraf Auliya Allah yang telah dibentangkan, selayaknya seluruh Ummat Islam sudah sedar bahawa amalkan Toriqat - Tasawwuf adalah FARDHU 'AIN atas setiap diri yang mukallaf sebagaimana kewajipan amalkan Fiqh. Meninggalkannya menghantarkan seseorang kepada kefasikan dan kekufuran.
10.2 Berdasarkan dalil2 qat'ie (terang nyata dan putus), di antara sebab2 wajib amalkan Toriqat - Tasawwuf adalah :
(1) Membersihkan hati dari syirik khafi — syirik tersembunyi : 'Ujub, Riya', Sum'ah, Takabbur, Tawakkal kepada makhluq. Semua ini adalah terhitung dosa2 besar yang memakan amal dan mengikis Iman.
(2) Membersihkan hati dan tingkah laku dari sifat2 mazmumah — iaitu sifat2 keji seperti su-uz-zonn, ( jahat sangka), tajassus (mengintai2 kesalahan orang), ghibah (mengumpat), namimah (adu domba), kazib (pendusta), fitnah (sebarkan cerita dusta dan mendatangkan kesusahan kepada orang lain), hubbud-dunya (cinta dunia), hubbul maal (cinta harta dan mengumpul2 harta), hubbujjah (cinta kepada kemegahan), rakus, tamak, zalim dan banyak lagi kekejian yang bersarang di dalam hati.
(3) Menyuburkan hati dengan sifat2 kepujian yang diredhai Allah — husnuz-zonn (Baik sangka), sabar, tawakkal, syukur, redha.
(4) Membersihkan hati dari ghaflah (kelalaian)
(5) Kekal hati zikir Allah Allah (ingat Allah terus-menerus di dalam hati tanpa berhenti )
(6) Memperoleh Ikhlas sejati
(7) Memperoleh Tauhid yang Suci Murni — mencapai Maqam Ihsan, Maqam Taqwa sebenar
10.3 Rasulullah ﷺ mendidik para Sahabat dengan Ilmu Toriqat selama 10 tahun (Amalkan zikir Allah Allah dalam hati berterusan dan mujahadah lawan nafsu) sebelum diturunkan Ilmu Syari'at / Fiqh (Kewajipan Solat) Ini menunjukkan keunggulan Ilmu Toriqat bagi pembentukan jiwa yang suci murni — Tauhid yang suci murni.
10.4 Toriqat berkait dengan wujudnya Mursyid yang siddiq dan Silsilah Rasulullah ﷺ yang benar. Tidak ada Toriqat tanpa Mursyid yang siddiq (benar), kerana keseluruhan ruh zahir dan batin Sistem Pendidikan Toriqat (bahkan keseluruhan ruh Agama) ada di dalam dada Mursyid yang yang siddiq. Ia adalah rahsia Ilahi yang dituangkan oleh Rasulullah ﷺ ke dalam dada Khulafa Ar-Rasyidin kemudian Khulafa Ar-Rasyidin tuangkannya kepada dada para Ulama Tabi'in, kemudian Tabi'in menuangkannya ke dalam dada Pewaris Nabi yang berikutnya dan begitulah sambung-menyambung perpindahan "tuangan rahsia Ilahi" ini ke dalam dada Pewaris Nabi yang siddiq sampai Qiamat.
10.5 Tasawwuf terkait dengan Ilmu Toriqat. Tasawwuf TIDAK akan terhasil melainkan seseorang melazimkan diri berguru kepada Musyid yang siddiq dan berusaha sungguh2 mengikuti sekalian disiplin Toriqat, serta berkekalan amalkan Syari'at.
10.6 Tasawwuf TIDAK diperoleh dengan hanya bercakap2 / baca kitab / berbahas / diskusi / seminar dsb. Tasawwuf yang benar adalah hiasan hati yang terpancar di dalam perkataan, perbuatan, sikap dan tingkah laku. Tasawwuf menyebut matlamat kesucian hati sedangkan Toriqat menunjukkan jalan mencapai kemuliaan dan kesucian hati.
10.7 Dalil / bukti Paling agung bahawa Toriqat itu bersumberkan Wahyu dan Sunnah Rasulullah ﷺ adalah wujudnya Silsilah Rasulullah ﷺ. Iaitu rantaian pengambilan ilmu terus menerus dari Guru kepada Guru sampai Sahabat Empat dan seterusnya Rasulullah ﷺ tanpa putus.
Sejak zaman Sahabat sampai ke zaman ini, ratusan bahkan ribuan Masyaikh yang meriwayatkan hal yang sama berhubung dengan Toriqat — tidak mungkin mereka berpakat untuk berdusta. Inilah dalil yang sahih lagi marfu' yang menempati hadith yang Mutawatir.
Sepakat Ulama Ahlus Sunnah, bahawa meninggalkan Toriqat -Tasawwuf sahaja pun sudah termasuk golongan fasiq. Apalagi menafikan, mengejek2, menghina, menentang Toriqat sahih yang diterima dari Rasulullah ﷺ — ini terlebih berat hukumannya...!'
Semoga orang2 yang membaca Risalah ini sampaikan kebenaran ini kepada sanak saudara, keluarga dekat atau jauh, teman2 dllnya agar mereka tidak termasuk ke dalam golongan penentang Sunnah Rasulullah ﷺ yang besar ini.
bersambung siri 64 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
__________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
No comments:
Post a Comment