Sunday, October 13, 2024

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 531)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar ke-63:

Buka 'aib orang lain

......sambungan.....



Rawatan dan Penjagaan

=================


(1) Sepertimana kami huraikan berulang-ulang, setiap orang Islam wajib mempunyai strategi sucikan hati daripada berbagai penyakit yang mencengkamnya.  Masyaikh Ahlus Sunnah telah menjelaskan jalan sucikan hati menurut Petunjuk Allah dan Sunnah Rasul-Nya yang sebenar adalah dengan berguru kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq. 


(2) Mereka yang belum berjumpa dengan seorang Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq, wajib berusaha sendiri dengan jalan-jalan orang awam, di antaranya lazimkan berserta dengan Ummat yang berpegang kepada Ahlus Sunnah yang benar, lazimkan berjemaah di Masjid, hadiri Majlis pengajian Ilmu, majlis Zikir, tilawah Al-Qur'an dan Solawat. 


(3)  Sedari hakikat bahawa setiap manusia (termasuk diri kamu) mempunyai 'aib  (kekurangan, kelemahan, cacat cela) diri masing-masing yang tersembunyi dari pengetahuan umum kerana Allah Ta'ala menutupinya dengan Kemurahan-Nya. 


(4) Insafilah bahawa diri kamu sendiri banyak dosa dan 'aib.  Jika dihitung mungkin dosa kamu lebih banyak daripada orang lain, maka orang yang bijak akan melihat 'aib dirinya terlebih dahulu dan luruskannya dengan Taubat.  Mereka tidak mempunyai masa untuk sibuk dengan 'aib orang lain.

Dengan demikian adalah suatu kebodohan mencari-cari dan mendedahkan 'aib manusia lain sedangkan diri sendiri penuh dengan berbagai 'aib, kekejian dan penyakit hati yang serius. 


(5) Jika datang hasutan Syaitan, sedar diri yang banyak dosa, tolak segera hasutan tersebut dan ganti dengan Istighfar dan Taubat.


(6) Kurangkan pergaulan sia-sia kerana pergaulan sia-sia menyebabkan banyak berkata-kata yang dusta, mengata orang, mengumpat orang dan membuka 'aib manusia lain.


(7)  Muhasabah diri siang dan malam, periksa setiap amal sama ada benar-benar ikhlas atau telah bercampur dengan berbagai syirik khafi (syirik dalam hati).  Periksa berapa banyak dosa mazmumah (kekejian) yang telah kamu perbuat sepajang hari. 


(8) Tekun amalkan Zikrullah — Zikir _La-Ilaha-Illallah_ sehingga lidah dan hati sebati dengan Kalimah Allah, maka di sana tiada ruang untuk memikirkan 'aib orang lain.


(9) Insafi diri bahawa setiap dosa terhadap manusia lain , termasuk dedahkan 'aib seseorang atau sesebuah kelompok orang Islam merupakan dosa besar yang akan diperhitungkan dengan hitungan yang keras di hadapan Allah.  Ini termasuk ahli Ibadah yang banyak ibadah sekalipun.  Mereka bakal menjadi muflis.  Wal Iyazubillah


Rasulullah   ﷺ  bersabda:

 “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis itu?” Sahabat menjawab: “Orang yang muflis di kalangan kami ialah seseorang yang tidak memiliki dirham dan juga tidak memiliki harta.” Lalu Rasulullah ﷺ bersabda: ”Sebenarnya orang yang muflis dari kalangan ummatku ialah seseorang yang datang pada hari Qiamat dengan membawa pahala sembahyang, puasa dan zakat, tetapi (dahulunya sewaktu di dunia) dia pernah mencaci maki si fulan, menuduh si fulan, memakan harta si fulan, menumpahkan darah si fulan, dan pernah memukul si fulan.  Maka akan diberikan kepada orang yang teraniaya itu daripada pahala kebaikan orang tadi dan begitu pula seterusnya terhadap orang lain yang pernah teraniaya , dia akan diberikan pula daripada pahala kebaikan orang tadi, sehingga apabila telah habis pahalanya sedangkan bebanan dosa penganiayaannya belum lagi dijelaskan (belum dapat dibayar semua), maka akan diambil daripada kesalahan orang yang teraniaya itu lalu dibebankan kepada orang tersebut, maka selanjutnya orang itu akan dicampakkan ke dalam api neraka.”

[Imam Muslim]


Bersambung siri 532  اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

■■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 530)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar ke- 63:

Buka 'aib orang lain

......sambungan.....




Akibat dedahkan 'aib

================


(1) Menyebabkan permusuhan, pergaduhan, perpecahan

Perbuatan buka 'aib seseorang akan menimbulkan permusuhan, perselisihan, pergaduhan, perpecahan, sedangkan perpecahan adalah dosa besar dan "azab".


Firman Allah:


وَاعْتَصِمُوْا بِحَبْلِ اللّٰهِ جَمِيْعًا وَّلَا تَفَرَّقُوْاۖ 


"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah dan janganlah kamu bercerai-berai"

[Aali-Imran (3) : Ayat 103]



(2) Menyebabkan putus silatur-rahim

Ahli keluarga yang sebarkan 'aib ahli keluarga sendiri akan menyebabkan putus silatur-rahim, sedangkan putus silatur-rahim adalah dosa besar.


Rasulullah ﷺ bersabda:


لاَ يَدْخُلُ الجَنَّةَ قَاطِعٌ


"Tidak akan masuk Syurga orang yang memutuskan (putuskan silatur-rahim)." 

[Imam Bukhari, Imam Muslim]



(3) Merupakan perbuatan khianat

Perbuatan sebarkan 'aib orang lain merupakan suatu bentuk pengkhianatan, sedangkan perbuatan khianat adalah tanda-tanda wujud sifat munafiq.



(4) Allah Ta'ala akan dedahkan 'aib orang yang gemar dedahkan 'aib orang lain


Rasulullah ﷺ bersabda:

"Wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum muslimin, dan janganlah kamu mengintip-intip keaibannya.  Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaibannya dan Dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri" 

[Imam Abu Dawud]



(5) Orang yang suka dedahkan 'aib orang akan terkena banyak dosa besar yang lain

 

■ Dosa mengintai kesalahan orang 

■ Dosa dusta

■ Dosa memfitnah orang lain

■ Dosa mengumpat

■ Dosa jahat sangka


Bersambung siri 531  اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

Tuesday, October 08, 2024

■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 529)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar 63:

Buka 'aib orang lain

......sambungan.....




Punca manusia dedahkan 'aib orang lain

===============================


(1) Hati dikuasai nafsu kejahatan dan kekejian

Apabila hati seseorang dikuasai nafsu kejahatan, dia akan sentiasa terdorong untuk mengikuti seruan bisikan kejahatan.  Di antara bisikan kejahatan nafsu-nafsu jahat adalah kegemaran untuk membuka 'aib orang lain.  Inilah punca utama.


(2) Seruan syaitan

Ini punca kedua.  Syaitan sentiasa bisikkan agar manusia bermusuhan dan berperang sesama sendiri.  Setengah daripada caranya adalah timbulkan rasa tak puas hati, hasad, khianat terhadap orang yang dimusuhi.


(3) Permusuhan peribadi atau keluarga

Mereka yang mempunyai sejarah permusuhan, mencari-cari peluang mendedahkan 'aib orang yang dimusuhi atau sengaja mencipta maklumat palsu untuk meng'aibkannya.


(4) Hasad — kedengkian

Orang yang mempunyai sifat hasad tak senang apabila orang lain mendapat kesenangan.  Orang ini akan mencari jalan untuk hilangkan kesenangan yang dimilikinya. Salah satu jalan yang paling mudah pada zaman ini adalah membuka 'aibnya melalui gambar-gambar atau video.


(5) Kesombongan — Rasa diri lebih hebat dari orang lain

Orang yang mempunyai sifat kesombongan sentiasa merasa diri lebih tinggi dari orang lain.  Jika orang lain mendapat kedudukan yang lebih tinggi dia akan berusaha mencemarkan namanya.


(6) Rasa diri baik dan sempurna

Orang yang merasa dirinya sudah baik dan sempurna mencari-cari 'aib orang lain dan dedahkan pada umum.  Sedangkan jika dia muhasabah diri dia akan melihat dosa dan kekejian diri yang menggunung tinggi.


(7) Mencari keuntungan duniawi

Menerbitkan gambar atau video yang mengandungi 'aib seseorang lalu menjaja di internet untuk menjatuhkan maruahnya menjadi cara menjana keuntungan duniawi. 


(8) Permusuhan politik

Permusuhan di medan politik menjadi salah satu sebab masing-masing dedahkan 'aib untuk menunjukkan mereka lebih baik dan lebih mulia dari pihak lawan.


Bersambung siri 530  اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 528)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar 63:

Buka 'aib orang lain

......sambungan.....



Contoh-Contoh

============


Contoh 1: Buka rahsia peribadi seseorang

Setiap manusia mempunyai sejarah kehidupan tersendiri, sebahagiannya ternoda dengan dosa-dosa yang tidak diketahui oleh manusia lain kerana Allah Ta'ala menutupnya.  Barangsiapa mendedahkan 'aib seseorang kepada umum sedang Allah Ta'ala telah menutupinya, maka dia telah melakukan dosa besar yang akan dituntut di Akhirat.  Orang ini berdosa dengan Allah dan berdosa dengan manusia yang terbuka 'aibnya kepada umum.



Contoh 2: Membuka 'aib bertujuan keuntungan duniawi

Contoh ini masih berkait dengan contoh 1 di atas, tetapi pendedahan 'aib manusia dalam bentuk moden yang sangat cepat tersebar sehingga nama baik seseorang tercemar, maruahnya tercalar, kewibawaannya jatuh pada pandangan umum. 


Pada hari ini, membuka 'aib dan rahsia hidup orang lain melalui media sosial menjadi sumber keuntungan "murahan" bagi sesetengah manusia yang tak peduli hukuman Allah Ta'ala ke atas mereka.  Hanya melalui sesebuah video mereka mencipta cerita sensasi untuk meramaikan peminatnya, sekaligus mencari keuntungan duniawi.  Mana mungkin pendapatan mereka berkat sekiranya yang dimasukkan ke dalam perut itu hasil daripada fitnah, pembohongan dan pendedahan 'aib manusia?


Bentuk pendedahan 'aib melalui internet ini menjadi "kegilaan" manusia zaman ini disebabkan caranya yang mudah dan sebarannya yang amat pantas. Tetapi malangnya pembuat dosa ini tak sedar, dosa besarnya juga meningkat dengan amat pantas. Dosanya terkumpul beribu-ribu atau ratusan ribu dalam hanya beberapa saat. 


Contoh 3: Pasangan bercerai dedahkan 'aib pasangan

Pasangan yang bercerai masing-masing dedahkan 'aib pasangan di internet.  Masing-masing melepaskan kemarahan kepada bekas pasangan dengan berbagai cara.



Contoh 4: Pekerja mendedahkan 'aib pekerja lain

Seorang pekerja satu syarikat mendedahkan 'aib seseorang pekerja lain melalui gambar atau video bertujuan memalukannya atau bertujuan merendahkan tarafnya.  Keadaan seperti ini terjadi ketika seseorang pekerja tersebut dinaikkan pangkat atau jawatan sedangkan dirinya masih dalam keadaan yang sama. 



Contoh 5: Dedahkan 'aib kerana politik

Ahli politik berlumba-lumba mencari "kuasa".  Termasuk di dalam usaha mencari "kuasa" ini adalah mereka yang menggelarkan diri mereka sebagai "pejuang Islam".  Mereka sibuk manabur fitnah sana sini, menipu daya, adu domba, caci maki, buka 'aib pihak lawan dengan harapan kredibiliti lawannya tercemar dan nama parti mereka maju ke hadapan.  Inilah dunia orang Islam zaman ini. Mereka anggap "perlakuan mereka sebagai jihad".  Sangat malang ahli politik zaman ini. 


Apabila diperhalusi semua dosa mendedahkan 'aib manusia ini terkait kepada dosa-dosa besar lain — dosa jahat sangka, dosa pendustaan, dosa memfitnah dan dosa mengumpat.


Bersambung siri 529  اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

Monday, October 07, 2024

■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 527)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar 63:

Buka 'aib orang lain

......sambungan.....




Dalil-Dalil

=========


Dalil 1: Firman Allah:

[sebarkan 'aib manusia termasuk dosa mengumpat]


وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ


"dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain.  Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”

[Al-Hujurat (49)  : Ayat 12]


Berkata Ibn Abbas Radhiallahu anhu:

"Jangan kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan jangan menyelidiki 'aib saudaramu dan mencari-cari kesalahan yang Allah tutup baginya."

[Tafsir Ibn Abbas]


Berkata Imam Qurtubi Radhiallahu anhu:

“Ambil apa yang nyata  (yang jelas kelihatan pada zahir), jangan kamu mencari-cari keaiban kaum muslimin, iaitu jangan kamu cari keaiban saudaramu untuk melihat setelah Allah  menutupnya."

[Tafsir Al-Qurtubi]



Dalil 2: Firman Allah:

[Dedahkan 'aib termasuk jahat sangka dan dusta]


وَلاَ تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُوْلاَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولاً


"Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggunganjawabnya.”

[Al-Isra (17)  : Ayat  36]



Dalil 3: Firman Allah:

[Perbuatan dedahkan 'aib manusia termasuk dosa menolong  kepada kemungkaran]


 وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ  وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ  وَاتَّقُوا اللَّهَ  إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ


"Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan Taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran.  Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya."

[Al-Maaidah (5) : Ayat 2]


Rasulullah   ﷺ  bersabda:

Barangsiapa menyeru kepada petunjuk, maka dia mendapatkan pahala sebagaimana pahala-pahala orang yang mengikutinya, hal itu tidak mengurangi pahala mereka sedikit pun.  Dan barangsiapa menyeru kepada kesesatan, maka dia mendapatkan dosa sebagaimana dosa-dosa orang yang mengikutinya, hal itu tidak mengurangi dosa mereka sedikit pun. 

[Imam Muslim]



Dalil 4: Rasulullah   ﷺ  bersabda:

[Dedah 'aib manusia termasuk dosa fitnah]


"Rasulullah ﷺ  bersabda, “Tahukah engkau apa itu ghibah?” Mereka menjawab, “Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui.” Baginda berkata, “Engkau menyebutkan kejelekan saudaramu yang ia tidak suka untuk didengarkan orang lain.” Baginda ditanya, “Bagaimana jika yang disebutkan sesuai kenyataan?” Jawab Nabi ﷺ  “Jika sesuai kenyataan bererti engkau telah ghibah atasnya. Jika tidak sesuai, bererti engkau telah memfitnahnya.” 

[Imam Muslim]



Dalil 5: Rasulullah   ﷺ  bersabda:

[Sesiapa dedahkan 'aib manusia, Allah Ta'ala pula akan dedahkan 'aibnya]


"Wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum muslim, dan janganlah kamu mengintip-intip keaibannya.  Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaibannya,dan Dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri.”

[Imam Abu Dawud]


Bersambung siri 528  اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 526)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar 63:

Buka 'aib orang lain

===============


Definisi 'aib

=========

Dari segi bahasa:

'Aib ( عيب ) berasal dari kata ( عاب, يعيب, عَيْبا ) membawa pengertian: 

cacat, kesalahan, kecelaan, kekejian, kekurangan, suatu yang memalukan, mencemarkan, menodai, mengotori, merosak, jatuhkan maruah, suatu yang perlu ditutup.


Dari segi istilah:

'Aib adalah cacat-cela pada diri seseorang yang mencemarkan nama baiknya, jatuh maruahnya akibat daripada penglibatannya di dalam perkara mungkar, kekejian, kejahatan. 



Penjelasan:

========


(1) Tajuk perbahasan ini adalah berkenaan dengan perbuatan dosa manusia yang dia lakukan sendirian secara senyap-senyap hanya kamu seorang saja yang mengetahuinya.  Di dalam hal demikian wajib atas kamu menutupinya (jangan dedahkan kepada siapa pun) sebagaimana Allah telah menutupinya daripada pengetahuan umum manusia lain. 


(2) 'Aib merupakan suatu kekurangan pada diri seseorang yang menjatuhkan maruahnya akibat daripada terlibat dengan dosa-dosa besar atau dosa kecil atau suatu hal yang tidak disenangi oleh Syara'.


(3) Setiap manusia mempunyai 'aib — kekurangan dan kelemahan masing-masing yang boleh mencemarkan nama baiknya atau menjatuhkan maruahnya sehingga dipandang keji oleh masyarakat umum. 


(4) Orang-orang beriman wajib menutup 'aib orang lain jika dia mengetahui rahsia orang itu. Membuka atau mendedahkan 'aib orang orang lain) termasuk dosa besar.


(5) Sebarkan ‘aib manusia tidak terlepas dari 5 macam dosa besar lain yang berangkai-rangkai kepadanya:


1. Tajassus (mengintai dosa orang lain)

2. Memfitnah (tuduhan tanpa bukti, mereka-reka cerita)

3. Mengumpat

4. Subahat kepada perkara mungkar dan keji

5. Berdusta


(6) Manusia muslim yang mendedahkan sewenang-wenangnya 'aib manusia tanpa sebab yang diharuskan oleh Syara' (seperti peradilan hukum di mahkamah), maka dia termasuk manusia fasiq yang menanggung dosa besar.


(7) Pada hari ini orang Islam berlumba-lumba mendedahkan 'aib orang lain.  Media elektronik termasuk internet menjadi media utama untuk mendedahkan 'aib manusia lain.  Mereka tidak sedikit pun takut kepada Allah yang akan membalas setiap kejahatan seperti itu.  Mereka tidak takut akan balasan Allah yang akan datang dengan segera — di dunia lagi.  Di Akhirat mereka akan menerima balasan yang lebih dahsyat.  Wal Iyazubillah.


Bersambung siri 527  اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 525)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Dosa Besar ke-62

Asabiyyah

..... sambungan.....



Rawatan dan Penjagaan

=================


(1) Istiqamah bersama Saf Ummat Islam

Sentiasa bersama Saf Ummat Islam yang benar-benar berpegang kepada Ahlus Sunnah wal Jamaah yang benar dan jauhi semua golongan yang menyeru kepada asabiyyah, berpuak-puak atas dasar 'asabiyyah, bersatu atas dasar 'asabiyyah dan berjuang atas dasar 'asabiyyah.


Hanya Ahlus Sunnah wal Jama'ah yang benar sahaja berdiri atas "jalan lurus", "jalan benar", "aqidah yang benar", "jalan yang di-Redhai Allah".  Selain Ahlus Sunnah, mereka berjuang atas 'asabiyyah perkauman dan 'asabiyyah kelompok masing-masing.


(2) Tuntut Ilmu Ahlus Sunnah dari ahlinya

Pelajari dan fahami pegangan Ahlus Sunnah yang benar daripada ahlinya.  Hamba Allah yang benar-benar memahami dan berdiri di atas jalan kebenaran adalah Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (benar).  Mulai dari Khulafa Ar-Rasyidin Sayyidina Abu Bakar, Sayyidina Umar, Sayyidina Uthman, Sayyidina Ali Ridhwanullah sampai kepada Ulama Tabiin, Tabiit-Tabiin, sambung lagi kepada Masyaikh berikutnya dan berikutnya sampai ke zaman ini tak pernah putus. Warisan suci Rasulullah ﷺ terpelihara, suci dan asli murni sebagaimana diterima dari Junjungan Rasulullah ﷺ di tangan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq.


Jika belum bertemu seorang pun daripada Mursyid yang Siddiq, maka pelajari Ilmu Ahlus Sunnah daripada ustaz, muallim, kiyai yang pernah berguru kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq.  Ini lebih selamat daripada mengambil ilmu daripada sumber-sumber yang tidak diyakini.


Mereka yang tidak mengenali Ahlus Sunnah yang benar sehingga tak mampu membezakannya dengan kelompok-kelompok yang terkeluar dari Saf Ahlus Sunnah, maka lambat laun dikhuatiri jatuh kepada golongan sesat yang menyeru kepada 'asabiyyah.   Kisah permusuhan kaum khawarij terhadap Ummat Islam dan kematian mereka yang menghinakan di dalam Perang Nahrawan sepatutnya dijadikan pengajaran oleh seluruh Ummat.


Pada hari ini golongan Wahhabiyyah yang terang-terang memusuhi Ahlus Sunnah pun mendakwa diri mereka Ahlus-Sunnah sehingga Ummat Islam menjadi keliru.


(3) Jangan jadi mangsa ahli politik, ahli falsafah, pakar motivasi yang menipu daya Ummat

Sistem politik demokrasi, kapitalis, sosialis mencengkam dunia pada zaman ini.  Pemimpin Islam, profesor, mufti yang terpedaya dengan Sistem jahiliyah ini putar-belitkan ayat Qur'an agar sesuai dengan Agenda mereka.  Ummat Islam yang jahil menjadi mangsa akibat terpedaya dengan slogan-slogan indah mereka! 


Ahli politik dan ahli falsafah berpendapat 'asabiyyah perlu untuk membentuk Kepimpinan yang kuat.  Mereka mendakwa tanpa 'asabiyyah, satu bangsa akan jadi lemah dan kalah kepada bangsa lain.  Pendapat ini jelas batil kerana berlawanan dengan Al-Qur'an, Sunnah dan Ijma' Ulama Ahlus Sunnah yang menetapkan suatu bangsa menjadi teguh, kuat dan selamat dunia Akhirat apabila mereka berjuang mendirikan TAUHID yang hakiki di dalam diri mereka dan Ummat seluruhnya.  Dan mereka (Ummat Islam) akan menerima kehinaan dan kebinasaan dunia Akhirat apabila mereka berpegang dan berjuang atas dasar jahiliyah dan asabiyyah.


Junjungan mulia, Rasulullah ﷺ datang untuk hapuskan 'asabiyyah dan menyatukan Ummat Islam di atas dasar Tauhid, Meng-Esakan Allah Yang Maha Agung.  Ummat Islam menjadi kuat dan teguh dengan IMAN dan TAQWA di dada mereka.  TAUHID sejati adalah penyelamat dunia Akhirat, sedangkan 'asabiyyah perkauman, kelompok, daerah, membawa kepada perpecahan, 'azab, kebinasaan dunia Akhirat.


Bersambung siri 526  اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

MENCARI MURSYID PEWARIS NABI YANG SEBENAR - FASAL 15 - AKHIR

بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ Fasal 15 :   Khotimah Demikianlah kami m...