Monday, June 22, 2026

SYARAT MURSYID PEWARIS NABI YANG SIDDIQ - FASAL 6

بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


FASAL 6:

MURSYID PALSU


Setelah kami paparkan Dalil-dalil kewujudan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (sebenar) dan kewajipan setiap Muslim mencari dan mengikuti mereka, berserta dengan syarat-syarat dan tanda-tanda Mursyid yang Benar yang dapat disaksikan sendiri oleh hamba-hamba Allah yang jujur hatinya, maka di samping semua maklumat tersebut setiap Muslim wajib juga waspada terhadap “Mursyid Palsu” atau “Sufi Palsu” yang berlagak seperti Mursyid tetapi hakikatnya mereka hanya pura-pura untuk menipu daya Ummat yang lemah.  Tujuan mereka tidak lain melainkan memenuhi keinginan peribadi dan mengaut keuntungan dunia yang hina. 


Asli dan Palsu

 

Keaslian dan kebenaran akan sentiasa menghadapi kepalsuan dan kebatilan.

 

Bagi setiap kebaikan dan kecemerlangan yang Allah Ta’ala Ciptakan bagi manusia, pasti ada musuh dan kejahatan yang tersembunyi di sebaliknya yang cuba menghalang dan menyelewengkannya kepada kebatilan dan kesesatan. Zahirnya terlihat seperti kemuliaan dan kebenaran sedang pada hakikatnya ia adalah kepalsuan yang membawa kepada kesesatan dan kekafiran.

 

Musuh tersembunyi yang sangat licik di dalam menerbitkan kepalsuan di dalam Agama adalah iblis La’natullah.  Iblis sentiasa membayangi manusia terutama orang Islam dan menerbitkan “kepalsuan-kepalsuan” sehingga manusia awam menyangka ianya kebenaran.  Iblis akan datang dari segala arah dan dengan berbagai penyamaran dan tipu daya yang mempersonakan sehingga manusia terpedaya dan jatuh kepada kesesatan dan kekufuran tanpa disedarinya.

 

Sejarah Ummat Islam buktikan kenyataan ini.  Banyak sekali orang Islam termasuk “orang alim” (iaitu alim yang hanya mahir di dalam Syari’at  semata-mata) jatuh tersungkur kepada perangkap iblis ini.  Mereka tak kenal iblis dan tipu daya dia sangat halus, akibatnya mereka terpedaya dan mengikut iblis ke gerbangnya.

 

Firman Allah:

 

الَ فَبِمَآ أَغۡوَيۡتَنِى لَأَقۡعُدَنَّ لَهُمۡ صِرَٲطَكَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ  ثُمَّ لَأَتِيَنَّهُم مِّنۢ بَيۡنِ أَيۡدِيہِمۡ وَمِنۡ خَلۡفِهِمۡ وَعَنۡ أَيۡمَـٰنِہِمۡ وَعَن شَمَآٮِٕلِهِمۡ‌ۖ وَلَا تَجِدُ أَكۡثَرَهُمۡ شَـٰكِرِينَ

 

“Iblis berkata:  Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalan-Mu yang lurus; Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur.“

[Al-A’raf (7) : Ayat 16-17]

 

Firman Allah:

 

قَالَ رَبِّ بِمَآ أَغْوَيْتَنِى لَأُزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ وَلَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ إِلَّا عِبَادَكَ مِنْهُمُ ٱلْمُخْلَصِين

Iblis berkata: “Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan buruk, keji, ma’siat, kemungkaran) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba-Mu yang ikhlas.”

[Al-‘Hijr (15) : Ayat 39-40]

 

Sifat-Sifat Umum Mursyid Palsu atau Sufi Palsu


Sesungguhnya para Masyaikh (Ulama bertaraf Auliya Allah) seperti Imam Besar Ahlus Sunnah Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu,  Imam Asy-Syazili, Imam Ghazali dan lain telah memberikan amaran keras supaya berhati-hati  terhadap  golongan Sufi PALSU.  Tanda-tanda Sufi PALSU atau Mursyid PALSU amat banyak.  Namun sebahagian besar daripadanya adalah berkaitan dengan perkara-perkara berikut:

 

1.  Tidak pernah berguru kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq. 


Mursyid palsu tidak pernah berguru kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq, yang mempunyai Silsilah sampai Rasulullah .  Orang ini lazimnya akan mengaku belajar secara ghaib dengan orang tertentu atau mengaku berguru kepada Wali Songo secara batin atau mengaku belajar dari Wali di gunung-gunung.

 

Pengakuan ini batil dan tertolak.

 

Sekalian Masyaikh telah menetapkan bahawa wajib mempelajari Agama sama ada yang bersifat Zahir (Syari’at – fiqh) maupun Toriqat (Toriqat - tasawwuf) dengan menghadap Guru (yang hidup) Pewaris Nabi yang Siddiq yang mempunyai Silsilah perguruan yang sahih, yang sampai kepada Rasulullah . 

 

Bahkan semua Ulama Pewaris Nabi termasuk mereka yang Mujaddid dan Mujtahid berguru kepada Mursyid Pewaris Nabi yang hidup yang mempunyai Silsilah Pengambilan Ilmu Warisan Nabi dengan kaedah khusus yang terpelihara kesuciannya iaitu melalui Bai’at (janji setia) dan Talaqqi Musyafahah (menghadap dan menerima ilmu dari lisan Guru).

 

Adapun pengakuan seseorang yang mempelajari Ilmu daripada Auliya yang telah wafat adalah suatu peringkat yang tinggi setelah dia mencapai Ma’rifat yang tahqiq, lazimnya sudah melepasi maqam Mukasyafah dan Gurunya sendiri mengesahkan hal tersebut.


 

2.   Tidak mempunyai silsilah pengambilan ilmu.


Perkara kedua ini mempunyai hubung kait dengan perkara pertama.  Orang ini tidak mempunyai Mursyid yang Siddiq sebagai Pemimpinnya kepada Ketuhanan.  Jika ada pun dia mempunyai seorang Guru, namun Gurunya tidak ada Silsilah pengambilan Ilmu sampai Rasulullah .  Ilmu yang dimilikinya rekaan sendiri dengan mencampur adukkan berbagai ajaran falsafah batil atau ilmu batiniah.  Atau campur adukkan  ajaran-ajaran asing yang jelas bertentangan dengan Ahlus Sunnah seperti reiki, kundalini, ilmu cakra dan lain-lain yang nyata tersesat.

 

3.    Tidak ada Manhaj (sistem) Tarbiyyah yang lengkap.


Guru PALSU tidak mempunyai Sistem lengkap Tarbiyyah keruhanian yang meliputi, Zikrullah, Tawajjuh dan Suluk.  Mereka hanya meniru sana sini menggunakan amalan biasa orang awam.

 

 

4.   Ilmu Ma’rifat dicanangkan bukan dari pengalaman keruhanian sendiri.


Orang ini sering bercakap soal Haqiqat dan Ma'rifat yang tinggi-tinggi  sedangkan semua itu bukan dari pengalaman keruhanian sebaliknya mereka kutip dari kitab-kitab Tasawwuf yang tinggi-tinggi lalu mengaku sudah miliki ilmu Ma'rifat.  Atau ungkapan berbelit-belit keluar dari hembusan atau bisikan iblis.

 

5.    Terang-terangan Menyalahi Syari’at.


Mursyid PALSU seringkali melanggar  Syari'at atau menyalahi hukum yang jelas haram seperti meninggalkan solat, puasa dan lain-lain dengan alasan sudah sampai kepada Tuhan atau mengaku sudah menjadi Tuhan.  Atau mendakwa boleh melakukan zina atau minum arak dengan dakwaan telah bebas dari syari'at.  Ini adalah pegangan orang Zindiq.

 

6.    Menunjuk-nunjuk keajaiban.


Hal ini suatu yang sangat digemari oleh Mursyid PALSU kerana ianya merupakan suatu cara licik mempengaruhi dan menundukkan pemikiran orang yang minat kepada jalan keruhanian.  Mereka mengaku sudah mendapat karomah dan sangat gemar menunjuk-nunjuknya kepada umum,  pada hal yang sebenarnya semua macam “keajaiban-keajaiban” yang dipamerkan adalah sihir mainan iblis, jinn syaitan. Sesungguhnya menunjuk-nunjuk kehebatan dan perkara-perkara keajaiban yang mencengangkan aqal bukan cara Mursyid yang Benar,  sebaliknya ia perbuatan ahli sihir, bomoh, dukun, pawang atau lain-lain sebangsanya.



7.    Menarik Tenaga Alam.

Sebahagian dari tanda Sufi Palsu atau Mursyid Palsu adalah pengakuan bahawa dia mampu menarik Tenaga Alam untuk menjadi kuat dan sihat. Mereka cuba buktikan pengakuan mereka dengan menunjuk-nunjuk berbagai kehebatan menggerakkan benda-benda dengan kekuatan minda atau batin. Semua ini termasuk sihir bantuan jinn syaitan.  Tetapi mereka tidak mengetahuinya kerana tak kenal bagaimana tipu daya halus jinn syaitan masuk menyesatkan manusia.


8.    Abaikan Syari’at atau Toriqat Rasul


Setengah-setengah dari tanda Mursyid PALSU adalah mengabaikan Syari’at dan Toriqat. Sesungguhnya kedua-duanya (Syari’at dan Toriqat) datang dari Rasulullah  , yang pada hakikat Wahyu Ilahi.  Maka barangsiapa meninggalkan salah satu daripadanya atau menafikannya atau ingkarinya, maka dia bukan dari kalangan orang beriman.  Apa lagi mengakuinya sebagai Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq, tak mungkin!


9.    Campur aduk lelaki wanita ketika berzikir.


Masyaikh kita telah menetapkan, ketika diadakan Majlis Zikrullah, maka WAJIB dipisahkan lelaki dan wanita dengan dinding (tidak memadai dengan tirai biasa).  Ini bertujuan elakkan berbagai kemungkinan fitnah kerosakan hati di samping bahaya terjadi kemungkaran.  Maka orang  yang membawa pengikutnya berzikir campur aduk antara lelaki dan perempuan tak mungkin menjadi Mursyid.



10. Mengaku dirinya sebahagian dari Tuhan atau menjadi Tuhan.

Lazimnya orang yang mengeluarkan ucapan-ucapan ini adalah dari Golongan Hakikat PALSU atau Golongan Batiniah atau Zindiq.  Wal Iyazubillah.

 

Demikianlah  sebahagian dari tanda-tanda Mursyid PALSU atau Sufi PALSU.  Walau bagaimanapun tidak semestinya semua sifat tersebut terkumpul pada seseorang.  Mungkin sebahagian sifat-sifatnya wujud pada satu golongan dan sebahagian lagi pada golongan lain.

Sebagaimana juga pemimpin bagi golongan Wahhabiyyah (khawarij), Syi'ah (rafidhi), golongan Sekular dan lain-lainnya berjumlah 72 golongan sesat juga dipimpin oleh iblis,  golongan Ilmu keruhanian PALSU atau Sufi PALSU juga  dipimpin oleh iblis sedang mereka tidak menyedarinya.

Inilah sebabnya sekalian Ulama Mu'tabar telah memberi peringatan dan AMARAN... jangan kamu berjalan sendirian kerana iblis, jinn syaitan akan pimpin kamu kepada gerbang iblis — kepada kesesatan.  Sebaliknya kamu WAJIB berguru kepada Guru Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq.  Jangan sesekali terpesona dengan “wayang” dan “keajaiban-keajaiban yang membuat manusia tercengang”  atau “menembusi hukum alam” yang mana semua ini BUKAN matlamat Mursyid Pewaris Nabi dan BUKAN Matlamat Toriqat Nabi .

 


....bersambung Mursyid Palsu atau Sufi Palsu 

pada Zaman Terdahulu...... اِ نْ شَآ ءَ اللّه

Sunday, June 21, 2026

SYARAT MURSYID PEWARIS NABI YANG SIDDIQ - FASAL 5

بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


FASAL 5:

TANDA-TANDA MURSYID PEWARIS NABI YANG SIDDIQ 


Selain dari syarat-syarat seorang Mursyid yang Benar sebanyak 10 perkara,  seperti yang telah kami huraikan, seseorang Mursyid yang Benar dapat dikenali dengan melihat dan merasai tanda-tandanya dari dalam hati.  Maksudnya orang yang benar-benar ikhlas mencari Mursyid pembimbingnya akan dapat merasai tanda-tanda Mursyid ini dari dalam hatinya ketika dia bersama Guru tersebut atau ketika hadir di dalam mana-mana Majlisnya.

 

Pertama: 

Apabila bersamanya, banyak ingatkan Allah.  Bahkan hanya dengan melihat wajahnya terus ingat Allah.  Ini bukti paling kuat benarnya dia Mursyid yang Siddiq (Benar) kerana seorang Mursyid yang Benar membawa Cahaya Muhammad dan menyinarinya kepada murid-muridnya dan orang-orang sekelilingnya.  Tetapi hanya hamba-hamba Allah yang suci hati mampu merasainya.

 

Kedua: 

Apabila bersamanya, bertambah amal ibadah dan kebaikan tanpa dipaksa-paksa.

 

Ketiga: 

Apabila bersamanya, kemungkaran dan kekejian tertolak dengan sendiri.

 

 

Keempat:

Apabila bersamanya, bertambah ilmu dan kefahaman Agama yang benar menurut Ahlus Sunnah.

 

Kelima: 

Setiap Kalimah yang diucapkannya akan membuat hati takut kepada Allah.

 

Keenam: 

Duduk di dalam Majlis-majlis beliau akan mendatangkan keinsafan mendalam dan terasa kekurangan dan kehinaan diri.

 

Ketujuh: 

Syirik Khafi — takabbur, ujub, riya, sum'ah lebur dengan sendirinya ketika hadir bersamanya.

 

Kelapan: 

Setiap ibadah bersamanya menjadi lebih khusyu'.

 

Kesembilan:

Setiap Majlisnya dipenuhi Rahmat sehingga terasa sejuk hati berserta Allah.

 

Kesepuluh:

Apabila selalu bersamanya, hati semakin mencintai Allah.

Ini antara penelitian yang boleh dijadikan panduan untuk mengukur, menilai, mengenalpasti orang yang kita ingin jadikan sebagai Guru pendidik atau pemimpin atau pembimbing itu baik untuk dunia akhirat kita atau sebaliknya.


Tambahan Rahmat Allah Kepada Yang Sudah Bai’at


Semua tanda-tanda Mursyid yang disebutkan di atas juga merupakan kesan-kesan yang akan dirasai oleh seseorang setelah Berbai’at.  Bahkan lebih daripada itu.  Sebagai tambahan, mereka yang sudah Bai’at akan di-Kurniakan oleh Allah beberapa keistimewaan lain bagi kekuatan Iman dan Ubudiyyah seperti yang berikut:

 

(1) Memperoleh limpahan ruhaniyah Gurunya, Masyaikh dan Rasulullah  yang membuka kepada pintu hidayah dan Tauhid.  Dengan demikian tetap hati pada Iman dan amal serta tetap hati pada Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

 

(2)   Menolak segala was-was nafsu dan bisikan iblis yang sentiasa menimbulkan keraguan di dalam hati.

 

(3)    Menolak gangguan jinn syaitan seperti histeria, rasukan, sihir dan lain-lain.

 

(4)  Membantu mengikis sedikit demi sedikit sifat  Mazmumah (kekejian) dan terbina sedikit demi sedikit sifat Mahmmudah (terpuji).

 

(5)    Membantu hapuskan syirik-syirik khafi yang merosak Iman dan cemarkan Ibadah.

 

(6)    Memperoleh kebahagiaan hati, kelapangan hidup.  Walaupun rezekinya sedikit namun mencukupi.

 

(7)    Khusyu’ di dalam Solat.


(8)   Memimpin kepada  pintu-pintu Ma'rifat, iaitu Tauhid  yang  suci murni.  Dan inilah pokok faedah atau kepala keberuntungan bagi murid.

 

Memang benar, tidaklah semua kebaikan yang tersebut di atas itu datang sekaligus tetapi berperingkat-peringkat, terutama kebaikan  lebih istimewa seperti khusyu’ dalam solat, hilangnya ujub, riya dan lain-lain akan datang beransur ansur.  Tetapi sebahagian besar tanda-tanda kebenaran seorang Mursyid  dapat dirasai, ketika awal-awal ingin Bai'at lagi.  Bahkan sebahagian orang yang bai'at, seketika bai’at itu juga mereka telah mendapat zauq (pemerasaan hati) dan  jazbah (kedatangan Nur Allah).




.....bersambung ke Fasal 6....... اِ نْ شَآ ءَ اللّه


SYARAT MURSYID PEWARIS NABI YANG SIDDIQ - FASAL 4

بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


FASAL 4:

SYARAT MURSYID PEWARIS NABI YANG SIDDIQ



sambungan....


Syarat ke-6 :  Bersifat Siddiq (Benar) Dalam Perkataan dan Perbuatannya

Seorang Shaikh yang benar adalah sentiasa BENAR di dalam perkataan dan perbuatannya.  Dia bukanlah seorang pendusta atau penipu kerana penipuan dan pendustaan adalah sifat orang munafiq.

Ini  amat berbeza dengan Ulama-ulama  As-su (ulama jahat) dan Ulama sesat yang sanggup menjual agama untuk habuan dunia dan nafsu.  Mereka sanggup menipu ummat demi mendapat kedudukan tinggi  di sisi Pemerintah atau Pemimpin.  Mereka adalah “Ulama-ulama” politik yang menjual Ayat-ayat Allah dengan harga yang murah.


Syarat ke-7 :  Tidak Mencintai Dunia

Kurang dunianya, iaitu tidak mencintai dunia atau mengejar dunia.  Hidup beliau penuh di dalam kesederhanaan.  Beliau bukan seorang yang mengejar pangkat, kemewahan atau kedudukan.  Sebaliknya hidup beliau menjauhkan segala urusan yang menghambatnya kepada keduniaan.  Pandangan dan perjuangan beliau adalah seperti perjuangan Nabi , bersifat sederhana dan memadai dengan pemberian Allah dan tiada berhenti menyeru manusia kepada Kalimah Tauhid! Demikianlah mereka mencontohi kehidupan Rasulullah dalam kepimpinan mereka dan seluruh kehidupan dan di dalam pendidikan mereka.

Seseorang yang mengaku Murshid tetapi mengumpul-ngumpul kekayaan atau hidup mewah di atas harta yang ditagih dari murid-muridnya, tidak boleh dikatakan Murshid yang haq, sebaliknya dia adalah hamba dunia dan nafsu!

Imam Asy-Sya'rani Radhiallahu anhu berkata:

“Di antara tanda benarnya seorang Mursyid adalah; Tidak menyalah-gunakan amanah para muridnya, tidak menggunakan harta benda mereka dalam bentuk dan kesempatan apa pun dan juga tidak menginginkan apa yang ada pada mereka.

[Lawaqihul Anwaar al-Qudsiyah].

 

 Penjagaan:

(1)    Lain halnya, jika seorang  Mursyid itu  memperoleh kemudahan-kemudahan berupa kebendaaan atau lain-lain dari sumbangan ikhlas muridnya atau dari orang-orang lain, maka ini tidak menjadi kesalahan.  Ertinya kemungkinan Allah Ta’ala melimpahkan kekayaan harta kepada setengah-setengah Mursyid.  Walau bagaimanapun seseorang Mursyid yang Siddiq TIDAK  sama sekali terpengaruh dengan kekayaan yang Allah melimpahkan padanya.  Beliau akan tetap dan terus ubudiyyah dan khidmat kepada Ummat, tanpa henti.  Bagi mereka ada atau tiadanya dunia sama sahaja.   Jika Allah Ta’ala Kurniakan kepada mereka harta yang banyak, mereka melihat Allah lalu sedekahkannya kepada faqir miskin.  Jika tiada harta mereka tetap melihat Allah dan Redha dengan Ketentuan-Nya.

 

(2)    Setengah Auliya Allah yang menduduki Maqam yang sangat tinggi, mungkin kelihatan pada zahirnya hidup mewah dengan kediaman yang besar dan pakaian yang hebat-hebat.  Namun semua bentuk kemewahan yang terlihat tidak sedikit pun menyebakan kelalaian hati mereka, sebaliknya mereka sentiasa di Hadratul Quddus menyaksikan Wajah Zat Yang Maha Agung.  Kediaman besar mereka lazimnya digunakan untuk Majlis-majlis Ilmu atau Majlis Zikir mereka, bukan untuk kepentingan mereka.  Wang ringgit mereka sekaliannya disedekahkan kepada faqir miskin.  Hati mereka tidak sedikit pun terikat dengan harta duniawi.  Oleh yang demikian, murid pada Jalan Ma’rifat hendaklah sentiasa sangka baik kepada Masyaikh kita ketika dihadapkan hal-hal demikian. 

 


Syarat ke-8 :  Lemah Lembut dan Penyayang Kepada Orang Beriman

 

Mursyid yang Siddiq memiliki sifat kasih sayang dan lemah lembut kepada manusia di dalam pergaulan serta mencontohi segala akhlaq Nabi.  Beliau mencontohi Rasul di dalam mendidik Ummat kepada ketuhanan.  Beliau sangat penyabar dan lemah lembut di dalam pergaulan sesama manusia tanpa mengira pangkat atau darjat manusia.  Walau bagaimanapun beliau sangat tegas di dalam mendirikan hukum agama.  Beliau tidak akan tolak ansur ketika Agama Allah di-Permainkan atau hukum Allah dipersendakan.

 

Beliau mungkin memarahi seseorang yang melanggar hukum Agama.  Ataupun seseorang yang sangat keras hati,  atau menyombong diri.....  semua ini  bertujuan mendidik,  bukan kemarahan kerana nafsu.  Namun beliau bukanlah orang yang selalu di dalam keadaan demikian.  Inilah yang disebut oleh Imam Jailani dengan kata beliau: "Dia (Murshid) mestilah sangat lemah lembut dalam perkataan dan tingkah lakunya kepada yang berhajat, selalu memuliakan tetamu-tetamu yang datang kepadanya dengan penuh kasih sayang."

[Qala’id Al-Jawahir]

 

Al Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu adalah Mursyid Pewaris Nabi yang unggul, yang benar-benar mencontohi keperibadian dan Akhlaq Rasulullah .  Beliau terkenal dengan sifat lemah lembut kepada tetamu dan orang-orang beriman.  Beliau sangat pemurah kepada yang memerlukan.  Beliau sering makan bersama faqir miskin dan muliakan hamba-hamba Allah yang dipandang hina.  Namun ketika hukum Allah di-Permainkan, beliau TIDAK akan tolak ansur.  Beliau akan segera "memotong" tangan-tangan yang cuba merobek hukum-hakam Syari'at.  

 

Suatu ketika Khalifah yang memerintah di Baghdad melantik Menteri yang tidak layak menduduki posisi sebagai Hakim.  Maka segera Shaikh berkhutbah dari mimbar:

"Engkau telah melantik pegawai yang paling zalim sebagai "hakim"  atas orang beriman.  Apakah jawapan engkau nanti apabila engkau dihadapkan kepada "Hakim Maha Agung" yang Memiliki Semesta alam?"  Mendengar Amaran tersebut,  Khalifah menangis ketakutan  dan terus memecat Hakim yang telah dilantiknya.”

[Qala'id Al Jawahir]

 

Syarat ke-9 : Wajah dan Perkataannya Berpengaruh Kepada Sesiapa Melihatnya

Wajah seorang Mursyid yang benar memancarkan Cahaya Keimanan sehingga orang yang melihatnya terus Ingat Allah.  Perkataannya dan gerak-gerinya juga memberi kesan yang mendalam ke dalam hati orang yang melihatnya. Sesungguhnya ciri ini  satu daripada tanda  terbesar bagi menunjukkan kebenaran seorang Mursyid Pewaris Nabi yang Benar.

Barangsiapa mencari dengan penuh keimanan dan keikhlasan, pasti menemui ciri ini pada seseorang Mursyid Pewaris Nabi yang Benar.  Orang yang memandang beliau akan membawanya kepada Ingat akan Allah Ta'ala. Bahkan hanya dengan mengingat-ingat  wajahnya membawa kepada seribu Rahmat Allah di dalam kehidupan dan menolakkan pelbagai gangguan dan bahaya!


Rasulullah bersabda:

"Orang yang terbaik di kalangan kamu ialah orang yang apabila dilihatnya, dapat mengingatkan kamu kepada Allah, percakapannya menambahkan ilmu kamu, perbuatannya (amalannya) mendekatkan kamu kepada akhirat.”
[Imam Al-Haakim ]

 

Rasulullah bersabda:

“ Sesungguhnya ada sebahagian  manusia menjadi kunci kebaikan dan penutup kejelekan, dan ada pula sebahagian manusia yang menjadi kunci kejelekan dan penutup kebaikan.  Maka beruntunglah bagi siapa saja yang Allah jadikan kunci-kunci kebaikan berada di tangannya, dan celakalah bagi siapa saja yang Allah jadikan kunci-kunci kejelekan berada di tangannya.”

[Imam Ibnu Majah]

 

Rasulullah   bersabda:

“Sebaik-baik kamu adalah apabila dia dilihat, membawa mengingat Allah.”
[Imam Ibnu Majah]

 

Para Ulama Ahli Sunnah yang Arif mentafsirkan bahawa yang dikehendaki dengan Hadith-hadith tersebut adalah Mursyid yang mewarisi Rasulullah  dengan kebenaran.  Kamu melihat tanda-tanda ini dan merasai kesannya dalam hati kamu, lalu datang keyakinan yang teguh bahawa inilah Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq yang kamu mencari selama ini. 


Syarat ke-10 : Terkenal di Tempat Jauh

 

Seorang Mursyid Pewaris Nabi  yang Benar akan dikenali oleh mereka yang jauh dari tempatnya. Allah Taala akan memberikan Ilham dan Petunjuk kepada manusia untuk mencari hamba-hamba Allah ini walaupun dari jauh. Ulama-ulama meletakkan syarat ini sebagai membezakan dengan Guru palsu atau penipu.  Ini kerana lazimnya Guru yang penipu akan sedaya upaya mengawal muridnya supaya tidak terbocor rahsia kejahatannya.  Salah satu cara adalah dengan mengongkong mereka dengan dakwaan-dakwaan palsu.

 

Demikianlah kami himpunkan 10 syarat yang wajib ada pada seorang Shaikh Mursyid atau Ahli Sufi atau Ahli Ma'rifat atau  Warisatul Anbiya' yang Siddiq (Benar).  Syarat-syarat ini diambil daripada Wali-wali Allah 0yang terkenal;  di  antaranya Al Ghawth Al-A'zhom Qutb Rabbani Shaikh Muhyiddin Abdul Qodir Jilani, Shaikh Abu Hasan Asy Syazili, Shaikh Junaid Al Baghdadi, Shaikh Ahmad Kamasykhanawi,  Shaikh Hujweri,  Shaikh Yahya Al-Kholidi dan lain-lain. Mudah-mudahan ianya menjadi panduan berguna bagi pencari-pencari kebenaran atau jalan menuju Allah yang haq.

 

Para Wali Allah, Ulama Pewaris Nabi yang Siddiq telah meletakkan garis panduan yang cukup lengkap dan penuh sistematik.  Semua syarat, peraturan dan adab yang disusun itu adalah berdasarkan Kitabullah dan Sunnah Rasul. Mereka BUKAN menetapkannya mengikut nafsu.  Mereka adalah hamba-hamba Allah yang takut kepada Allah, mereka musyahadah Wajah Allah (menyaksikan Wajah Allah) pada setiap saat sehingga setiap suatu yang mereka memperbuat adalah di dalam Keredhaan Allah.

 

Maka sayugianya, jangan ada yang cuba pertikaikan peraturan yang telah ditetapkan.  Ada kalanya setengah perkara yang mereka susun tidak sesuai dengan pendapat aqal atau nafsu kita, tetapi mereka lebih arif berkenaan apa yang diperlukan oleh Ummat. 



 - Selesai Fasal 4 -



.....bersambung ke Fasal 5....... اِ نْ شَآ ءَ اللّه



SYARAT MURSYID PEWARIS NABI YANG SIDDIQ - FASAL 8

بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ FASAL 8: PANDUAN MENCARI MURSYID YANG SI...