Thursday, March 05, 2026

SIRI 75


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ

Fasal 7: Wahyu Pertama Iqra' dan Hubungannya dengan Syari'at dan Toriqat (Tasawwuf)

sambungan...


Kenyataan 6:

Wahyu Pertama Iqra' dan Ma'rifat



Definisi Ma'rifat (مَعْرِفَة ):


Dari segi bahasa:

Perkataan Ma'rifat ( مَعْرِفَة ) berasal dari kata   ( عَرَفَ - يَعْرِفُ ) bermaksud: 

pengetahuan, pengenalan, pelajaran, keakraban, kearifan, mengetahui, mengenal, menyadari, kenal, tahu dengan yaqin.


Dari segi istilah:

Ma'rifat ( مَعْرِفَة )  adalah Ilmu mengenal Allah (Ilmu Tauhid peringkat tinggi) dengan yaqin yang jazam (yaqin yang putus, tanpa sedikit pun keraguan) dari dalam qalb (hati), ruh(roh), sirr (rahsia yang sangat dalam), serta Ubudiyyah (pengabdian diri) kepada Allah, setelah hatinya disucilkan daripada Syirik khafi (syirik tersembunyi di dalam hati), mazmumah (kekejian hati), ghaflah (kelalaian) dan aghyar (segala sesuatu selain Allah) sehingga bercahaya-cahaya hatinya dengan Nur Rabbaniyyah (Cahaya Ketuhanan).



Penjelasan:

Penjelasan berikut amat penting bagi memahami istilah Ma'rifat.  Sila tumpukan perhatian untuk mengelakkan kekeliruan atau tertipu dengan maklumat-maklumat batil dan sesat. 


Penjelasan 1: Ma'rifat adalah Tauhid haqiqi, Sejati, Suci murni

Ma'rifat adalah pada haqiqatnya Tauhid dan Ubudiyyah yang suci murni tanpa disertai sebarang syirik khafi (syirik tersembunyi), mazmumah (sifat keji), ghaflah (kelalaian), aghyar (setiap suatu selain Allah) di dalamnya.

Ini bermaksud, dari sudut pemahaman yang mudah dan ringan;   

Ma'rifat pada haqiqatnya adalah Tauhid — Tauhid haqiqi, Tauhid Suci murni, Tauhid sejati —mengenal dan mengesakan Allah dari dalam hatinya, iaitu penghayatan Qalb (hati), ruh (roh), sirriyah (rahsia yang sangat dalam) mengikut darjat pencapaian masing-masing.


Penjelasan 2: Tiga kunci penting

Tiga makna haqiqat ini penting bagi memahami definisi ini, iaitu:

(1) Mengenal Allah dengan Qalb (hati), ruh (roh), sirriyah (rahsia yang sangat dalam) dengan yaqin yang jazam (tiada keraguan sedikit pun).

(2) Ubudiyyah (pengabdian diri) tulus ikhlas tanpa syirik (syirik khafi) sedikit pun di dalamnya.

(3) Proses mencapainya (Ma'rifat) dengan cara mujahadah (bersungguh-sungguh) menempuh sendiri perjalanannya melalui Sistem Tarbiyyah yang khusus dengan pimpinan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (benar).


Penjelasan 3: Dua tingkatan Tauhid

Menurut keterangan Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:

Tauhid terbahagi dua:

1. Tauhid atau Iman orang awam

2. Tauhid atau Iman Arifin @ Ahli Ma'rifat


Imam Ghazali Radhiallahu Anhu membahagikan orang beriman kepada 3 tingkatan.  Tetapi apabila dihalusi dua tingkatan jua seperti keterangan Imam Jilani Radhiallahu anhu, kerana Tingkatan Iman Mutakallimin (ahli Ilmu Kalam) sama jua dengan Iman orang awam yang diliputi dengan waham, syak, zonn. (akan datang keterangan lanjut)


1. Tauhid atau Iman orang awam

2. Tauhid atau Iman Mutakallimin (Ilmu Kalam)

3. Tauhid atau Iman Arifin @ Ahli Ma'rifat



Bersambung siri 76 اِ نْ شَآ ءَ اللّه

____________________________

 MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

SIRI 74


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ

Fasal 7: Wahyu Pertama Iqra' dan Hubungannya dengan Syari'at dan Toriqat (Tasawwuf)

sambungan...


Kenyataan 5:

Wahyu Pertama dan Zikir Allah Allah Allah

Sambungan...


Rumusan 4:

Apabila mereka mendirikan solat, jiwa mereka terus-menerus berzikir ingat Allah dan _musyahadah_ kepada Allah — maka jadilah solat mereka ikhlas sebenar ikhlas yang suci dan khusyu’ sepanjang solat mereka. 


Apabila mereka berpuasa, jiwa mereka terus-menerus berzikir ingat Allah dan musyahadah kepada Allah — maka jadilah puasa  mereka ikhlas sebenar ikhlas yang suci dan tunduk khusyu’ sekalian anggota.  (bukan semata-mata jaga perut)


Apabila mereka tilawah Al-Qur'an, hati mereka tidak lalai. Jiwa mereka terus-menerus berzikir ingat Allah dan musyahadah kepada Allah — maka jadilah bacaan itu suci ikhlas semata-mata kerana Allah dan bercahaya-cahaya bacaannya.


Apabila mereka berda'wah, berjihad,  jiwa mereka terus-menerus berzikir ingat Allah dan musyahadah kepada Allah — maka jadilah jihad  mereka ikhlas sebenar ikhlas yang suci dan tunduk khusyu’ semata-mata kepada Allah. Mereka telah serahkan jiwa mereka kepada Allah.


Apabila mereka bermuamalah, bergaul ke dalam masyarakat,  nikah kahwin, makan minum dan lain-lain jiwa mereka terus-menerus berzikir ingat Allah dan musyahadah kepada Allah — maka jadilah setiap perbuatan dan perkataan mereka memperoleh ke-Redhaan Allah, tiada yang sia-sia walau sedikit pun.   


Apabila diberi amanah memerintah negara atau wilayah atau daerah...  mereka sempurnakan amanah tanpa mengambil walau satu sen dari hak rakyat.    


Apabila datang perintah Jihad, mereka berlumba-lumba untuk mati syahid.



Rumusan 5:

Dalil-dalil Al-Qur'an, Hadith dan Fatwa Ulama lebih dari cukup sebagai  bukti-bukti kukuh menguatkan hujjah "Zikir Allah Allah Allah di dalam hati" sebagaimana Perintah Zikir yang terkadung di dalam Wahyu pertama :   [  ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَقَ    ]  


Rumusan 6:

Sebagaimana kita sebut awal-awal tadi, inilah Toriqat Pertama yang diwahyukan kepada Rasulullah ﷺ untuk diamalkan oleh Baginda dan para Sahabat.  Iaitu Toriqat yang di dalamnya diperintah amalkan Zikir Allah Allah berterusan di dalam hati atau di dalam perkataan lain "Ingat Allah berterusan tanpa henti siang dan malam.  


Rumusan 7:

Menurut keterangan  Al-Qutb Tajul Arifin Shaikh Yahya Al-Kholidi Radhiallahu anhu, Toriqat pertama ini dikenali sebagai Toriqat Ilahiyyah Muhammaddiyyah. Pada zaman kemudiannya ia kenal sebagai Toriqat Siddiqiyyah (nisbah kepada Sayyidina Abu Bakar Radhiallahu anhu), kemudian dinamakan Jaafariyyah (nisbah kepada Imam Jaafar Siddiq Radhiallahu anhu), kemudian dinamakan Taifuriyyah (Imam Abu Yazid Bustami Radhiallahu anhu), Junaidiyyah (Shaikh Junaid Al-Baghdadi Radhiallahu nahu), Ghazaliyyah (Imam Ghazali Radhiallahu anhu) dan akhir sekali Naqsyabandiah (nisbah kepada Imam Baha 'Uddin Shah Nqsyabandiah.  Sehinggalah ke saat ini dipegang teguh oleh sekalian Mursyid Naqsyabandiah.  Dan ianya tetap akan bertahan sampai Qiamat.


Bersambung siri 75 اِ نْ شَآ ءَ اللّه

____________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳 

SIRI 72


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ

Fasal 7: Wahyu Pertama Iqra' dan Hubungannya dengan Syari'at dan Toriqat (Tasawwuf)

sambungan...



Kenyataan 5:

Wahyu Pertama dan Zikir Allah Allah Allah

Sambungan...


Dalil 17: Dalil Terbesar:  Warisan Silsilah Rasulullah ﷺ  di tangan Mursyid (Ahli Ma'rifat) zaman ini:


Sesungguhnya ini adalah Hujjah teragung untuk menunjukkan kebenaran Toriqat pertama yang diwahyukan kepada Rasulullah ﷺ dan amalan Zikir Allah Allah atau Zikir mengingat Allah berterusan di dalam hati, seperti huraian terdahulu.  Maksudnya adalah:  Sekalian Mursyid yang Siddiq (benar) yang wujud pada zaman ini yang mewarisi Ilmu dan Keruhanian Rasulullah ﷺ menjadi hujjah yang tiada tolok bandingnya kerana mereka adalah " Hadith " yang hidup.  


Diri mereka sendiri(Mursyid yang Siddiq pada zaman ini)   adalah menjadi bukti kukuh akan Warisan Rasulullah ﷺ yang dipindahkan dari generasi kepada generasi berikutnya dengan penuh rahsia, tertib dan beradab mulai dari Sahabat Baginda kemudian  Mursyid seterusnya yang menyambung wasilah sampai ke saat ini.  Khabar dari mereka (iaitu mengambil ilmu warisan Rasulullah ﷺ daripada mereka)  adalah menempati khabar yang mutawatir iaitu khabar yang sahih lagi  marfu' yang tidak mungkin ada kecelaan atau kecacatan dan tidak mungkin mereka berpakat untuk berdusta.   


Maksudnya dilihat dari pandangan atas, khabar ini ( amal Zikir Allah Allah) ini seolah-olah diambil terus dari lisan Rasulullah ﷺ disebabkan wujudnya rantaian pengambilan dan penerimaan ijazah amal dari generasi Sahabat, kemudian Generasi Mursyid yang Siddiq (benar) —  turun-temurun sampai ke saat ini tanpa putus.  (disebut Silsilah Rasulullah ﷺ )


Semua Mursyid yang Siddiq (benar) yang wujud pada zaman ini mempunyai Silsilah Warisan Ilmu Rasulullah ﷺ iaitu mereka mewarisinya daripada Guru mereka yang juga Mursyid yang Siddiq (benar) dan mereka juga mengambil warisan tersebut daripada Guru mereka yang Mursyid — begitu bersambung ke atas sehingga menerima warisan dari Sayyidina Abu Bakr, atau Sayyidina Ali, atau Sayyidina Umar atau Sayyidina Uthman, Ridhwanullah — yang mereka mewarisinya dari Junjungan Besar Sayyidina Wa Maulana Muhammad ﷺ.


Di seluruh dunia pada saat ini wujud Mursyid-Mursyid Naqsyabandiah (Ingat semula : Nama "Naqsyabandiah"  adalah nama yang terbit pada zaman kemudiannya bagi Toriqat yang pertama diwahyukan) yang mengamalkan Zikir Allah Allah di dalam hati (iaitu zikir ingat Allah berterusan di dalam hati) dan mereka mengajarkan kepada ummat  akan zikir ini — wujud di seluruh dunia, di Barat dan Timur —   dari benua Amerika di Barat sehingga ke Negeri Cina dan Jepun terdapat Mursyid-Mursyid yang mewarisi dan amalkan Toriqat Rasulullah ﷺ yang pertama ini,  dengan Prinsip-Prinsip ASAS yang sama, kaifiyyat (asas)  yang sama, dengan adab-adab yang sama dan dengan matlamat yang sama.  


Sesungguhnya ini adalah rencana rapi Ilahi yang Maha Agung, rencana yang tidak dapat dipintas oleh mana-mana kuasa dunia atau kerajaan dunia.  Ianya merupakan suatu Pancaran Keabadian Alam Alwiyyah  yang akan bertahan sampai Qiamat...!


Bersambung siri 73 اِ نْ شَآ ءَ اللّه

____________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

SIRI 71



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ

Fasal 7: Wahyu Pertama Iqra' dan Hubungannya dengan Syari'at dan Toriqat (Tasawwuf)

sambungan...



Kenyataan 5:

Wahyu Pertama dan Zikir Allah Allah Allah

Sambungan...



(5)  Imam Nawawi Radhiallahu Anhu:

"Perlu diketahui bahawa pada riwayat-riwayat tersebut (Hadith zikir Allah Allah) terdapat kesepakatan pengulangan lafaz Allah pada dua riwayat tersebut.  Demikianlah dicatat di dalam seluruh kitab-kitab sahih.

[Syarah Imam Nawawi]


(6) Imam Ghazali  Radhiallahu Anhu:

"Seseorang yang ingin berzikir hendaklah duduk pada suatu tempat yang sunyi, menutup segala pancaindera zahir,  mencelikkan mata hati, pendengaran hati dan dengan itu menjadikan hatinya sebagai wadah untuk menerima alam malakut.  Dalam pada itu hendaklah sentiasa menyebut Allah Allah Allah berterusan dengan hati bukan dengan lidah"

[Kimiya As-Sa'adah]


(7) Imam Asy-Sya'rani  Radhiallahu Anhu:

"Kami telah menerima bai'at daripada Guru kami supaya berzikir menyebut lafaz "Allah Allah" sebanyak 24,000 kali sehari semalam"

[Uhud As-Sughra]


(8) Imam Ibn Hajar Al-Haythami Radhiallahu Anhu:

Beliau adalah Mufassir, Muhaddith, Imam besar Mazhab Syafi'e.  Mujaddid kurun ke-10 Hijriyyah,   

Kata beliau:

"Amalan tersebut (zikir  La-Ilaha Illallah  ) perlu berterusan sehingga kesan zikir menjiwai dirinya dan pada ketika itu lebih utama bagi salik zikir "Allah Allah"

[Miftah Al Falah]


(9) Imam Ahmad Ibn Muhammad Ibn Atha’illah As-Sakandar Ibn Atha illah Radhiallahu Anhu:


Beliau adalah Pengarang kitab Hikam dan Guru Besar Syaziliyah berkata:

"Hendaklah kamu berzikir ismuz-Zat Allah Allah Allah atau hu,  hu,  hu di dalam hati tanpa menyebut di lidah."

[Miftah Al Falah]



(10) Berkata Muhaddith Ummah, Shaikh Zakariyya Kandahlawi Radhiallahu Anhu:

"Kaedah zikir ismuz-Zat (Zikir  Allah Allah) adalah mengingat Allah dengan matlamat tiada lain di dalamnya melainkan Allah sebagai maqsudnya,  yang ditujui dan dicintai.   Dengan bentuk ini, ianya merupakan subjek yang tersembunyi di dalamnya predikat, yang mana menepati secara sempurna akan syarat-syarat nahwu. (tatabahasa Arab).  Bahkan ianya menepati secara sempurna Kalimat Al-Qur'an :   قُلِ ٱللَّهُ‌ ثُمَّ ذَرۡهُمۡ فِى خَوۡضِہِمۡ يَلۡعَبُونَ  

"Katalah "Allah" dan tinggalkan mereka di tempat main-main mereka itu", [Al-An'am (6) : ayat 91]    —  di dalam Kalimat ini terdapat subjek yang mengandungi prediket yang tersembunyi di dalamnya.

[Himpunan Surat-surat Muhaddith Maulana Zakariyya Kandahlawi]


Bersambung siri 72 اِ نْ شَآ ءَ اللّه

____________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

SIRI 70



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ

Fasal 7: Wahyu Pertama Iqra' dan Hubungannya dengan Syari'at dan Toriqat (Tasawwuf)

sambungan...



Kenyataan 5:

Wahyu Pertama dan Zikir Allah Allah Allah

Sambungan...



Dalil 16 :  Fatwa Ulama Mu'tabar Ahlus Sunnah:


(1) Imam Besar Ahlu Sunnah, Imam at-Toriqat wal Haqiqat,  Imam Ja'afar As-Siddiq Radhiallahu Anhu


Beliau adalah keturunan Rasulullah ﷺ yang ke-5 dari jalur Sayyidina Husain Radhiallahu Anhu.  Imam Ja'afar Siddiq posisi Agung sebagai Penyambung Risalah,  penyambung warisan Ahlus Sunnah yang haq, menduduki Maqam Auliya tingkatan tertinggi bergelar Ghawth.  


Imam Ja'afar Siddiq digelar Imam Toriqat Wal Haqiqat   kerana  semua Toriqat Ahlus Sunnah yang sahih yang diterima dari Rasulullah ﷺ melalui tangan beliau.   Khususnya Toriqat pertama yang diwahyukan — yang memerintah zikir Allah Allah di dalam hati atau bermaksud Ingatan di dalam hati yang  berterusan kepada Allah tanpa henti-hentinya sepertimana telah dijelaskan sebelum ini.  Pada zaman ini Toriqat pertama yang diwahyukan kepada Rasulullah ﷺ itu dinamakan Toriqat Naqsyabandiah.   


(Peringatan :  Imam Ja'afar Siddiq adalah Imam Ahlus Sunnah dan TIDAK ada kaitan apa-apa pun dengan golongan syi'ah rafidhi sesat.) 



(2) Imam Junaid Al-Baghdadi Radhiallahu anhu:

Beliau adalah Imam Ahlus Sunnah, Qadhi, Imam Fiqh,  Ahli Sufi dan Auliya Allah yang ternama, mengajarkan murid-murid beliau dengan zikir Allah Allah. 

[Rasail Al-Junaid - Risalah-risalah kecil Imam Junaid]



(3) Imam Fakhruddin Ar-Razi Radhiallahu anhu:


Beliau adalah Mujaddid Agung Ahlus Sunnah kurun-6 Hijriyyah, Imam Fakhruddin Ar Razi menyebut:

"Ketahuilah sekalian manusia, sesungguhnya aku menyebut sepanjang hidupku "Allah".  Apabila mati, aku menyebut "Allah".  Apabila disoal di dalam kubur aku menyebut "Allah".  Apabila datang di Hari Qiamat aku menyebut "Allah" .  Sewaktu aku mengambil suratan amalan aku menyebut "Allah".  Sewaktu perhitungan amalan aku menyebut "Allah".  Ketika melintasi titian aku menyebut "Allah".  Apabila masuk ke Syurga aku menyebut "Allah" hingga apabila melihat Allah aku juga menyebut "Allah".

[Tafsir Mafatih Al-Ghaib]



(4) Imam Ummah, Qadhi, Mufassir, Muhaddith  Shaikh Thana-Ullah Uthmani:


Ketika mentafsirkan Firman Allah :    "   وَٱذۡكُرِ ٱسۡمَ رَبِّكَ وَتَبَتَّلۡ إِلَيۡهِ تَبۡتِيلاً۬   "


"Zikirlah akan nama Tuhanmu dan renunglah kepada-Nya dengan sungguh-sungguh renungan (muraqabah)"

[Al-Muzammil (73) : ayat 8]      beliau berkata :

"Ketahuilah ayat ini memerintahkan berulang-ulang menyebut nama Tuhan Yang Maha Agung (ismuz-Zat  — nama bagi Zat) iaitu zikir Allah, Allah"

[Tafsir Mazhari]



Bersambung siri 71 اِ نْ شَآ ءَ اللّه

____________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

SIRI 69


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ

Fasal 7: Wahyu Pertama Iqra' dan Hubungannya dengan Syari'at dan Toriqat (Tasawwuf)

sambungan...



Kenyataan 5:

Wahyu Pertama dan Zikir Allah Allah Allah

Sambungan...



Dalil 8: Firman Allah:


مَثَلُ الَّذِيْ يَذْكُرُ رَبَّهُ وَالَّذِيْ لاَ يَذْكُرُ رَبَّهُ مَثَلُ الْحَيِّ وَالْمَيِّتِ


“Perbandingan orang yang berzikir kepada Allah dengan orang yang tidak berzikir kepada Allah adalah seperti orang yang hidup dan mati.”

[Imam Bukhari dan Imam Muslim] 



Dalil 9: Rasulullah   ﷺ  bersabda:

Dari ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha berkata, “Rasulullah ﷺ  selalu berzikir  Allah (ingat Allah) pada setiap waktunya.” 

[Imam Bukhari dan Imam Muslim] 


Dalil 10: Rasulullah   ﷺ  bersabda:

" Zikir yang tidak terdengar oleh malaikat pencatat amal ( zikir khafi — senyap di dalam hati) mengungguli atas zikir yang dapat didengar oleh mereka ( zikir Jihar ) sebanyak tujuh puluh kali ganda. " 

[Imam Baihaqi ]


Dalil 11: Rasulullah   ﷺ  bersabda:

"(Seseorang bertanya kepada Rasulullah  ﷺ) Jihad manakah yang terlebih besar di dalam memperoleh pembalasan baik (ke-Redhaan Allah) wahai Rasulullah? Baginda menjawab, "mereka yang paling banyak berzikir mengingat Allah".  Dia bertanya lagi, "siapakah di kalangan orang berpuasa yang terlebih hebat?  Baginda menjawab, "mereka yang paling banyak berzikir mengingat Allah."  Kemudian dia bertanya berkenaan solat, zakat, haji dan sedekah yang mana bagi setiap pertanyaan tersebut Baginda menjawab, "mereka yang paling banyak berzikir mengingat Allah"

[Imam Ahmad]



Dalil 12: Rasulullah   ﷺ  bersabda:


لا تقوم الساعة حتى لا يقال في الأرض الله الله


"Tidak akan tiba Qiamat hingga tidak ada yang mengucapkan di atas bumi (kalimat) Allah, Allah" 

[Imam Muslim]



Dalil 13: Rasulullah   ﷺ  bersabda:

"Di bumi terdapat orang yang menyebut "Allah Allah", kemudian apabila tiada lagi orang yang menyebut "Allah Allah" maka di saat itulah berlakunya Qiamat.”

[Imam Muslim]


Dalil 14: Rasulullah   ﷺ  bersabda:

"Islam tidak akan hilang sehingga tiada siapa lagi yang menyebut Allah Allah."

[Imam Ibn Abi Dunya]



Dalil 15: Rasulullah   ﷺ  bersabda:

"Qiamat tidak akan dirasakan oleh orang yang mengucapkan (kalimat) Allah, Allah".

[Imam Muslim]


Zikirlah Allah Allah Allah di dalam hati kamu sebanyak-banyaknya — ingat  Allah terus-menerus tanpa henti siang dan malam.


Bersambung siri 70 اِ نْ شَآ ءَ اللّه

____________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

SIRI 68



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ

Fasal 7: Wahyu Pertama Iqra' dan Hubungannya dengan Syari'at dan Toriqat (Tasawwuf)

sambungan...



Kenyataan 5:

Wahyu Pertama dan  Zikir Allah Allah Allah

Sambungan...



Dalil  4: Firman Allah:

     يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱذۡكُرُواْ ٱللَّهَ ذِكۡرً۬ا كَثِيرً۬ا


"Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya"

[Al-Ahzab (33) : Ayat 41]



Dalil  5: Firman Allah:


وَٱذۡكُرُواْ ٱللَّهَ كَثِيرً۬ا لَّعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ


"Dan ingatlah akan Allah banyak-banyak (terus- menerus tanpa henti siang malam), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)."

[Al-Jumu'ah (62) : Ayat 10]



Dalil 6: Firman Allah:


قَدۡ أَفۡلَحَ مَن تَزَكَّىٰ (١٤) وَذَكَرَ ٱسۡمَ رَبِّهِۦ فَصَلَّىٰ


"Sesungguhnya berjayalah orang yang menyucikan jiwanya, dan zikir menyebut nama Tuhannya serta mengerjakan solat."

[Al-A'la ( 87 : Ayat 14 -15]



Dalil 7: Firman Allah:


ٱلَّذِينَ يَذۡكُرُونَ ٱللَّهَ قِيَـٰمً۬ا وَقُعُودً۬ا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمۡ وَيَتَفَڪَّرُونَ فِى خَلۡقِ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ رَبَّنَا مَا خَلَقۡتَ هَـٰذَا بَـٰطِلاً۬ سُبۡحَـٰنَكَ فَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ


"(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata):  Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka".

[Aali Imran (3) : Ayat 191]


Perintah Allah di dalam Kalimat-Kalimat Agung di atas ini sangat nyata —   perintah Wajib supaya ingat Allah banyak-banyak iaitu apabila dikatakan Zikirlah kamu akan Allah atau ingatlah kamu akan Allah dengan ingatan yang banyak —  Zikir Allah Allah di dalam hati atau terus-menerus mengingat di dalam hati adalah ibadah tersendiri yang agung.



Sekali lagi Perhatikanlah sungguh-sungguh:


Semua keterangan ini membawa maksud:

Zikirlah Allah Allah Allah di dalam hati kamu sebanyak-banyaknya —  ingat  Allah terus-menerus tanpa henti siang dan malam.



Bersambung siri 69 اِ نْ شَآ ءَ اللّه

____________________________

 MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

MENCARI MURSYID PEWARIS NABI YANG SEBENAR - FASAL 15 - AKHIR

بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ Fasal 15 :   Khotimah Demikianlah kami m...