Friday, July 17, 2026

MENCARI MURSYID PEWARIS NABI YANG SEBENAR - FASAL 10

 بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



FASAL 10:

TINGKATAN PENCAPAIAN SALIKIN


10.9  Fakta-fakta Penting Maqam Tauhid Zat

sambungan....


Fakta ke-2 :  Gelaran atau Nama lain


Maqam Tauhid Zat yang sempurna dikenali dengan berbagai istilah lain, antaranya:

1.    Maqam Ihsan (sempurna melihat Zat Yang Maha Quddus)

2.      Maqam Taqwa (sebenar-benar Taqwa atau sempurna Taqwa)

3.      Maqam Ma'rifat (yang sempurna Ma'rifat)

4.      Maqam Wasil (sampai Hadratul Quddus)

5.   Maqam Kasyaf (yang sempurna terbuka kepada  Ketuhanan)

6.       Maqam Rijal (Lelaki Allah atau Pahlawan Allah)

7.       Maqam Baqa' (sempurna tetap berserta Allah)

8.       Maqam Khawasul Khawas (terlebih khusus)

9.       Maqam Auliya (Wakil dan Kekasih Allah)

10.  Maqam Sahabat atau Khalifah Rasul (Wakil Rasulullah)

 

Catitan ringkas bagi menjelaskan berbagai istilah ini:


1.   Maqam Ihsan

Hamba Allah yang sampai Maqam Tauhid Zat yang tahqiq dipanggil Muhsinin,   iaitu sempurna penyaksian mereka kepada Allah Ta'ala.  Mereka melihat Allah di dalam setiap ibadah.  Bahkan mereka tidak terpaling daripada memandang Wajah Allah pada setiap saat dan ketika.

Orang awam musykil, bagaimanakah mungkin hal ini terjadi?

 

Adakah mungkin seseorang menghadap makhluq dan pada waktu yang sama dia juga melihat Allah?

 

Jawapan:

Yang demikian merupakan Karomah yang Allah Kurniakan kepada Kekasih-Nya.  Mereka melihat dengan penglihatan Allah, atau dikatakan mereka memandang dengan Cahaya Rabbaniyyah (Cahaya Ketuhanan).                                

Kunci memahami hal ini pada Hadith Qudsi:

"..... فَإِذَا أَحْبَبْتُهُ كُنْتُ سَمْعَهُ الَّذِيْ يَسْمَعُ بِهِ وَبَصَرَهُ الَّذِيْ يُبْصِرُ بِهِ....."

"Maka Aku akan mencintainya dan apabila  Aku telah mencintainya maka Aku adalah pendengarannya yang dia gunakan untuk mendengar, penglihatannya yang dia gunakan untuk melihat..."

[Imam Bukhari]

 

2.   Maqam Taqwa

Hamba Allah ini dipanggil Muttaqin, iaitu Taqwa yang sempurna, mencapai Taqwa seperti yang di-Kehendaki Allah.  Permulaan Taqwa adalah pada Maqam Tauhid Af'al dan kesempurnaannya ketika Salikin sampai ke Maqam Tauhid Zat yang tahqiq.  Oleh kerana ini hamba Allah yang sampai ke Maqam Tauhid Zat dikatakan mencapai Maqam Taqwa yang sebenar-benar Taqwa.


3.   Maqam Ma'rifat

Hamba Allah yang sampai ke Maqam Tauhid Zat dikenali sebagai Arif Billah, iaitu Maqam Ma'rifat yang sempurna, penuh Ma'rifatnya kepada Allah.

Maksudnya adalah Ma'rifat yang dicapai oleh Salikin pada peringkat Af'al, Asma' dan Sifat belum cukup sempurna.  Mereka masih di peringkat latihan dan sedang di dalam proses membina keyakinan mereka kepada Allah. 

Walau bagaimanapun Salikin yang mencapai Maqam Tauhid Af'al saja pun sudah mencapai kedudukan yang tinggi di Sisi Allah, cahaya hati mereka memenuhi langit dan bumi.  Hal ini (hal Salikin yang mencapai Maqam Af'al) amat jauh beza dengan orang awam yang sentiasa bergelumang di dalam kesyirikan dan kekejian hati.

 

 4.   Maqam Wasil

Hamba Allah yang sampai ke Maqam Tauhid Zat yang tahqiq ini dipanggil Wasilin, iaitu orang yang sampai kepada Hadratul Quddus, "bertemu" Allah dan berkasih-kasih dengannya.

Penjagaan:  Maksud wasil (sampainya hamba kepada Hadrat Tuhan) di sini adalah bermaksud terangkat hijab-hijab hati hamba sehingga dia "Melihat Allah dari dalam hati" dan maksud "bertemu" adalah pertemuan ruh dengan Zat Allah yang Laisa Kamithlihi Syai'un tanpa kaifiyyat atau caranya, BUKAN bermaksud seperti sampainya makhluq menghadap makhluq, misalnya kamu katakan: "Si fulan sampai ke istana Raja dan bertemu Raja di singgahsananya"... TIDAK! Bukan demikian.


5.   Maqam Kasyaf

Hamba Allah ini dipanggil Ahli Kasyaf, dalam pengertian yang sempurna iaitu "terbuka" kepada melihat Allah Ta'ala dan juga terbuka kepada sekalian yang ghaib menurut Kehendak Allah (BUKAN KEHENDAK DIRINYA), sebagaimana yang telah dihuraikan sebelum ini.


6.   Maqam Rijal

Hamba Allah ini juga dikenali sebagai RijalullahRijalullah lazimnya ditafsirkan dengan makna "lelaki Allah", iaitu bersemangat waja, sentiasa mendahulukan Kehendak Allah mengatasi kehendak makhluq, sentiasa berada di hadapan di dalam Ketaatan dan Ubudiyyah kepada Allah.  Mereka menjunjung tinggi panji-panji Agama dan mempertahankan Allah dan Rasul-Nya.  Mereka inilah sebenar Pahlawan Allah di atas muka bumi.

 

7.   Maqam Baqa'

Hamba Allah ini dikatakan sampai ke Maqam Baqa' yang bermaksud di-Kurniakan ketetapan oleh Allah Ta'ala, kekal berserta Allah, tiada berubah-ubah lagi.  Inilah pengertian lain bagi maqam Istiqamah. 

Pegangan ini membenteras pendapat kaum Batiniah atau ilmu Haqiqat Palsu yang mendakwa diri mereka sudah kekal seperti Allah dan bebas daripada hukum Syara'.  Mereka ini adalah kaum zindiq yang jelas sudah terkeluar dari Agama.  Wal Iyazubillah.

 

8.   Maqam Khawasul Khawas

Hamba Allah ini dikatakan mencapai Maqam Khawasul Khawas, iaitu hamba-hamba Pilihan Allah yang sangat khusus daripada yang khusus, menjadi Kekasih-Nya.  Huraian lanjut sama seperti huraian berkenaan Maqam Auliya Allah peringkat tinggi.

 

9.   Maqam Auliya

Hamba Allah ini termasuk Auliya Allah, iaitu Wakil Allah dan kekasih-Nya atas muka bumi bagi memakmurkannya dengan Kalimah Allah.  Mereka bekerja dengan cara dan kaedah yang tidak difahami oleh kebanyakan manusia awam.  Zahir tubuh mereka di atas muka bumi sedang ruh mereka menghadap Allah tanpa sebarang kaifiyyat yang mampu dihuraikan dengan kata-kata.  Mereka menyebarkan Ilmu dan Cahaya Ketuhanan kepada seluruh dunia, khususnya kepada orang-orang beriman dengan Jalan rahsia yang di luar pengetahuan manusia awam.

 

10.   Maqam Sahabat atau Khalifah Rasul

Hamba Allah ini diberi gelaran "Sahabat Rasulullah " dan "Khalifah Rasulullah " disebabkan ketinggian Maqam Kurniaan Allah kepada mereka. Sesungguhnya mereka benar-benar menjadi Sahabat dan Wakil Rasulullah setelah ketiadaan Baginda kerana merekalah Pewaris dan Penyambung Warisan Suci Rasulullah . Allah Ta'ala meninggikan darjat mereka mengatasi manusia lain dan menjadikan mereka Pahlawan Islam.

 

Sabda Rasulullah .

“Dahulu kaum Bani Isra’il dipimpin oleh para Nabi.  Setiap seorang nabi meninggal dunia, maka diganti seorang nabi lainnya.  Maka sesungguhnya tidak ada nabi yang menggantikan setelah aku meninggal dunia, namun yang menggantikanku adalah khalifah-khalifah.  Maka mereka banyak mempunyai pengikut-pengikut”, Sahabat bertanya, “Wahai Rasul apakah yang engkau perintahkan pada kami?” Rasul menjawab, “Laksanakan bai’at seperti bai’at pertama kali di hadapan mereka dan tunaikan hak-hak mereka.  Kalian mintalah kepada Allah yang menjadi bagian kalian, karena Allah Ta’ala menanyakan tentang apa yang mereka pimpin.”

[Imam Bukhari, Imam Muslim]

Pengertian khusus istilah "Khalifah" dan "Sahabat" Rasul, adalah tertuju kepada orang-orang yang benar-benar beriman dengan Nabi dan berjuang bersama Nabi ketika hayat Baginda.  Namun pada pengertian umum, semua hamba-hamba Allah yang mencapai Maqam yang tinggi di Sisi Allah, memperoleh pancaran Nur Muhammad di dalam hati mereka, istiqamah mengikuti jejak Baginda zahir dan batin (Syari’at dan Toriqat) dan memperjuangkan Risalah Baginda adalah termasuk ke dalam pengertian "Khalifah" dan "Sahabat" Baginda. 

Dengan pentafsiran tersebut, kamu tentu sudah mendapat gambaran tepat berkenaan “Khalifah Rasulullah” – kesucian hati mereka, Ketaqwaan mereka, keperibadian mereka yang unggul, akhlaq mereka mencontohi Junjungan Rasulullah .

Maka tak mungkin yang dikatakan “Khalifah Rasulullah” itu seorang yang hipokrit, pentingkan diri, mengejar pangkat dan kemegahan duniawi, kedudukan dan lain-lain mengikut nafsu.  Maka ternafilah sekalian orang-orang bergelar “Amir” atau “Khalifah” atau “Pemimpin Ummat” tetapi pada hakikatnya mereka menuruti hawa nafsu, rakus, fasiq dan zalim.  Orang-orang seperti ini BUKAN “khalifah Rasulullah” meskipun mereka berbangga-bangga dengan gelaran tersebut dan duduk di kerusi empuk pemerintahan. Mereka hanyalah manusia-manusia fasiq yang menjual Agama.  Wal Iyazubillah.

 


...bersambung ke Fasal 10 :  Tingkatan Pencapaian Salikin

0.9  Fakta-fakta Penting Maqam Tauhid Zat - Fakta ke-3 :  Maqam Tauhid Zat bertingkat-tingkat

..........اِ نْ شَآ ءَ اللّه 


No comments:

Post a Comment

MENCARI MURSYID PEWARIS NABI YANG SEBENAR - FASAL 10

 بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ FASAL 10: TINGKATAN PENCAPAIAN SALIKIN ...