■■■■■■■■■■■■■■■■■
PENYAKIT HATI
BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI
(Siri 571)
■■■■■■■■■■■■■■■■■
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 67:
Enggan beri makan
kepada faqir miskin
.....Sambungan....
Berkata Imam Qurtubi Radhiallahu anhu:
"Firman Allah Ta'ala " كَلاَّ " (sekali-kali tidak demikian)." Ini adalah bantahan. Sebenarnya tidak seperti sangkaan mereka. Kekayaan bukan menunjukkan kemuliaan seseorang dan kefakiran bukan menunjukkan kehinaan. Kefakiran dan kehinaan itu adalah Ketetapan dan Keputusan-Ku (Milik Allah).
Al-Farra' berkata " كَلاَّ " di tempat ini bermakna tidak layak seseorang bersikap seperti itu. Sebaliknya dia wajib memuji Allah atas kekayaan dan kefakiran.
Di dalam sebuah hadith : Allah 'Azza- wa Jalla berfirman: "Sekali-kali tidak. Aku tidak Memuliakan orang yang Aku Muliakan dengan banyaknya dunia dan tidak Menghinakan orang yang Aku Hinakan dengan sedikitnya dunia. Sesungguhnya Aku Memuliakan orang yang Aku Muliakan dengan ta'at kepada-Ku dan Aku Menghinakan orang yang Aku Hinakan dengan maksiat kepada-Ku" (Riwayat Imam Malik di dalam perbahasan berkenaan sedekah).
Sebenarnya (kehinaan kamu, wahai orang kaya yang kufur adalah kerana) kamu tidak memuliakan anak yatim dan kamu saling tidak mengajak memberi makan orang miskin dan tidak menyuruh keluarga kamu memberi makan kepada orang miskin yang datang kepada kamu."
[Tafsir Al-Qurtubi]
Tambahan: Pengajaran Pokok dari tafsiran Ulama
Pokok pengajaran dari Kalam Allah ini adalah : Kalam Allah ini menjunam ke dalam hati, menghancurkan sangkaan kebanyakan manusia bahawa kemuliaan dan kehinaan seseorang di Sisi Allah diukur dengan pandangan dan pemilikan yang bersifat duniawi.
Maksudnya kebanyakan manusia menyangka seseorang yang kaya- raya dengan harta benda duniawi — wang ringgit, dinar dan dirham, intan dan berlian, gedung-gedung perniagaan, sebagai orang yang telah mendapat kemuliaan di Sisi Allah, sementara orang yang miskin, faqir, tiada harta, dianggap sebagai orang yang hina di Sisi Allah. Sedangkan pendirian demikian adalah batil, yang jelas bertentangan dengan Ketetapan Allah.
Kebenarannya adalah:
Ukuran kemuliaan atau kehinaan di Sisi Allah adalah Iman, Tauhid, Taqwa, Ma'rifat kepada Allah. Mereka yang lebih tinggi Iman dan Taqwanya, maka dialah yang lebih utama dan memperoleh Kasih dan Keredhaan Allah, mencapai kemenangan dunia Akhirat. Sedangkan orang yang kaya-raya, hartawan dan jutawan, namun dia kufur kepada Nikmat Allah, maka dialah manusia hina yang menerima Laknat dan Kemurkaan Allah Ta'ala.
Di dalam Kalam Allah ini, Allah Ta'ala menegaskan sebahagian dari asbab seseorang yang kaya-raya menerima Kehinaan dan Kemurkaan Allah adalah kerana enggan memberi makan kepada faqir miskin dan tidak pula menganjurkan orang lain memberi makan kepada hamba-hamba Allah yang kelaparan.
Dalil 3: Rasulullah ﷺ bersabda:
لَيْسَ الْمُؤْمِنُ بِالَّذِي يَشْبَعُ وَجَارُهُ جَائِعٌ.
"Tidak termasuk orang yang beriman, orang yang kenyang sementara jiran tetangganya kelaparan."
[Imam Ath-Thabarani]
Bersambung siri 572 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
========================
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment