Sunday, June 21, 2026

SYARAT MURSYID PEWARIS NABI YANG SIDDIQ - FASAL 4

بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


FASAL 4:

SYARAT MURSYID PEWARIS NABI YANG SIDDIQ



sambungan....


Syarat ke-6 :  Bersifat Siddiq (Benar) Dalam Perkataan dan Perbuatannya

Seorang Shaikh yang benar adalah sentiasa BENAR di dalam perkataan dan perbuatannya.  Dia bukanlah seorang pendusta atau penipu kerana penipuan dan pendustaan adalah sifat orang munafiq.

Ini  amat berbeza dengan Ulama-ulama  As-su (ulama jahat) dan Ulama sesat yang sanggup menjual agama untuk habuan dunia dan nafsu.  Mereka sanggup menipu ummat demi mendapat kedudukan tinggi  di sisi Pemerintah atau Pemimpin.  Mereka adalah “Ulama-ulama” politik yang menjual Ayat-ayat Allah dengan harga yang murah.


Syarat ke-7 :  Tidak Mencintai Dunia

Kurang dunianya, iaitu tidak mencintai dunia atau mengejar dunia.  Hidup beliau penuh di dalam kesederhanaan.  Beliau bukan seorang yang mengejar pangkat, kemewahan atau kedudukan.  Sebaliknya hidup beliau menjauhkan segala urusan yang menghambatnya kepada keduniaan.  Pandangan dan perjuangan beliau adalah seperti perjuangan Nabi , bersifat sederhana dan memadai dengan pemberian Allah dan tiada berhenti menyeru manusia kepada Kalimah Tauhid! Demikianlah mereka mencontohi kehidupan Rasulullah dalam kepimpinan mereka dan seluruh kehidupan dan di dalam pendidikan mereka.

Seseorang yang mengaku Murshid tetapi mengumpul-ngumpul kekayaan atau hidup mewah di atas harta yang ditagih dari murid-muridnya, tidak boleh dikatakan Murshid yang haq, sebaliknya dia adalah hamba dunia dan nafsu!

Imam Asy-Sya'rani Radhiallahu anhu berkata:

“Di antara tanda benarnya seorang Mursyid adalah; Tidak menyalah-gunakan amanah para muridnya, tidak menggunakan harta benda mereka dalam bentuk dan kesempatan apa pun dan juga tidak menginginkan apa yang ada pada mereka.

[Lawaqihul Anwaar al-Qudsiyah].

 

 Penjagaan:

(1)    Lain halnya, jika seorang  Mursyid itu  memperoleh kemudahan-kemudahan berupa kebendaaan atau lain-lain dari sumbangan ikhlas muridnya atau dari orang-orang lain, maka ini tidak menjadi kesalahan.  Ertinya kemungkinan Allah Ta’ala melimpahkan kekayaan harta kepada setengah-setengah Mursyid.  Walau bagaimanapun seseorang Mursyid yang Siddiq TIDAK  sama sekali terpengaruh dengan kekayaan yang Allah melimpahkan padanya.  Beliau akan tetap dan terus ubudiyyah dan khidmat kepada Ummat, tanpa henti.  Bagi mereka ada atau tiadanya dunia sama sahaja.   Jika Allah Ta’ala Kurniakan kepada mereka harta yang banyak, mereka melihat Allah lalu sedekahkannya kepada faqir miskin.  Jika tiada harta mereka tetap melihat Allah dan Redha dengan Ketentuan-Nya.

 

(2)    Setengah Auliya Allah yang menduduki Maqam yang sangat tinggi, mungkin kelihatan pada zahirnya hidup mewah dengan kediaman yang besar dan pakaian yang hebat-hebat.  Namun semua bentuk kemewahan yang terlihat tidak sedikit pun menyebakan kelalaian hati mereka, sebaliknya mereka sentiasa di Hadratul Quddus menyaksikan Wajah Zat Yang Maha Agung.  Kediaman besar mereka lazimnya digunakan untuk Majlis-majlis Ilmu atau Majlis Zikir mereka, bukan untuk kepentingan mereka.  Wang ringgit mereka sekaliannya disedekahkan kepada faqir miskin.  Hati mereka tidak sedikit pun terikat dengan harta duniawi.  Oleh yang demikian, murid pada Jalan Ma’rifat hendaklah sentiasa sangka baik kepada Masyaikh kita ketika dihadapkan hal-hal demikian. 

 


Syarat ke-8 :  Lemah Lembut dan Penyayang Kepada Orang Beriman

 

Mursyid yang Siddiq memiliki sifat kasih sayang dan lemah lembut kepada manusia di dalam pergaulan serta mencontohi segala akhlaq Nabi.  Beliau mencontohi Rasul di dalam mendidik Ummat kepada ketuhanan.  Beliau sangat penyabar dan lemah lembut di dalam pergaulan sesama manusia tanpa mengira pangkat atau darjat manusia.  Walau bagaimanapun beliau sangat tegas di dalam mendirikan hukum agama.  Beliau tidak akan tolak ansur ketika Agama Allah di-Permainkan atau hukum Allah dipersendakan.

 

Beliau mungkin memarahi seseorang yang melanggar hukum Agama.  Ataupun seseorang yang sangat keras hati,  atau menyombong diri.....  semua ini  bertujuan mendidik,  bukan kemarahan kerana nafsu.  Namun beliau bukanlah orang yang selalu di dalam keadaan demikian.  Inilah yang disebut oleh Imam Jailani dengan kata beliau: "Dia (Murshid) mestilah sangat lemah lembut dalam perkataan dan tingkah lakunya kepada yang berhajat, selalu memuliakan tetamu-tetamu yang datang kepadanya dengan penuh kasih sayang."

[Qala’id Al-Jawahir]

 

Al Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu adalah Mursyid Pewaris Nabi yang unggul, yang benar-benar mencontohi keperibadian dan Akhlaq Rasulullah .  Beliau terkenal dengan sifat lemah lembut kepada tetamu dan orang-orang beriman.  Beliau sangat pemurah kepada yang memerlukan.  Beliau sering makan bersama faqir miskin dan muliakan hamba-hamba Allah yang dipandang hina.  Namun ketika hukum Allah di-Permainkan, beliau TIDAK akan tolak ansur.  Beliau akan segera "memotong" tangan-tangan yang cuba merobek hukum-hakam Syari'at.  

 

Suatu ketika Khalifah yang memerintah di Baghdad melantik Menteri yang tidak layak menduduki posisi sebagai Hakim.  Maka segera Shaikh berkhutbah dari mimbar:

"Engkau telah melantik pegawai yang paling zalim sebagai "hakim"  atas orang beriman.  Apakah jawapan engkau nanti apabila engkau dihadapkan kepada "Hakim Maha Agung" yang Memiliki Semesta alam?"  Mendengar Amaran tersebut,  Khalifah menangis ketakutan  dan terus memecat Hakim yang telah dilantiknya.”

[Qala'id Al Jawahir]

 

Syarat ke-9 : Wajah dan Perkataannya Berpengaruh Kepada Sesiapa Melihatnya

Wajah seorang Mursyid yang benar memancarkan Cahaya Keimanan sehingga orang yang melihatnya terus Ingat Allah.  Perkataannya dan gerak-gerinya juga memberi kesan yang mendalam ke dalam hati orang yang melihatnya. Sesungguhnya ciri ini  satu daripada tanda  terbesar bagi menunjukkan kebenaran seorang Mursyid Pewaris Nabi yang Benar.

Barangsiapa mencari dengan penuh keimanan dan keikhlasan, pasti menemui ciri ini pada seseorang Mursyid Pewaris Nabi yang Benar.  Orang yang memandang beliau akan membawanya kepada Ingat akan Allah Ta'ala. Bahkan hanya dengan mengingat-ingat  wajahnya membawa kepada seribu Rahmat Allah di dalam kehidupan dan menolakkan pelbagai gangguan dan bahaya!


Rasulullah bersabda:

"Orang yang terbaik di kalangan kamu ialah orang yang apabila dilihatnya, dapat mengingatkan kamu kepada Allah, percakapannya menambahkan ilmu kamu, perbuatannya (amalannya) mendekatkan kamu kepada akhirat.”
[Imam Al-Haakim ]

 

Rasulullah bersabda:

“ Sesungguhnya ada sebahagian  manusia menjadi kunci kebaikan dan penutup kejelekan, dan ada pula sebahagian manusia yang menjadi kunci kejelekan dan penutup kebaikan.  Maka beruntunglah bagi siapa saja yang Allah jadikan kunci-kunci kebaikan berada di tangannya, dan celakalah bagi siapa saja yang Allah jadikan kunci-kunci kejelekan berada di tangannya.”

[Imam Ibnu Majah]

 

Rasulullah   bersabda:

“Sebaik-baik kamu adalah apabila dia dilihat, membawa mengingat Allah.”
[Imam Ibnu Majah]

 

Para Ulama Ahli Sunnah yang Arif mentafsirkan bahawa yang dikehendaki dengan Hadith-hadith tersebut adalah Mursyid yang mewarisi Rasulullah  dengan kebenaran.  Kamu melihat tanda-tanda ini dan merasai kesannya dalam hati kamu, lalu datang keyakinan yang teguh bahawa inilah Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq yang kamu mencari selama ini. 


Syarat ke-10 : Terkenal di Tempat Jauh

 

Seorang Mursyid Pewaris Nabi  yang Benar akan dikenali oleh mereka yang jauh dari tempatnya. Allah Taala akan memberikan Ilham dan Petunjuk kepada manusia untuk mencari hamba-hamba Allah ini walaupun dari jauh. Ulama-ulama meletakkan syarat ini sebagai membezakan dengan Guru palsu atau penipu.  Ini kerana lazimnya Guru yang penipu akan sedaya upaya mengawal muridnya supaya tidak terbocor rahsia kejahatannya.  Salah satu cara adalah dengan mengongkong mereka dengan dakwaan-dakwaan palsu.

 

Demikianlah kami himpunkan 10 syarat yang wajib ada pada seorang Shaikh Mursyid atau Ahli Sufi atau Ahli Ma'rifat atau  Warisatul Anbiya' yang Siddiq (Benar).  Syarat-syarat ini diambil daripada Wali-wali Allah 0yang terkenal;  di  antaranya Al Ghawth Al-A'zhom Qutb Rabbani Shaikh Muhyiddin Abdul Qodir Jilani, Shaikh Abu Hasan Asy Syazili, Shaikh Junaid Al Baghdadi, Shaikh Ahmad Kamasykhanawi,  Shaikh Hujweri,  Shaikh Yahya Al-Kholidi dan lain-lain. Mudah-mudahan ianya menjadi panduan berguna bagi pencari-pencari kebenaran atau jalan menuju Allah yang haq.

 

Para Wali Allah, Ulama Pewaris Nabi yang Siddiq telah meletakkan garis panduan yang cukup lengkap dan penuh sistematik.  Semua syarat, peraturan dan adab yang disusun itu adalah berdasarkan Kitabullah dan Sunnah Rasul. Mereka BUKAN menetapkannya mengikut nafsu.  Mereka adalah hamba-hamba Allah yang takut kepada Allah, mereka musyahadah Wajah Allah (menyaksikan Wajah Allah) pada setiap saat sehingga setiap suatu yang mereka memperbuat adalah di dalam Keredhaan Allah.

 

Maka sayugianya, jangan ada yang cuba pertikaikan peraturan yang telah ditetapkan.  Ada kalanya setengah perkara yang mereka susun tidak sesuai dengan pendapat aqal atau nafsu kita, tetapi mereka lebih arif berkenaan apa yang diperlukan oleh Ummat. 



 - Selesai Fasal 4 -



.....bersambung ke Fasal 5....... اِ نْ شَآ ءَ اللّه



No comments:

Post a Comment

SYARAT MURSYID PEWARIS NABI YANG SIDDIQ - FASAL 6

 بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ FASAL 6: MURSYID PALSU sambungan.... Mu...