Thursday, July 16, 2026

MENCARI MURSYID PEWARIS NABI YANG SEBENAR - FASAL 10

 بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



FASAL 10:

TINGKATAN PENCAPAIAN SALIKIN


10.9  Fakta-fakta Penting Maqam Tauhid Zat


 

Berikut adalah beberapa fakta penting berhubung dengan "Maqam Tauhid Zat" yang kami ringkaskan.  Ia amat berfaedah  bagi hamba-hamba Allah yang baru sampai ke “Maqam Tauhid Zat” agar mereka tetap waspada dengan Kurniaan Allah Yang Amat besar ini dan tidak "terbawa-bawa" oleh perasaan sendiri.

 

Selain itu fakta-fakta penting ini boleh dijadikan sebagai panduan dan pengetahuan umum bagi sekalian Salikin yang masih di dalam perjalanan kepada Allah.

 

Demikian lagi fakta-fakta ini juga berfaedah bagi orang awam yang masih tercari-cari “Jalan Ma’rifat” dan “Mursyid yang Siddiq” agar mereka tidak terpedaya dengan golongan ma’rifat PALSU seperti "golongan batiniah" atau "golongan hakikat palsu" atau “golongan Silat ma’rifat palsu” atau golongan-golongan lain yang hanya berpura-pura mencapai “ma’rifat” demi mencari kemasyhuran atau harta dan pangkat duniawi.  Mereka adalah golongan tertipu dengan nafsu dan bisikan Iblis.

 

Mereka mencemarkan nama “Ahli Ma’rifat”, “Ahli Sufi” dan “Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq”.  Orang awam yang jahil menyangka pendusta-pendusta tersebut sebagai “Ahli Ma’rifat”, “Ahli Sufi”, “Mursyid sebenar” lalu terjemurus kepada kesesatan.  Sebahagian cerdik pandai Agama juga tertipu dengan “penyamaran” golongan pendusta ini lalu menjadi penentang buta kepada Jalan Ma’rifat yang suci murni. Allah Penyelamat hamba-hamba Allah yang benar-benar mencari Jalan Kembali dengan hati yang Ikhlas.

 

Fakta 1 :  Maqam Tertinggi Tauhid atau Ma'rifat

Maqam Tauhid Zat adalah Maqam Tertinggi pada perjalanan menuju Allah, kembali kepada Allah sebagai hamba-Nya yang sejati, kembali kepada kesucian ruh sebagaimana keadaannya ketika dia di Alam Nur.  Di Alam Nur, setiap ruh insan adalah suci bersih, tiada noda dan tiada hijab.  Mereka melihat Allah Ta'ala tanpa sebarang hijab.

 

Ketika seseorang hamba Allah sampai ke Maqam Tauhid Zat, ruhnya bebas daripada keterikatan dengan jasad yang membalutinya, maka memandanglah ruh mereka kepada Zat Allah sebagaimana mereka pernah melihat Zat Allah ketika di alam Nur.

 

Firman Allah:

وَإِذۡ أَخَذَ رَبُّكَ مِنۢ بَنِىٓ ءَادَمَ مِن ظُهُورِهِمۡ ذُرِّيَّتَہُمۡ وَأَشۡہَدَهُمۡ عَلَىٰٓ أَنفُسِہِمۡ أَلَسۡتُ بِرَبِّكُمۡ‌ۖ قَالُواْ بَلَىٰ‌ۛ شَهِدۡنَآ‌ۛ أَن تَقُولُواْ يَوۡمَ ٱلۡقِيَـٰمَةِ إِنَّا ڪُنَّا عَنۡ هَـٰذَا غَـٰفِلِينَ

Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam dari (tulang) belakang mereka dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firman-Nya): Bukankah Aku Tuhan kamu?  Mereka semua menjawab: Bahkan (Benarlah Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi.  Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari Qiamat kelak:  Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini.

[Al-A'raf (7) : Ayat 172]

 

Ketahuilah...!

Inilah kemuncak Tauhid.  Iaitu ketika hati dan ruh seseorang hamba Allah (yang telah mujahadah dengan ikhlas dan sunggguh-sungguh pada Jalan-Nya) mencapai kesucian yang sempurna,  maka pada ketika itu ruhnya menghadap Allah sebagaimana ia melihat-Nya ketika di Alam Nur.  Hal inilah yang diisyaratkan oleh Junjungan Besar Rasulullah di dalam Hadith Jibril.

 

Rasulullah bersabda:

أَنْ تَعْبُدَ اللهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ

"(yang dikatakan Ihsan) ialah engkau beribadah kepada Allah seolah-olah engkau melihat-Nya.  Jika engkau tidak melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia (Allah) Melihat engkau"

[Imam Muslim, Imam Abu Dawud, Imam Tirmizi, Imam Ahmad]

 

Sesungguhnya, inilah kemuncak Tauhid, kemuncak mengenal Allah, kemuncak Ubudiyyah kepada Allah Ta'ala.  Iaitu ketika hati dan ruhnya benar-benar suci bersih daripada semua jenis kesyirikan, kekejian, dosa-dosa dan segala suatu selain Allah, maka ketika itulah sekalian hijab (dinding penghalang) terangkat dan dia melihat akan Zat Allah Yang Maha Agung - Zat Tuhan Yang Laisa Kamithilihi Syai'un (tiada umpama sesuatu seperti-Nya) melalui pancaran cahaya ruh (roh) dan sirrnya (rahsia Ketuhanan yang sangat dalam).   

 

Tiada yang mampu menyelami maksud "Ihsan" dan mencapai "Maqam Ihsan", (Maqam kesempurnaan Tauhid) ini melainkan mereka yang telah bersungguh-sungguh mujahadah pada Jalan Allah dan mematuhi syarat-syaratnya sebagaimana yang telah ditegaskan oleh sekalian Masyaikh Ahlus Sunnah.




...bersambung ke Fasal 10 :  Tingkatan Pencapaian Salikin

0.9  Fakta-fakta Penting Maqam Tauhid Zat - Fakta ke-2 :  Gelaran atau Nama lain

..........اِ نْ شَآ ءَ اللّه 


No comments:

Post a Comment

MENCARI MURSYID PEWARIS NABI YANG SEBENAR - FASAL 10

 بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ FASAL 10: TINGKATAN PENCAPAIAN SALIKIN ...