Tuesday, October 08, 2024

■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 528)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar 63:

Buka 'aib orang lain

......sambungan.....



Contoh-Contoh

============


Contoh 1: Buka rahsia peribadi seseorang

Setiap manusia mempunyai sejarah kehidupan tersendiri, sebahagiannya ternoda dengan dosa-dosa yang tidak diketahui oleh manusia lain kerana Allah Ta'ala menutupnya.  Barangsiapa mendedahkan 'aib seseorang kepada umum sedang Allah Ta'ala telah menutupinya, maka dia telah melakukan dosa besar yang akan dituntut di Akhirat.  Orang ini berdosa dengan Allah dan berdosa dengan manusia yang terbuka 'aibnya kepada umum.



Contoh 2: Membuka 'aib bertujuan keuntungan duniawi

Contoh ini masih berkait dengan contoh 1 di atas, tetapi pendedahan 'aib manusia dalam bentuk moden yang sangat cepat tersebar sehingga nama baik seseorang tercemar, maruahnya tercalar, kewibawaannya jatuh pada pandangan umum. 


Pada hari ini, membuka 'aib dan rahsia hidup orang lain melalui media sosial menjadi sumber keuntungan "murahan" bagi sesetengah manusia yang tak peduli hukuman Allah Ta'ala ke atas mereka.  Hanya melalui sesebuah video mereka mencipta cerita sensasi untuk meramaikan peminatnya, sekaligus mencari keuntungan duniawi.  Mana mungkin pendapatan mereka berkat sekiranya yang dimasukkan ke dalam perut itu hasil daripada fitnah, pembohongan dan pendedahan 'aib manusia?


Bentuk pendedahan 'aib melalui internet ini menjadi "kegilaan" manusia zaman ini disebabkan caranya yang mudah dan sebarannya yang amat pantas. Tetapi malangnya pembuat dosa ini tak sedar, dosa besarnya juga meningkat dengan amat pantas. Dosanya terkumpul beribu-ribu atau ratusan ribu dalam hanya beberapa saat. 


Contoh 3: Pasangan bercerai dedahkan 'aib pasangan

Pasangan yang bercerai masing-masing dedahkan 'aib pasangan di internet.  Masing-masing melepaskan kemarahan kepada bekas pasangan dengan berbagai cara.



Contoh 4: Pekerja mendedahkan 'aib pekerja lain

Seorang pekerja satu syarikat mendedahkan 'aib seseorang pekerja lain melalui gambar atau video bertujuan memalukannya atau bertujuan merendahkan tarafnya.  Keadaan seperti ini terjadi ketika seseorang pekerja tersebut dinaikkan pangkat atau jawatan sedangkan dirinya masih dalam keadaan yang sama. 



Contoh 5: Dedahkan 'aib kerana politik

Ahli politik berlumba-lumba mencari "kuasa".  Termasuk di dalam usaha mencari "kuasa" ini adalah mereka yang menggelarkan diri mereka sebagai "pejuang Islam".  Mereka sibuk manabur fitnah sana sini, menipu daya, adu domba, caci maki, buka 'aib pihak lawan dengan harapan kredibiliti lawannya tercemar dan nama parti mereka maju ke hadapan.  Inilah dunia orang Islam zaman ini. Mereka anggap "perlakuan mereka sebagai jihad".  Sangat malang ahli politik zaman ini. 


Apabila diperhalusi semua dosa mendedahkan 'aib manusia ini terkait kepada dosa-dosa besar lain — dosa jahat sangka, dosa pendustaan, dosa memfitnah dan dosa mengumpat.


Bersambung siri 529  اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 564) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...