SIRI 76
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ
Fasal 7: Wahyu Pertama Iqra' dan Hubungannya dengan Syari'at dan Toriqat (Tasawwuf)
sambungan...
Kenyataan 6:
Wahyu Pertama Iqra' dan Ma'rifat
sambungan....
Penjelasan 4: Huraian ringkas dua tingkatan Tauhid
Iman Awam
Ini adalah tingkatan seseorang beriman pada Allah berdasarkan bukti keterangan @ dalil aqli (bukti terlihat pada alam) dan dalil naqli (dalil-dalil Al Qur'an, Hadith dan Ulama)
Dia percaya wujud Allah berdasarkan dalil-dalil Al Qur'an atau Hadith yang menyebut Wujud Allah. Atau dia yaqin berdasarkan bukti-bukti pemikiran aqal.
Iman Mutakallimin (Ahli Ilmu Kalam)
Ini adalah orang-orang yang beriman kepada Allah sama seperti kumpulan orang awam; iaitu berdasarkan bukti keterangan dan dalil-dalil juga. Tetapi mereka memerah pemikiran untuk mencari keyakinan berdasarkan dalil-dalil tersebut. Mereka memperdebatkan dalil-dalil tersebut untuk mencari keyakinan.
Menurut Imam Ghazali, golongan Mutakallimun ini tiada jauh bezanya dengan golongan Iman orang awam di atas kerana mereka semata-mata menggunakan daya fikir untuk mendapat keyakinan. Sedangkan aqal pemikiran terbatas kemampuannya untuk menjangkau ke alam Ghaib. Allah Ta'ala bersifat ghaib. Maka yang mengenal Allah adalah dengan suatu yang bersifat ghaib juga, iaitu hati.
Tauhid atau Iman Arif Billah
Tauhid atau Iman Ahli Ma'rifat adalah beriman kepada Allah dari penglihatan hati yang disucikan daripada sekalian aghyar (segala sesuatu selain Allah) bukan lagi semata-mata berdasarkan dalil-dalil atau hujjah-hujjah aqal tetapi dari penglihatan hati yang terbuka pandangannya kepada Allah.
Ini adalah tingkatan Iman yang tertinggi. Kemuncak Tauhid, kemuncak Maqam Ma’rifat Ketuhanan, kemuncak MengEsakan Allah Ta'ala dengan penyaksian kepada Tuhan Rabbul Jalil di Arasy-Nya Yang Maha Agung. Penyaksian ini kepada Hadratul Quddus (Hadrat Tuhan Yang Maha Suci) tanpa hijab apa pun. Sekalian tabir cahaya yang menghijabkannya telah terangkat, maka ruh hamba menyaksikan Zat Allah tanpa kaifiyyat (cara) dan tanpa asbab (sebab-sebab) dan tanpa burhan (keterangan dalil) apa pun, hanyasanya ia suatu penyaksian mutlak akan Zat Allah Yang "Laisa Kamithlihi Syai'un" (Tiada umpama sesuatu seperti-Nya).
Ertinya pertemuan itu suatu sangat Quddus (sucI), penuh Sirr (rahsia yang sangat rahsia), tersangat indah yang di luar dari bahasa kemanusiaan. Tiada lukisan dapat menggambarkannya , tiada lafaz dapat mengungkapnya, tiada aqal dapat memikirkannya… ia semata-mata “perhimpunan” antara kekasih (insan) dengan yang dikasihi (Tuhan Rabbul Jalil) yang dilimpahi kelazatan melebihi segala kelazatan yang dicipta oleh Allah di dunia…!
Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:
“Hal ini hanya dapat difahami oleh siapa yang sudah di-Anugerahi kefahaman oleh Allah hasil kesucian ruhaniyyahnya sempurna di dalam batinnya. Bagi orang yang terhijab (terhalang dari melihat) daripada rahsia-rahsia Ketuhanan ini, dia akan tinggal jahil selama tidak terarah kepada mensucikan kebatinannya.
[Sirrul Asrar]
Kata Imam Jilani lagi;
“Apabila matlamat tersebut dicapai dengan perasaan berdampingan dengan Allah, maka minda keduniaannya akan tunduk kepada perasaan yang timbul dari pencapaian matlamat tersebut. Maka hatinya akan merasa ta’jub (kehairanan), lidahnya kelu. Dia tiada upaya menceritakan keadaan ini kepada orang lain kerana Allah tidak serupa dengan segala sesuatu dan tiada dapat diibaratkan atau diumpamakan dengan sesuatu apa pun. Dia (Tuhan Rabbul Jalil) tidak ada sama-Nya; sesuai dengan apa yang di-Firmankan oleh-Nya di dalam Al-Qur’an : لَيْسَ كَمِثْلِهِۦ شَىْءٌ
“Tiada umpama sesuatu seperti-Nya”
[Sirrul Asrar]
Bersambung siri 77 اِ نْ شَآ ءَ اللّه
____________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment