Monday, October 07, 2024

■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 525)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Dosa Besar ke-62

Asabiyyah

..... sambungan.....



Rawatan dan Penjagaan

=================


(1) Istiqamah bersama Saf Ummat Islam

Sentiasa bersama Saf Ummat Islam yang benar-benar berpegang kepada Ahlus Sunnah wal Jamaah yang benar dan jauhi semua golongan yang menyeru kepada asabiyyah, berpuak-puak atas dasar 'asabiyyah, bersatu atas dasar 'asabiyyah dan berjuang atas dasar 'asabiyyah.


Hanya Ahlus Sunnah wal Jama'ah yang benar sahaja berdiri atas "jalan lurus", "jalan benar", "aqidah yang benar", "jalan yang di-Redhai Allah".  Selain Ahlus Sunnah, mereka berjuang atas 'asabiyyah perkauman dan 'asabiyyah kelompok masing-masing.


(2) Tuntut Ilmu Ahlus Sunnah dari ahlinya

Pelajari dan fahami pegangan Ahlus Sunnah yang benar daripada ahlinya.  Hamba Allah yang benar-benar memahami dan berdiri di atas jalan kebenaran adalah Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (benar).  Mulai dari Khulafa Ar-Rasyidin Sayyidina Abu Bakar, Sayyidina Umar, Sayyidina Uthman, Sayyidina Ali Ridhwanullah sampai kepada Ulama Tabiin, Tabiit-Tabiin, sambung lagi kepada Masyaikh berikutnya dan berikutnya sampai ke zaman ini tak pernah putus. Warisan suci Rasulullah ﷺ terpelihara, suci dan asli murni sebagaimana diterima dari Junjungan Rasulullah ﷺ di tangan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq.


Jika belum bertemu seorang pun daripada Mursyid yang Siddiq, maka pelajari Ilmu Ahlus Sunnah daripada ustaz, muallim, kiyai yang pernah berguru kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq.  Ini lebih selamat daripada mengambil ilmu daripada sumber-sumber yang tidak diyakini.


Mereka yang tidak mengenali Ahlus Sunnah yang benar sehingga tak mampu membezakannya dengan kelompok-kelompok yang terkeluar dari Saf Ahlus Sunnah, maka lambat laun dikhuatiri jatuh kepada golongan sesat yang menyeru kepada 'asabiyyah.   Kisah permusuhan kaum khawarij terhadap Ummat Islam dan kematian mereka yang menghinakan di dalam Perang Nahrawan sepatutnya dijadikan pengajaran oleh seluruh Ummat.


Pada hari ini golongan Wahhabiyyah yang terang-terang memusuhi Ahlus Sunnah pun mendakwa diri mereka Ahlus-Sunnah sehingga Ummat Islam menjadi keliru.


(3) Jangan jadi mangsa ahli politik, ahli falsafah, pakar motivasi yang menipu daya Ummat

Sistem politik demokrasi, kapitalis, sosialis mencengkam dunia pada zaman ini.  Pemimpin Islam, profesor, mufti yang terpedaya dengan Sistem jahiliyah ini putar-belitkan ayat Qur'an agar sesuai dengan Agenda mereka.  Ummat Islam yang jahil menjadi mangsa akibat terpedaya dengan slogan-slogan indah mereka! 


Ahli politik dan ahli falsafah berpendapat 'asabiyyah perlu untuk membentuk Kepimpinan yang kuat.  Mereka mendakwa tanpa 'asabiyyah, satu bangsa akan jadi lemah dan kalah kepada bangsa lain.  Pendapat ini jelas batil kerana berlawanan dengan Al-Qur'an, Sunnah dan Ijma' Ulama Ahlus Sunnah yang menetapkan suatu bangsa menjadi teguh, kuat dan selamat dunia Akhirat apabila mereka berjuang mendirikan TAUHID yang hakiki di dalam diri mereka dan Ummat seluruhnya.  Dan mereka (Ummat Islam) akan menerima kehinaan dan kebinasaan dunia Akhirat apabila mereka berpegang dan berjuang atas dasar jahiliyah dan asabiyyah.


Junjungan mulia, Rasulullah ﷺ datang untuk hapuskan 'asabiyyah dan menyatukan Ummat Islam di atas dasar Tauhid, Meng-Esakan Allah Yang Maha Agung.  Ummat Islam menjadi kuat dan teguh dengan IMAN dan TAQWA di dada mereka.  TAUHID sejati adalah penyelamat dunia Akhirat, sedangkan 'asabiyyah perkauman, kelompok, daerah, membawa kepada perpecahan, 'azab, kebinasaan dunia Akhirat.


Bersambung siri 526  اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 564) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...