Friday, July 10, 2026

MENCARI MURSYID PEWARIS NABI YANG SEBENAR - FASAL 10

بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



FASAL 10:

TINGKATAN PENCAPAIAN SALIKIN


10.4  Penjelasan Tingkatan Tauhid Pertama – Maqam Tauhid Af’al


Tanda ke-7 :  Zikrullah di dalam hati pada setiap masa


....... sambungan...


Cabang :  Kekalkan Hati Zikrullah Setiap Masa

(ringkasan)

 

■  Apakah definisi zikrullah?

Jawapan:

Zikirullah adalah menyebut Kalimah "Allah"  atau  Kalimah "La Ilaha Illallah"   atau Asma' Allah (Nama-nama Allah yang Maha Agung dan Indah)  yang lain dengan lisan atau mulut atau lidah  berserta ingatan kepada Allah di dalam HATI atau  semata-mata mengingat Allah di dalam HATI terus-menerus. 


   Zikrullah yang manakah wajib atas setiap Muslim?

Jawapan:

Zikir yang diwajibkan atas setiap orang Islam adalah :  Ingat Allah Allah terus-menerus di dalam HATI.  Adapun Zikir yang dilakukan dengan lisan (dengan keluarkan suara) sama ada dengan lafaz "Allah Allah" atau "La-Ilaha Illallah" atau "Ya Hayyu Ya Qayyum"  atau "Ya Qahhar" atau lain-lain Asma' Allah, semua ini adalah hukumnya sunnat.


Apakah cara mencapai Zikrullah di dalam hati yang berterusan tanpa putus?

Jawapan:

In shaa Allah dengan Rahmat Allah dan Kurniaan-Nya, seseorang mampu kekalkan hati berzikir kepada Allah, sebagaimana Perintah Allah, dengan cara mengikuti Manhaj Tarbiyyah Rasulullah , yang diwarisi oleh Mursyid, Pewaris Nabi yang Siddiq.  Ertinya semua orang Islam sama ada lelaki atau perempuan, sama ada orang cerdik pandai mahupun orang yang tiada pelajaran tinggi akdemik, semua mempunyai peluang yang sama mencapai Darjat Kemuliaan ini.


  Adakah mungkin kekal hati Zikrullah sedangkan manusia mempunyai banyak urusan duniawi?   Apakah justifikasi dan penjelasan wajar yang mampu diterima aqal?

Jawapan:

Orang Islam yang tak pernah mendengar hal ini menjadi hairan dan tak percaya wujud hamba-hamba Allah yang mampu melakukan Zikrullah berterusan di dalam hati.


Rahsianya dan Kunci memahami hal ini adalah:

Sistem Warisan Suci Rasulullah  

Sekalian rahsia ini cuma wujud di dalam Sistem Warisan suci Rasulullah . Sistem ini diterima dan dipindahkan daripada satu Generasi Pewaris Nabi kepada Pewaris Nabi berikutnya dengan jalan yang penuh rahsia, teliti, beradab dan terpelihara keaslian dan kesuciannya.  Sistem ini cuma ada pada Mursyid, Pewaris Nabi yang Siddiq.  Moga penjelasan ringkas berikut dapat berikan gambaran akan rahsia kemuliaan ini.

 

Penjelasan Pertama:

Setiap Salikin yang menempuh jalan Ma'rifat, menerima latihan-latihan khusus daripada Mursyid, Pewaris Nabi yang memimpinnya.  

(1)   Latihan zikrullah, solawat dan taubat berterusan   dengan kaifiyyat-kaifiyyat  khusus.


(2)   Mujahadah melawan nafsu kejahatan dan   bisikan-bisikan syaitan.


(3)        Mujahadah menahan godaan dunia dan makhluq.


(4)      Latihan-latihan Muraqabah dan Musyahadah            

       ( mengikut kelayakan ).


(5)   Latihan-latihan lain yang diperlukan oleh Salikin     sesuai dengan keruhaniannya.

 

Semua jenis latihan ini tidak diajar di sekolah-sekolah dan tiada di dalam bengkel-bengkel kemahiran dan tiada diketahui oleh pakar-pakar motivasi mana pun, cuma ada pada Mursyid yang Siddiq.


Penjelasan Kedua:

Mursyid, Pewaris Nabi yang Siddiq mewarisi kemahiran merawat hati manusia daripada Junjungan Besar Rasulullah .  Mereka mempunyai seribu penawar dan seribu jalan bagi menyembuhkan segala penyakit hati manusia. Mereka memiliki perisai bagi menangkis segala macam godaan dan bisikan nafsu, syaitan, makhluq dan dunia yang membinasakan.


Penjelasan Ketiga:

Salikin diasuh dan dipimpin satu peringkat demi satu peringkat sehingga hatinya benar-benar suci bersih dari sekalian kekotoran ma'nawiyyah, syirik khafi, mazmumah dan dosa-dosa lain sehingga cermin hatinya bersinar dengan Cahaya Zikrullah dan Cahaya Rabbaniyyah.  Wujudnya Cahaya Rabbaniyyah ini yang membolehkan hati Salikin berzikir kepada Allah berterusan tanpa henti.

 

Ertinya hatinya tiada pernah berhenti berzikir meskipun dia sibuk dengan berbagai urusan dunia.

 

Khulasahnya... Salikin yang mencapai Maqam Tauhid yang hakiki akan dipermudahkan melakukan Zikrullah yang Allah Taala wajibkan atas setiap orang beriman, iaitu Zikir Allah Allah di dalam hati terus-menerus tanpa henti.  In Shaa Allah.

Alhamdulillah.



...bersambung ke Fasal 10 :  Tingkatan Pencapaian Salikin

10.4  Penjelasan Tingkatan Tauhid Pertama – Maqam Tauhid Af’al - Tanda ke-8 :  Bertemu Rasulullah

..........اِ نْ شَآ ءَ اللّه 


Thursday, July 09, 2026

MENCARI MURSYID PEWARIS NABI YANG SEBENAR - FASAL 10

بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



FASAL 10:

TINGKATAN PENCAPAIAN SALIKIN


10.4  Penjelasan Tingkatan Tauhid Pertama – Maqam Tauhid Af’al


....... sambungan...


Tanda ke-7 :  Zikrullah di dalam hati pada setiap masa

Sesungguhnya Zikir kepada Allah di dalam hati (Zikir mengingat Allah atau Zikir Allah Allah di dalam hati) berterusan tanpa putus adalah wajib atas semua orang Islam yang mukallaf.  Dalil dan fatwa Ulama Ahlus Sunnah berkenaan kewajiban ini adalah:

 

Firman Allah Ta'ala:

فَٱذْكُرُواْ ٱللَّهَ قِيَاماً وَقُعُوداً وَعَلَىٰ جُنُوبِكُمْ

"maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk dan semasa kamu berbaring."

[An-Nisaa (3) : Ayat 103]

 

Berkata Ibn Abbas Radhiallahu anhu:

“Allah Ta'ala memerintahkan orang beriman untuk berzikir kepada-Nya di dalam setiap keadaan (setiap masa).  Allah berfirman :  "Berzikirlah kamu kepada Allah di waktu berdiri, di waktu duduk dan di waktu berbaring.”

[Haqaaiq At-Tasaawuf]

 

Firman Allah:

وَٱذۡكُر رَّبَّكَ فِى نَفۡسِكَ تَضَرُّعً۬ا وَخِيفَةً۬ وَدُونَ ٱلۡجَهۡرِ مِنَ ٱلۡقَوۡلِ بِٱلۡغُدُوِّ وَٱلۡأَصَالِ وَلَا تَكُن مِّنَ ٱلۡغَـٰفِلِينَ

“Dan ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai."

[Al-A'raf (7) : Ayat 205]

 

Berkata Imam Fakhruddin Ar-Razi (Mujaddid kurun ke-6 Hijriyyah):

"Berdasarkan ayat 205 Al-A’raf ini, Rasulullah (dan Ummat Baginda)  diwajibkan berzikir dalam hati  (senyap - tanpa  suara)   dengan ingatan Allah,  Allah  terus-menerus sepanjang waktu siang dan malam.  Kalimat  ini "بِٱلۡغُدُوِّ" mewakili seluruh waktu siang dan "وَٱلۡأَصَالِmewakili seluruh malam"

[Tafsir Al-Kabir  Tafsir Ar-Razi]


Firman Allah Ta'ala:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱذْكُرُوا۟ ٱللَّهَ ذِكْرًۭا كَثِيرًۭا

"Wahai orang-orang yang beriman,  ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya.”

[Al-Ahzab (33) : Ayat 41]

 

Berkata Al Qutb Tajul Arifin Shaikh Yahya Al-Kholidi Radhiallahu anhu:

"Ya anakku! Adapun hukum Zikrullah (ingat Allah Allah berterusan di dalam hati) itu wajib, kerana Perintah Allah yang mutlaq: يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱذْكُرُوا۟ ٱللَّهَ ذِكْرًۭا كَثِيرًۭا

[Risalah Ma'rifat]

 

  Apakah definisi zikrullah?

  Zikrullah yang manakah wajib atas setiap Muslim?

 Bagaimanakah cara kekal hati dengan Zikrullah?

  Adakah mungkin kekal hati Zikrullah sedangkan manusia mempunyai banyak urusan duniawi?

  

Semua persoalan di atas telah dijelaskan di dalam Tajuk Risalah kami :  “Keagungan dan Kewajiban Zikrullah".  Di dalam risalah ini, kami jelaskan secara ringkas sahaja. 


In Shaa Allah.

 

 

...bersambung ke Fasal 10 :  Tingkatan Pencapaian Salikin

10.4  Penjelasan Tingkatan Tauhid Pertama – Maqam Tauhid Af’al - Tanda ke-7 :  Zikrullah di dalam hati pada setiap masa - Cabang :  Kekalkan Hati Zikrullah Setiap Masa (ringkasan)

..........اِ نْ شَآ ءَ اللّه 

 

 

 

 



MENCARI MURSYID PEWARIS NABI YANG SEBENAR - FASAL 10

بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



FASAL 10:

TINGKATAN PENCAPAIAN SALIKIN


10.4  Penjelasan Tingkatan Tauhid Pertama – Maqam Tauhid Af’al


....... sambungan...


Tanda ke-6 :  Khusyu’ di dalam Solat


Di antara tanda-tanda lain seseorang yang diangkat ke Maqam Tauhid yang benar adalah :  Khusyu’ di dalam solat.  Pada saat seseorang Salikin sampai ke Maqam Tauhid yang suci bersih, dia akan memperoleh Khusyu’ yang sebenar di dalam solatnya iaitu Khusyu’ dengan penghayatan hati dan ruh, menepati tuntutan Allah.


Firman Allah:

قَدۡ أَفۡلَحَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلَّذِينَ هُمۡ فِى صَلَاتِہِمۡ خَـٰشِعُونَ

"Sesungguhnya mencapai kemenangan (kejayaan, selamat) orang Mu'min,  iaitu mereka yang khusyu' di dalam Solatnya."

[Al-Mu'minun (23) : Ayat 1-2]

Khusyu’ tanda Mu'min ini sudah pasti khusyu' di dalam pengertian sebenar, iaitu "Hadir hati berserta Allah" tanpa paksaan, tanpa digagahi.  Bukan buat-buat khusyu' sedangkan hati masih lalai dari  mengingat Allah.

 

Khusyu’ ini hadir sendiri sebaik sahaja Salikin ini mengangkat Takbiratul Ihram.  Bahkan sebelum angkat Takbir pun dia sudah merasai dirinya menghadap Allah tanpa sebarang kaifiyyat yang dapat huraikan bagaimana caranya.  Ianya semata-mata sebuah "perasaan" dan "pandangan mata hati" yang terbuka kepada Ketuhanan.  Inilah Rahmat dan Kurniaan Allah kepada Salikin yang telah mujahadah menyucikan hatinya sehingga memperoleh Cahaya Ilahiyyah.

 

Inilah Khusyu' sebenar sebagaimana tuntutan Allah ke atas orang beriman. Sebelum Salikin memperoleh khusyu’ yang sebenar ini, iaitu ketika dia masih di peringkat awam, dia pun cuba juga untuk Khusyu’ dengan berbagai cara, iaitu memaksa diri atau menggagahi untuk berbuat khusyu' mengingat-ingat Allah, namun tak berjaya. Terkadang dia rasa mula khusyu' namun selang beberapa saat fikirannya sudah pun melayang jauh kepada pekerjaan dunia seperti ke pejabat, kedai kopi, taman permainan, tepi pantai, kenduri kahwin dan lain-lain.

Mengapakah orang awam tersangat susah untuk khusyu’?

Mengapakah dia sering terhalang dari berbuat khusyu’?

Apakah anasir yang menyebabkan halangan tersebut?

Penjelasan bagi persoalan ini amat panjang kerana sebab-sebab yang menghalang seseorang dari khusyu’ juga amat banyak.  Namun punca dan sebab-sebabnya dapat dihimpunkan jadi satu, iaitu hatinya terhijab.

 

Maksud hati yang terhijab adalah:

Hatinya terhalang dari menyaksikan Ketuhanan.  Hatinya masih diselaputi berbagai lapisan-lapisan syirik khafi, mazmumah, dosa-dosa zahir dan dosa-dosa batin, maka terhalanglah dia dari menyaksikan Ketuhanan.  Apabila hatinya terhalang dari menyaksikan Ketuhanan, maka terhalanglah dari khusyu’, kerana terbitnya khusyu’ itu dari hati, bukan aqal fikiran.    

                  

Maksud khusyu’ adalah Hadir Hati berserta Allah, Merasai Keagungan-Nya, Merasai Kehebatan-Nya sehingga terasa diri tersangat hina, lemah, faqir, takut dan mengharap Keampunan dan Rahmat-Nya.

 

Inilah sebabnya Salikin dididik, diasuh, dilatih membersihkan hatinya dengan zikrullah, mujahadah melawan nafsu-nafsu jahat dan bisikan syaitan serta latihan-latihan khusus yang lain sehingga hatinya benar-benar suci bersih. Ketika hatinya suci bersih dari sekalian aghyar, maka cermin hatinya memancarkan Cahaya Ketuhanan yang melimpah ke atasnya.

 

Ketika cermin hatinya memancarkan Cahaya Ilahiyyah yang terlimpah ke atasnya, maka melihatlah dia kepada Ketuhanan sehingga hatinya menjadi khusyu’.  Sekalian anggota zahir dan batinnya tunduk Mengagungkan-Nya. Ketika dia angkat Takbiratul Ihram, hati dan ruhnya sudah pun menghadap Rabbul Jalil, Tuhan Yang Maha Agung.



...bersambung ke Fasal 10 :  Tingkatan Pencapaian Salikin

10.4  Penjelasan Tingkatan Tauhid Pertama – Maqam Tauhid Af’al - Tanda ke-7 :  Zikrullah di dalam hati pada setiap masa

..........اِ نْ شَآ ءَ اللّه



Wednesday, July 08, 2026

MENCARI MURSYID PEWARIS NABI YANG SEBENAR - FASAL 10

بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


FASAL 10:

TINGKATAN PENCAPAIAN SALIKIN


10.4  Penjelasan Tingkatan Tauhid Pertama – Maqam Tauhid Af’al


....... sambungan...


Tanda ke-5 :  Memperoleh Ikhlas yang sebenar

Di antara tanda-tanda hamba Allah telah mencapai Maqam Tauhid yang hakiki adalah, memperoleh Ikhlas yang sebenar-benar suci murni.

Maksud Ikhlas yang suci murni adalah:

(1) Setiap ibadah yang dikerjakannya hanya semata-mata kerana Allah,  mencari Keredhaan dan Kasih-Nya BUKAN kerana mencari pahala-pahala, BUKAN kerana ganjaran-ganjaran, BUKAN juga kerana inginkan mahligai indah, bidadari atau kebendaan lain yang disukai nafsu di Syurga.  Sebaliknya matlamat dan harapannya hanya Allah, berserta Allah, daripada Allah, kembali kepada Allah.

 

(2) Setiap amal kebajikan yang diperbuatnya atau sedekah atau kerja-kerja kebaikan untuk Ummat, jihad fi Sabilillah, semua itu hanya kerana Allah. Bukan kerana pujian, BUKAN kerana habuan dunia, BUKAN kerana nama, pangkat, kedudukan.  BUKAN kerana merebut-rebut kerusi politik dunia (seperti yang banyak berlaku pada zaman ini).

 

(3)  Niat sekalian suatu "kerana Allah" adalah : Melihat dari dalam hati bahawa setiap Ibadah, ketaatan dan kebajikan yang dilakukannya adalah dari Rahmat Allah dan Kemurahan-Nya, BUKAN kerana usaha ikhtiar atau kemampuannya atau kekuatannya. 


 

Ketika berdiri untuk solat, dia melihat Rahmat Allah dan Kemurahan-Nya untuk melakukannya.  Ketika takbiratul ihram, ketika ruku', ketika sujud semunya dipandang Kurnia Allah kepadanya BUKAN keupayaan dirinya atau kekuatannya.

 

Ketika dia mengerjakan puasa, haji, da'wah, jihad, sedekah dan ibadah yang lain-lain tidak dipandang akan kekuatannya atau kemampuannya, melainkan hanya dipandangnya Kurnia Allah dan Kemurahan Allah kepadanya.

 

Jika pada suatu saat dia berjaya melakukan suatu perkara misalnya kejayaan di dalam pelajaran, cemerlang di dalam perniagaan atau mencapai kemajuan di dalam pentadbiran atau lain-lain sepertinya,  semua kejayaan, kecemerlangan, kehebatan tersebut dilihatnya Rahmat dan Kurnia Allah kepadanya, BUKAN kerana keupayaannya.

 

(4)Tidak sama sekali mempersekutukan Allah di dalam ibadahnya dengan kebanggaan, kemegahan, takabbur, riya', 'ujub, sum'ah dan lain-lain. Sekalian keakuan diri sudah musnah apabila Cahaya Af'al Allah menyinari hatinya.

 

(5)   Tidak sama sekali merasakan dirinya sudah "ikhlas" sebaliknya dia hanya melihat dirinya berserta Allah di dalam setiap Ibadah dan ketaatannya.  

 

(6) Segala daya upayanya hilang di dalam Qudrat Allah dan Limpahan Kurniaan dan Kemurahan-Nya, lalu dia  berkata:  لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِٱللَّه

(Tiada daya dan tiada upaya melainkan dengan Allah)

 

Sesungguhnya inilah gambaran hamba Allah yang sebenar-benar mencapai Maqam Ikhlas dan inilah hakikat Ikhlas yang dituntut atas setiap orang beriman sebagaimana Firman Allah:

Firman Allah:

  وَمَآ أُمِرُوۤاْ إِلاَّ لِيَعْبُدُواْ ٱللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ  

"Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya"

[Al-Bayyinah (98) : Ayat 5]

Kata Ibnu Abbas Radhiallahu anhu:

" Kalam Allah mukhlisin  (orang yang sebenar Ikhlas sebagaimana perintah Allah pada ayat di atas)  adalah  Tauhid yang murni."

[Tafsir Ibnu Abbas]

 

Tafsiran Ibnu Abbas menunjukkan hubungan antara "Ikhlas" dan "Tauhid", seolah-olah beliau berikan isyarat bahawa niat Ikhlas yang suci murni itulah Tauhid yang hakiki.  Mereka yang menempuh Jalan Ma'rifat akan dipermudahkan mencapai Maqam Ikhlas yang sebenar-benar suci ini kerana Cahaya Af'al Allah yang melimpah ke dalam hati dan ruhnya.  Mereka akan memperoleh "Ikhlas suci" ini tanpa menggagahi dirinya atau memaksa-maksa fikirannya, sebaliknya semua itu terjadi secara langsung dengan penuh kelembutan. 


Penjelasan Ringkas:  Tujuh Tingkatan Ikhlas


Ini suatu penjelasan ringkas berkenaan maqam-maqam Ikhlas orang beriman sebagai tambahan kepada huraian sebelumnya.


Sesungguhnya Maqam Ikhlas tidak sama di antara seorang dengan seorang yang lain.  Ia bergantung kepada Keimanan, Tauhid atau Ma'rifat seseorang iaitu sama ada hatinya dikuasai oleh Syirik Khafi (syirik tersembunyi)  ataupun "Cahaya Ketuhanan" yang melimpah ke dalam hatinya.

Ulama Mu'tabar membahagikan Ikhlas kepada beberapa peringkat dan tingkatan seperti: 

1. Ikhlas orang awam 

2. Ikhlas orang abrar 

3. Ikhlas orang Arif 


Sebahagian lainnya memberikan perincian lebih halus dengan pembahagian berikut:

1. Ikhlas orang awam - 3 tingkatan 

2. Ikhlas salikin - 3 tingkatan 

3. Ikhlas Arifin - 1 tingkatan

 

Tiga Tingkatan Ikhlas Orang Awam


Peringkat 1 (awam):

Melakukan amal  ibadah dengan qasad (niat) kerana Allah, tetapi pada masa yang sama dia menuntut pahala-pahala atau ganjaran-ganjaran dari Allah Ta'ala  atau dia mempunyai cita-cita di dalam hatinya kepada kesenangan-kesenangan syurga berupa bidadari, mahligai indah-indah, segala macam makanan enak dan hiburan Syurga. 

 

Peringkat ke-2 (awam): 

Melakukan amal ibadah dan ketaatan dengan qasad (niat) semata-mata kerana Allah, dan tiada keinginan atau menuntut-nuntut pahala atau ganjaran-ganjaran tetapi dia melihat kemampuan dirinya untuk melakukan amal ibadah dan ketaatan. 

 

Peringkat ke-3 (awam):

Melakukan amal ibadah  dengan qasad (niat) semata-mata kerana Allah dan tiada cita-cita melainkan Allah saja, tetapi dia merasakan dirinya sudah Ikhlas, iaitu dia melihat dirinya mempunyai kemampuan melakukan Ikhlas.  

 

Inilah 3 Peringkat dan Tingkatan ikhlas orang awam.

 

Pada sisi Fiqh, ketiga-tiga bentuk " Ikhlas orang awam" ini adalah SAH, yakni sah amal ibadahnya dan terlepas daripada taklif syara' (kewajipan sebagai mukallaf)  namun apabila direnungi pada sisi Tasawwuf atau Ma'rifat, ketiga-tiga bentuk Ikhlas ini masih belum bebas sepenuhnya daripada 'mempersekutukan' Allah.  Ini kerana menuntut selain Wajah Allah di dalam ibadah adalah suatu bentuk 'penyekutuan' kepada Ketuhanan.  Demikian lagi melihat keupayaan dan kekuatan diri  untuk melakukan ketaatan dan ibadah, merupakan satu lagi bentuk syirik khafi yang sangat tersembunyi.


Firman Allah:

ۖ فَمَن كَانَ يَرْجُوا۟ لِقَآءَ رَبِّهِۦ فَلْيَعْمَلْ عَمَلًۭا صَـٰلِحًۭا وَلَا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِۦٓ أَحَدًۢا

"Barangsiapa yang mengharap pertemuan dengan Tuhannya maka hendaklah mengerjakan amal soleh  dan janganlah dia  mempersekutukan seorang pun dalam beribadah kepada Tuhannya.”

[Al-Kahfi (18) : Ayat 110]


Kata Ibn Abbas Radhiallahu anhu:

“Jangan mempersekutukan suatu apa pun di dalam ibadahnya, maksudnya adalah : Janganlah dia riya' dan jangan sertakan di dalam ibadahnya itu sesuatu benda atau sesiapa pun."

[Tafsir Ibn Abbas]



...bersambung ke Fasal 10 :  Tingkatan Pencapaian Salikin

10.4  Penjelasan Tingkatan Tauhid Pertama – Maqam Tauhid Af’al - Tanda ke-6 :  Khusyu’ di dalam Solat

..........اِ نْ شَآ ءَ اللّه



MENCARI MURSYID PEWARIS NABI YANG SEBENAR - FASAL 15 - AKHIR

بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ Fasal 15 :   Khotimah Demikianlah kami m...