Wednesday, July 15, 2026

MENCARI MURSYID PEWARIS NABI YANG SEBENAR - FASAL 10

 بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



FASAL 10:

TINGKATAN PENCAPAIAN SALIKIN


10.7  Penjelasan Tauhid Tingkat Keempat – Maqam Tauhid Zat

 

Hamba Allah yang sampai ke Maqam ini diperlihatkan kepada wujud Zat Mutlaq, iaitu semata-mata Wujud Zat Allah sebelum diciptakan sekalian makhluq.  Mereka beriman kepada Allah dengan benar-benar melihat kepada Wajah ( Zat ) Allah Yang Laisa Kamithlihi Syai'un.  Mereka akan dibukakan haqiqat Firman Allah;

 

Firman Allah Ta'ala:

كُلُّ مَنْ عَلَيْهَا فَانٍ وَيَبْقَىٰ وَجْهُ رَبِّكَ ذُو ٱلْجَلاَلِ وَٱلإِكْرَامِ

"Segala suatu akan binasa. Dan Kekallah Zat Tuhanmu yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan"

[Ar-Rahman (55) : Ayat 26-27]

 

Firman Allah Ta'ala:

كُلُّ شَيْءٍ هَالِكٌ إِلاَّ وَجْهَه

"Segala sesuatu pasti binasa, kecuali Wajah (Zat) Allah"

[Al-Qasas (28) : Ayat 88]

  

Firman Allah Ta'ala:

وَقُلْ جَآءَ ٱلْحَقُّ وَزَهَقَ ٱلْبَاطِلُ إِنَّ ٱلْبَاطِلَ كَانَ زَهُوقاً

"Dan katakanlah: Telah datang Yang Haq dan hilang lenyaplah yang batil. Sesungguhnya yang batil itu sememangnya akan lenyap"

[Al-Israa (17) : Ayat 81]


Apabila dibukakan haqiqat Ayat-ayat suci  ini, maka nyatalah bagi mereka akan Haqiqat kewujudan Allah sebagai Tuhan Yang benar-benar Haq dan kewujudan makhluq yang pada haqiqatnya binasa atau tak wujud.  Maka penuhlah Tauhid di dalam diri mereka, menyaksikan Zat Allah yang Laisa Kamithilihi Syai'un, tanpa sebarang kaifiyyat atau cara yang dapat melafazkannya.


Pada peringkat awam, orang Islam lazimnya akan berkata begini:

"kehidupan makhluq itu hanyalah pinjaman", atau....

"kuasa makhluq hanya pinjaman" atau ....

"Nikmat yang ada pada makhluq hanya sementara" 

 

atau...

 

"Kewujudan makhluk adalah fana', sedangkan Allah itu baqa'.."

 dan lain-lain ungkapan seperti itu.

Sedangkan pada peringkat penyaksian Zat Allah, hamba-hamba Allah yang dibukakan Hijabnya, mereka benar-benar melihat dengan penyaksian hati, ruh dan sirriyah (rahsia Ketuhanan yang sangat dalam) bahawa sesungguhnya yang wujud hanya Zat Allah Yang Maha Agung sedangkan sekaliannya tak wujud pada haqiqatnya.  Zahirnya wujud, sedangkan hakikatnya "fana"  atau "binasa" atau "tak wujud".


Ahli Ma'rifat berikan beberapa tamsilan bagi memahami keadaan ini:

Tamsilan Pertama :  Cahaya matahari dengan cahaya pelita

Kamu menyalakan pelita di siang hari ketika matahari terik memancar.  Kamu hanya melihat cahaya matahari, sedang cahaya dari pelita tidak kelihatan, meskipun pada zahirnya pelita itu wujud dan cahaya pelita itu juga wujud, namun keduanya tenggelam atau hilang atau tak wujud pada padangan.  Maka kamu katakan : "Cahaya pelita" tak wujud dan "Pelita itu juga tak wujud" kerana dihilangkan oleh Cahaya Matahari yang terang.

Tamsilan Kedua :  Kayu dan bayang-bayangnya

Kamu pacakkan sebatang kayu ketika siang hari maka kelihatanlah “bayang-bayangnya".  Wujud bayang-bayang adalah kerana wujudnya kayu itu.  Apabila kayu itu dialihkan, maka hilanglah bayang-bayangnya.  Moga memperoleh faham.

 

Inilah Keimanan tertinggi, Maqam Tertinggi Tauhid kepada Allah.  Hamba-hamba Allah yang sampai peringkat ini tidak lagi dinamakan Salikin, tetapi mereka adalah Arifin atau disebut Arif Billah atau Ahli Ma'rifat yang sebenar. Maqam ini adalah Maqam khawasul-khawas terlebih khusus daripada yang khusus — Hanya Kurnia Allah kepada hamba-hamba-Nya yang mengabdikan diri dengan penyerahan penuh di dalam Persulukannya. Keyakinan hamba Allah ini dikenali sebagai Kamalul-Yaqin.  Keyakinan yang sempurna.

 




...bersambung ke Fasal 10 :  Tingkatan Pencapaian Salikin

10.8  Penjelasan Tauhid Tingkatan Kelima – Maqam Tajalli Zat

..........اِ نْ شَآ ءَ اللّه 





No comments:

Post a Comment

MENCARI MURSYID PEWARIS NABI YANG SEBENAR - FASAL 10

 بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ FASAL 10: TINGKATAN PENCAPAIAN SALIKIN ...