Friday, November 29, 2024

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 572)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 67:

Enggan beri makan

kepada faqir miskin

.....Sambungan....



Contoh-contoh:

============


Contoh 1:

Seseorang mengherdik orang yang datang meminta makanan kerana kelaparan dengan kata-kata kehinaan seperti "kamu pemalas, pergilah cari kerja" atau dia berkata: "kamu pura-pura miskin" atau kata-kata kehinaan yang lain.  Orang ini bukan sahaja enggan memberi makan orang yang kelaparan, tambah lagi dia menghina orang miskin.


Contoh 2:

Enggan hulurkan bantuan makanan atau lain-lain kepada jiran yang diketahuinya miskin dan kelaparan sedangkan dirinya hidup mewah.


Contoh 3:

Tidak pedulikan nasib mereka yang terkena suatu musibah seperti banjir, tanah runtuh, kebakaran atau lainnya. 


Contoh 4:

Ketika penyakit "covid 19" melanda dunia pada tahun 2019, 2020, 2021, ramai hilang pekerjaan dan sumber pendapatan.  Alhamdulillah ramai yang tampil hulurkan bantuan kepada mereka yang putus rezeki akibat dihentikan kerja atau perniagaan bankrap atau lain-lain.  Malangnya tidak semua orang yang berharta sedia hulurkan bantuan.  Ahli politik pula mempunyai agenda tersendiri menaikkan nama masing-masing sehingga bantuan tak sampai kepada mangsa.  Mereka ini bukan sahaja enggan "memberi makan kepada yang memerlukan", bahkan mereka adalah "penghalang" kepada kebajikan.


Contoh 5:

Setiap hari kita mendengar saudara kita di Syria, Yemen, Palestine menderita kelaparan, kesakitan dan rumah kediaman musnah.  Ummat Islam seluruh dunia kirimkan bantuan kepada mereka.  

Malangnya tidak semua  petugas yang diamanahkan benar-benar jujur.  Sebahagian mereka telah makan secara batil  sedekah Ummat kepada mangsa.  Ertinya mereka bukan sahaja tidak memberi makan dan tidak menganjurkan memberi makan kepada mangsa yang kelaparan, sebaliknya mereka "merampas" hak mereka yang kelaparan...!


Bersambung siri 573   اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

========================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 571)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 67:

Enggan beri makan

kepada faqir miskin

.....Sambungan....



Berkata Imam Qurtubi Radhiallahu anhu:

"Firman Allah Ta'ala "  كَلاَّ "  (sekali-kali tidak demikian)."  Ini adalah bantahan.  Sebenarnya tidak seperti sangkaan mereka.  Kekayaan bukan menunjukkan kemuliaan seseorang dan kefakiran bukan menunjukkan kehinaan. Kefakiran dan kehinaan itu adalah Ketetapan dan Keputusan-Ku (Milik Allah). 


Al-Farra' berkata  "  كَلاَّ " di tempat ini bermakna tidak layak seseorang bersikap seperti itu.  Sebaliknya dia wajib memuji Allah atas kekayaan dan kefakiran. 


Di dalam sebuah hadith :  Allah 'Azza- wa Jalla berfirman: "Sekali-kali tidak.  Aku tidak Memuliakan orang yang Aku Muliakan dengan banyaknya dunia dan tidak Menghinakan orang yang Aku Hinakan dengan sedikitnya dunia. Sesungguhnya Aku Memuliakan orang yang Aku Muliakan dengan ta'at kepada-Ku dan Aku Menghinakan orang yang Aku Hinakan dengan maksiat kepada-Ku" (Riwayat Imam Malik di dalam perbahasan berkenaan sedekah).


Sebenarnya (kehinaan kamu, wahai orang kaya yang kufur adalah kerana) kamu tidak memuliakan anak yatim dan kamu saling tidak mengajak memberi makan orang miskin dan tidak menyuruh keluarga kamu memberi makan kepada orang miskin yang datang kepada kamu."

[Tafsir Al-Qurtubi]


Tambahan: Pengajaran Pokok dari tafsiran Ulama

Pokok pengajaran dari Kalam Allah ini adalah :  Kalam Allah ini menjunam ke dalam hati, menghancurkan sangkaan kebanyakan manusia bahawa kemuliaan dan kehinaan seseorang di Sisi Allah diukur dengan pandangan dan pemilikan yang bersifat duniawi. 

Maksudnya kebanyakan manusia menyangka seseorang yang kaya- raya dengan harta benda duniawi — wang ringgit, dinar dan dirham, intan dan berlian, gedung-gedung perniagaan, sebagai orang yang telah mendapat kemuliaan di Sisi Allah, sementara orang yang miskin, faqir, tiada harta, dianggap sebagai orang yang hina di Sisi Allah.  Sedangkan pendirian demikian adalah batil, yang jelas bertentangan dengan Ketetapan Allah.  


Kebenarannya adalah:

Ukuran kemuliaan atau kehinaan di Sisi Allah adalah Iman, Tauhid, Taqwa, Ma'rifat kepada Allah.  Mereka yang lebih tinggi Iman dan Taqwanya, maka dialah yang lebih utama dan memperoleh Kasih dan Keredhaan Allah, mencapai kemenangan dunia Akhirat.  Sedangkan orang yang kaya-raya, hartawan dan jutawan, namun dia kufur kepada Nikmat Allah, maka dialah manusia hina yang menerima Laknat dan Kemurkaan Allah Ta'ala. 


Di dalam Kalam Allah ini, Allah Ta'ala menegaskan sebahagian dari asbab seseorang yang kaya-raya menerima Kehinaan dan Kemurkaan Allah adalah kerana enggan memberi makan kepada faqir miskin dan tidak pula menganjurkan orang lain memberi makan kepada hamba-hamba Allah yang kelaparan.


Dalil 3: Rasulullah ﷺ bersabda:

لَيْسَ الْمُؤْمِنُ بِالَّذِي يَشْبَعُ وَجَارُهُ جَائِعٌ.⁣


"Tidak termasuk orang yang beriman, orang yang kenyang sementara jiran tetangganya kelaparan." ⁣

⁣[Imam Ath-Thabarani]



Bersambung siri 572   اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

========================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 570)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 67:

Enggan beri makan

kepada faqir miskin

.....Sambungan....



Dalil 2: Firman Allah


 فَأَمَّا ٱلإِنسَانُ إِذَا مَا ٱبْتَلاَهُ رَبُّهُ فَأَكْرَمَهُ وَنَعَّمَهُ فَيَقُولُ رَبِّيۤ أَكْرَمَنِ. وَأَمَّآ إِذَا مَا ٱبْتَلاَهُ فَقَدَرَ عَلَيْهِ رِزْقَهُ فَيَقُولُ رَبِّيۤ أَهَانَنِ.  كَلاَّ بَل لاَّ تُكْرِمُونَ ٱلْيَتِيمَ .  وَلاَ تَحَآضُّونَ عَلَىٰ طَعَامِ ٱلْمِسْكِينِ


(Dalam pada itu manusia tidak menghiraukan balasan Akhirat), oleh yang demikian, maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, (dia tidak mahu bersyukur tetapi terus bersikap takabbur) serta berkata dengan sombongnya: Tuhanku telah memuliakan daku! (15) Dan sebaliknya apabila dia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (dia tidak bersabar bahkan dia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: Tuhanku telah menghinakan daku! (16) Jangan demikian, (sebenarnya kata-kata kamu itu salah). Bahkan (perbuatan kamu wahai orang-orang yang hidup mewah, lebih salah lagi kerana) kamu tidak memuliakan anak yatim, (malah kamu menahan apa yang dia berhak menerimanya); (17) Dan kamu tidak menggalakkan untuk memberi makanan (yang berhak diterima oleh) orang miskin; (18)

[Al-Fajr (89) : Ayat 15-18]


Berkata Ibnu Abbas Radhiallahu anhu:

"(Adapun manusia), maksudnya adalah orang kafir, iaitu Ubay bin Khalaf, riwayat lain menyebut Umayyah bin Khalaf, (apabila Tuhan mengujinya) — apabila Allah Mengujinya dengan harta benda, kekayaan dan kehidupan yang makmur, (lalu dimuliakan-Nya) iaitu dibanyakkan hartanya (dan di Beri-Nya kesenangan) — diluaskan kehidupannya, (maka dia berkata: Tuhanku telah memuliakanku) dengan harta dan kehidupan yang makmur.  (Adapun apabila Tuhannya mengujinya) — mencubanya dengan kefakiran, (lalu membatasi) menyempitkan (rezekinya) kehidupannya, (maka dia berkata: Tuhanku menghinakanku) dengan kefakiran dan sempitnya kehidupan.  (Sekali-kali tidak demikian) ini merupakan bantahan kepada manusia yang kafir tadi.  Ertinya Kemuliaan dari-Ku bukan dengan memberikan harta dan kekayaan.  Dan kehinaan dirimu bukan kerana kefakiran dan sedikitnya harta, namun Kemuliaan dari-Ku adalah Ma'rifat (Iman, Tauhid, Taqwa) yang teguh) dan Taufiq (bimbingan ke Jalan yang Haq) dan Kehinaan dari-Ku ke atas kamu adalah terhadap keingkaranmu dan kekal di dalam Kekafiran.  (Sebenarnya kamu tidak memuliakan anak yatim) — tidak mengetahui haq anak yatim.  Mereka mengurus anak yatim (dan hartanya) namun mereka tidak mengetahui haqnya (tidak menunaikan haqnya) dan tidak memperlakukannya dengan baik.  (Dan kamu saling tidak mengajak) — kamu tidak mahu mengajak dirimu dan orang lain (memberi makan orang miskin) — memberi makan dan sedekah kepada orang miskin."

[Tafsir Ibnu Abbas] 


Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:

"Ungkapan (كَلاَّ) pada ayat : 

  كَلاَّ بَل لاَّ تُكْرِمُونَ ٱلْيَتِيمَ .  وَلاَ تَحَآضُّونَ عَلَىٰ طَعَامِ ٱلْمِسْكِينِ

Adalah bermaksud Allah Ta'ala menolak sangkaan orang kafir yang menyangka bahawa kemuliaan dan kehinaan terletak pada kekayaan dan harta benda duniawi tetapi kemuliaan adalah dengan menafkahkan dan memberi makan orang faqir demi mencapai Redha Allah, sedangkan kamu orang kaya tidak memuliakan anak yatim dan tidak pula mencukupi mereka dengan nafkah dan pakaian.  Dan kamu tidak mengajak dan menyuruh orang lain memberi makan orang miskin."

[Tafsir Al-Jailani]


Bersambung siri 571   اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

========================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI  

🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

Thursday, November 28, 2024

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 569)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 67:

Enggan beri makan

kepada faqir miskin

.....Sambungan....



Dalil-Dalil

=========


Dalil 1 : Firman Allah


وَلاَ يَحُضُّ عَلَىٰ طَعَامِ ٱلْمِسْكِينِ


"Dan tidak menganjurkan memberi makan kepada orang miskin."

[Al-Ma'un (107) : Ayat 3]


Berkata Ibnu Abbas Radhiallahu anhu:

"(Termasuk orang yang mendustakan Agama dan Hari Pembalasan) adalah mereka yang enggan memberi makan kepada yang memerlukan."

[Tafsir Ibnu Abbas]


Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:

"Dan disebabkan oleh sifat bakhil yang melampau, dia juga tidak menganjurkan seseorang memberi makan kepada orang miskin, maksudnya mereka tidak rela jika seseorang memberi makan kepada orang lain disebabkan sifat bakhilnya.  Itu semua adalah petanda dari pendustaan mereka terhadap Agama dan terhadap Hari Pembalasan."

[Tafsir Al-Jailani]


Berkata Imam Qurtubi Radhiallahu anhu:

"Enggan memberi makan kepada faqir miskin dan membenci orang lain memberi makan kerana sifat bakhilnya dan pendustaannya terhadap balasan dan ganjaran di Akhirat.  Pokoknya mereka yang dicela oleh ayat ini adalah orang yang sememangnya memiliki sifat bakhil ( dan bukan orang tak dapat memberi makan kerana dirinya tak mampu) tetapi  mereka yang dimaksudkan adalah mereka yang mempunyai kemampuan tetapi enggan memberi makan kepada faqir msikin.  Mereka yang bakhil akan mencari alasan untuk tidak mengeluarkan hartanya."

[Tafsir Al-Qurtubi]


Bersambung siri 570   اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

___________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 568)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 67:

Enggan beri makan

kepada faqir miskin

===============



Definisi:

=======


Definisi Faqir:

.........................


Dari segi bahasa: 

Faqir ( فقير ) — berasal dari perkataan  ( فَقَرَ - يفْقر ) bermaksud menggali, menyingkap, melubangi, membuat liang, menggerudi


Dari segi istilah:

Faqir ( فقير ) bermaksud tidak memiliki sebarang harta dan sangat memerlukan pertolongan untuk kesinambungan hidupnya.



Definisi miskin

...........................


Dari segi bahasa:

Miskin (مسكين) berasal dari perkataan (سَكَنَ - يَسْكُنُ ) bermaksud : diam, tenang, tetap, tidak bergerak, bertahan, tempat kediaman


Dari segi istilah:

Miskin (مسكين) adalah orang yang kekurangan harta dan sedikit pendapatannya dari sudut ekonomi, tak cukup perbelanjaan untuk meneruskan hidup



Penjelasan

========


Penjelasan 1:

Allah Ta'ala menciptakan setiap manusia berserta rezeki masing-masing, ertinya setiap manusia berbeza-beza rezekinya.  Sebahagian manusia diluaskan rezekinya sehingga memperoleh kekayaan yang banyak, sementara yang lain sederhana rezekinya dan sebahagian lagi kurang hartanya (miskin) dan ada pula tersangat miskin (faqir).  Allah Ta'ala Maha Pemberi, membahagikan Rezeki Kurniaan-Nya kepada manusia menurut Kebijaksanaan-Nya.


Penjelasan 2:

Kaya, miskin atau faqir merupakan Ketetapan Allah sekaligus menjadi dugaan Allah ke atas setiap manusia.  Ertinya semua manusia akan diuji, sama ada mereka kaya-raya atau yang miskin atau yang faqir. 


Penjelasan 3:

Allah Ta'ala Memerintahkan orang yang mempunyai harta, wang, kekayaan membantu orang miskin, faqir dan mereka yang memerlukan dengan hulurkan makanan (dan bantuan lain) kepada mereka.


Penjelasan 4:

Orang kaya atau mereka yang mempunyai harta yang lebih, dilarang keras menghina, mengherdik, mencaci mereka yang kurang pendapatannya atau miskin.


Penjelasan 5:

Orang yang enggan hulurkan makanan kepada faqir, miskin dan orang yang kelaparan dikatakan sebagai "mendustakan Agama, ingkar kepada Hari Hisab, tidak meyakini wujudnya Hari Pembalasan."  Ertinya dosa besar dan boleh menjerumus kepada sifat-sifat munafiq.


Penjelasan 6:

Orang yang menghalang bantuan kepada faqir miskin dan menghalang pemberian makanan kepada manusia yang kelaparan adalah termasuk "pendusta Agama" yang tidak beriman kepada Hari Pembalasan. 


Penjelasan 7:

Keseluruhan bicara di dalam tajuk ini mempunyai hubungan dengan Bab bakhil, pentingkan diri dan tanda tiada kasih sayang kepada orang beriman. 


Berkata Imam Al-Haytami Radhiallahu anhu:

"Laknat dan Murka Allah menunjukkan perbuatan ini dosa besar, iaitu ancaman berat orang yang keras hatinya dan tidak pedulikan penderitaan orang lain."

[Az-Zawaajir]


Bersambung siri 569   اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

_____________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI  

🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

Thursday, November 21, 2024

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 567)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 66:

Putus silatur-rahim

I  قَاطِعَ رَحِمٍ   I

...sambungan....




(4) Sentiasa perhatikan ahli keluarga terdekat, pelihara kebajikan mereka dan waspada agar tidak berlaku sesuatu sehingga berlaku perkara yang mengeruhkan hubungan.


(5) Cantas segala anasir perosak yang merosakkan hubungan kekeluargaan.  Kebanyakan perselisihan keluarga bermula dari "jahat sangka".  Jika setiap ahli keluarga sentiasa amalkan sikap "baik sangka" dan tolak ansur, keharmonian dapat dipelihara.


(6) Jika diteliti kebanyakan perselisihan hanyalah perkara-perkara remeh yang boleh diabaikan.  Sepatutnya setiap hal yang kecil jangan dibesar-besarkan.  Maafkan sahaja.


(7) Sentiasa beringat-ingat dan saling berpesan akan bahaya putuskan silatur-rahim.


Rasulullah  ﷺ bersabda:

"Tidak ada dosa yang Allah lebih percepat siksaan kepada pelakunya di dunia serta yang tersimpan untuknya di Akhirat selain perbuatan zalim dan memutuskan tali silatur-rahim." 

[Imam Tirmizi]


(8) Jika terjadi perselisihan sehingga terputus hubungan, hendaklah masing-masing cuba hubungkan semula. Orang yang berusaha bersungguh-sungguh sambungkan semua silatur-rahim yang terputus, maka dia lebih utama.


Rasulullah   ﷺ  bersabda:


لَيْسَ الْوَاصِلُ بِالْمُكَافِئِ وَلَكِنَّ الْوَاصِلَ الَّذِي إِذَا قُطِعَتْ رَحِمُهُ وَصَلَهَا


“Bukanlah seorang penyambung silatur-rahim sejati adalah yang menyambung silatur-rahim kalau dibaiki, akan tetapi penyambung silatur-rahim yang sesungguhnya iaitu jika dia diputuskan silatur-rahim, dia tetap menyambungnya.”

[Imam Bukhari]


Bersambung siri 568 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

___________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI  

🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 566)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 66:

Putus silatur-rahim

I  قَاطِعَ رَحِمٍ   I

...sambungan....



Rawatan dan Penjagaan

=================


(1) Allah Ta'ala memerintahkan agar orang-orang beriman hidup bersatu padu dan jangan sesekali berpecah belah. 


Firman Allah:


وَٱعْتَصِمُواْ بِحَبْلِ ٱللَّهِ جَمِيعاً وَلاَ تَفَرَّقُواْ وَٱذْكُرُواْ نِعْمَتَ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَآءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَاناً وَكُنْتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُمْ مِّنْهَا كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ


Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah Nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan Nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang Neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari Neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga).  Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayat-Nya.

[Aali-Imran (3) : Ayat 103]


(2) Allah Ta'ala juga memerintahkan secara umum agar sentiasa tolong-menolong di dalam mengerjakan kebajikan dan jauhi sama sekali tolong-menolong di dalam kemungkaran, kefasikan dan kekafiran.


Firman Allah:


وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلْبرِّ وَٱلتَّقْوَىٰ وَلاَ تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلإِثْمِ وَٱلْعُدْوَانِ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ


"dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).”

[Al-Maaidah (5) : Ayat 2]


(3) Penegasan secara khusus berbuat baik, tolong-menolong dan keutamaan dan memelihara silatur-rahim, sebagaimana dijelaskan di dalam risalah ini adalah terhadap ibu bapa, adik-beradik dan ahli keluarga terdekat.


Firman Allah:


۞ وَٱعْبُدُوا۟ ٱللَّهَ وَلَا تُشْرِكُوا۟ بِهِۦ شَيْـًۭٔا ۖ وَبِٱلْوَٰلِدَيْنِ إِحْسَـٰنًۭا وَبِذِى ٱلْقُرْبَىٰ وَٱلْيَتَـٰمَىٰ وَٱلْمَسَـٰكِينِ وَٱلْجَارِ ذِى ٱلْقُرْبَىٰ وَٱلْجَارِ ٱلْجُنُبِ وَٱلصَّاحِبِ بِٱلْجَنۢبِ وَٱبْنِ ٱلسَّبِيلِ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَـٰنُكُمْ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ مَن كَانَ مُخْتَالًۭا فَخُورًا


Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri.

[An-Nisaa' (4) : Ayat 36]


Bersambung siri 567 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

___________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳



MENCARI MURSYID PEWARIS NABI YANG SEBENAR - FASAL 15 - AKHIR

بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ Fasal 15 :   Khotimah Demikianlah kami m...