SIRI 75
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ
Fasal 7: Wahyu Pertama Iqra' dan Hubungannya dengan Syari'at dan Toriqat (Tasawwuf)
sambungan...
Kenyataan 6:
Wahyu Pertama Iqra' dan Ma'rifat
Definisi Ma'rifat (مَعْرِفَة ):
Dari segi bahasa:
Perkataan Ma'rifat ( مَعْرِفَة ) berasal dari kata ( عَرَفَ - يَعْرِفُ ) bermaksud:
pengetahuan, pengenalan, pelajaran, keakraban, kearifan, mengetahui, mengenal, menyadari, kenal, tahu dengan yaqin.
Dari segi istilah:
Ma'rifat ( مَعْرِفَة ) adalah Ilmu mengenal Allah (Ilmu Tauhid peringkat tinggi) dengan yaqin yang jazam (yaqin yang putus, tanpa sedikit pun keraguan) dari dalam qalb (hati), ruh(roh), sirr (rahsia yang sangat dalam), serta Ubudiyyah (pengabdian diri) kepada Allah, setelah hatinya disucilkan daripada Syirik khafi (syirik tersembunyi di dalam hati), mazmumah (kekejian hati), ghaflah (kelalaian) dan aghyar (segala sesuatu selain Allah) sehingga bercahaya-cahaya hatinya dengan Nur Rabbaniyyah (Cahaya Ketuhanan).
Penjelasan:
Penjelasan berikut amat penting bagi memahami istilah Ma'rifat. Sila tumpukan perhatian untuk mengelakkan kekeliruan atau tertipu dengan maklumat-maklumat batil dan sesat.
Penjelasan 1: Ma'rifat adalah Tauhid haqiqi, Sejati, Suci murni
Ma'rifat adalah pada haqiqatnya Tauhid dan Ubudiyyah yang suci murni tanpa disertai sebarang syirik khafi (syirik tersembunyi), mazmumah (sifat keji), ghaflah (kelalaian), aghyar (setiap suatu selain Allah) di dalamnya.
Ini bermaksud, dari sudut pemahaman yang mudah dan ringan;
Ma'rifat pada haqiqatnya adalah Tauhid — Tauhid haqiqi, Tauhid Suci murni, Tauhid sejati —mengenal dan mengesakan Allah dari dalam hatinya, iaitu penghayatan Qalb (hati), ruh (roh), sirriyah (rahsia yang sangat dalam) mengikut darjat pencapaian masing-masing.
Penjelasan 2: Tiga kunci penting
Tiga makna haqiqat ini penting bagi memahami definisi ini, iaitu:
(1) Mengenal Allah dengan Qalb (hati), ruh (roh), sirriyah (rahsia yang sangat dalam) dengan yaqin yang jazam (tiada keraguan sedikit pun).
(2) Ubudiyyah (pengabdian diri) tulus ikhlas tanpa syirik (syirik khafi) sedikit pun di dalamnya.
(3) Proses mencapainya (Ma'rifat) dengan cara mujahadah (bersungguh-sungguh) menempuh sendiri perjalanannya melalui Sistem Tarbiyyah yang khusus dengan pimpinan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (benar).
Penjelasan 3: Dua tingkatan Tauhid
Menurut keterangan Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:
Tauhid terbahagi dua:
1. Tauhid atau Iman orang awam
2. Tauhid atau Iman Arifin @ Ahli Ma'rifat
Imam Ghazali Radhiallahu Anhu membahagikan orang beriman kepada 3 tingkatan. Tetapi apabila dihalusi dua tingkatan jua seperti keterangan Imam Jilani Radhiallahu anhu, kerana Tingkatan Iman Mutakallimin (ahli Ilmu Kalam) sama jua dengan Iman orang awam yang diliputi dengan waham, syak, zonn. (akan datang keterangan lanjut)
1. Tauhid atau Iman orang awam
2. Tauhid atau Iman Mutakallimin (Ilmu Kalam)
3. Tauhid atau Iman Arifin @ Ahli Ma'rifat
Bersambung siri 76 اِ نْ شَآ ءَ اللّه
____________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment