Monday, July 13, 2026

MENCARI MURSYID PEWARIS NABI YANG SEBENAR - FASAL 10

بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



FASAL 10:

TINGKATAN PENCAPAIAN SALIKIN


10.4  Penjelasan Tingkatan Tauhid Pertama – Maqam Tauhid Af’al


sambungan....


Tanda ke-13 :   Pegang Teguh Ahlus Sunnah


Hamba-hamba Allah yang diangkat oleh Allah kepada maqam Tauhid yang suci murni, akan tetap berpegang kepada Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang benar (tulen), kerana Ahlus Sunnah yang benar (tulen) adalah satu-satunya Jama’ah Warisan Rasulullah yang dijamin kebenaran dan keselamatannya.

 

Mereka sama sekali tidak akan menyeleweng kepada fahaman batil dan sesat. Mereka tidak akan jatuh kepada kelompok Syi'ah (rafidhi) atau Khawarij (wahhabiyyah) atau sekular (liberal) atau kelompok ilmu batiniah atau kelompok ilmu hakikat palsu atau kelompok-kelompok lain yang telah menyimpang dari Ahlus Sunnah.

 

Siapakah yang dikatakan Ahlus Sunnah?

 

Ahlus Sunnah Wal Jama’ah yang benar (tulen) adalah Jama’ah Warisan Rasulullah yang turun-temurun daripada Sahabat Ridhwanullah, kepada sekalian Pewaris Nabi berikutnya dan berikutnya berterusan terpelihara daripada penyelewengan sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah dan Rasul-Nya.

 

Firman Allah:

قُلْ هَـٰذِهِۦ سَبِيلِىٓ أَدْعُوٓا۟ إِلَى ٱللَّهِ ۚ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا۠ وَمَنِ ٱتَّبَعَنِى ۖ وَسُبْحَـٰنَ ٱللَّهِ وَمَآ أَنَا۠ مِنَ ٱلْمُشْرِكِينَ

“Katakanlah: ‘Inilah jalanku, yang aku dan orang-orang yang mengikuti daku menyeru (manusia) kepada Allah dengan basirah (penyaksian yang jelas, penyaksian mata hati).  Maha Suci Allah! Dan bukanlah aku dari golongan musyrikin”.

[Surah Yusuf (12) : Ayat 108]

 

Tafsiran:

 

Al-Imam Sulton Auliya,  Ghawthul A'zham Shaikh Muhyidddin Abdul Qodir Jilani Radhiallahu 'Anh mentafsirkan ayat tersebut dengan kata beliau:

"Dalam ayat ini yang dimaksud dengan "orang yang mengikuti daku" adalah manusia sempurna, Guru Kerohanian yang sebenar  yang akan datang selepas Nabi Muhammad   yang akan mewarisi ilmu batin Baginda dan kebijaksanaan Baginda dan yang akan berada hampir dengan Allah.  Manusia yang demikian digambarkan sebagai ‘pelindung dan pembimbing sebenar’. ( وَلِيًّا مُّرۡشِدً۬ا = Wali Mursyid).  [Surah al-Kahfi (18) : ayat 17] ".

[Tamat nukilan kitab : Sirrul Asrar Fi Ma Yahtaju Ilayhil Abrar]

 

Rasulullah     bersabda:

“Sebaik-baik manusia adalah generasi-ku kemudian orang-orang setelah mereka (yang telah mengikuti sahabat) kemudian orang-orang setelah mereka (yang mengikut atas orang yang mengikuti sampai silsilahnya kepada Rasulullah ).”

[Imam Bukhari, Imam Muslim]


Rasulullah     bersabda:

 “Aku berwasiat kepada kamu untuk mengikuti Sahabat-sahabatku, kemudian mengikuti orang-orang yang datang setelah mereka, kemudian mengikuti yang datang setelah mereka.”   Dan termasuk rangkaian hadith ini:  “Tetaplah bersama Al-Jama’ah dan jauhi perpecahan kerana syaitan akan menyertai orang yang sendiri.  Dia (syaitan) dari dua orang akan lebih jauh, maka barang siapa menginginkan tempat lapang di Syurga hendaklah dia berpegang teguh pada Al-Jama’ah”.

 [Iman Turmizi, Imam Haakim]


Apakah rahsia keselamatan salikin ini?

Rahsia teragung adalah Allah Ta'ala telah memperlihatkan kepada mereka kebenaran Mutlaq. Mereka diperlihatkan kepada haqiqat Rabbaniyyah (Ketuhanan), haqiqat Nubuwwah (Kenabian) sehingga bertemu Junjungan Rasulullah di dalam keadaan sedar (jaga), dan juga diperlihatkan haqiqat kehidupan dan kematian, haqiqat Dunia dan Akhirat, haqiqat Mahsyar dan Mizan,  haqiqat Syurga dan Neraka... sehingga hilanglah sekalian keraguan atau syak, sebaliknya penuh keyakinan yang tidak boleh digoncangkan.

Inilah bukti-bukti yang cukup banyak yang Salikin saksikan sendiri dan menghayatinya dari pandangan ainul yaqin (pandangan mata hati yang penuh yakin) tanpa sebarang syak atau keraguan apa pun bahawa satu-satunya jalan kebenaran dan keselamatan adalah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang dipimpin oleh sekalian Warisatul Anbiya (Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq) sepanjang zaman sampai Qiamat.


Tanda-tanda lain:

Selain daripada Tanda-tanda Utama Mu'min sejati seperti yang telah disebutkan, masih banyak lagi sifat-sifat kemuliaan dan kepujian lain yang bercabang-cabang daripadanya seperti berikut:

(1)         Berkata benar

(2)         Pemurah

(3)         Sabar

(4)         Wara'

(5)         Zuhud

(6)         Syukur Ni'mat Allah

(7)         Harap Rahmat Allah

(8)         Takut Kemurkaan Allah 

(9)         Baik sangka kepada Allah

(10)     Makmurkan rumah Allah

(11)     Berpada dengan yang ada

(12)     Damaikan antara manusia

(13)     Jaga lidah dari umpatan, caci maki

(14)     Jauhi dunia dan makhluq yang  merosak Iman

(15)     Kurang makan (tidak terlalu kenyang)

(16)     Kurang bercakap (yang sia-sia)

(17)     Tidak kejar kuasa dan pangkat

(18)     Baik sangka sesama makhluq

(19)     Jauhi fitnah, mengumpat

(20)     Sentiasa membantu manusia lain

(21)     Mengasihi faqir miskin, kanak-kanak, orang tua

(22)     Sentiasa kasih kepada ibu bapanya

(23)    Kasih sayang sesama Mu'min dan keras terhadap orang kafir

(24)     Kasihi sekalian Malaikat

(25)     Kasihi sekalian Auliya Allah

 

Demikianlah sifat-sifat kemuliaan dan kepujian yang akan terlihat pada hamba-hamba Allah yang sampai ke Maqam Mu'min sejati yang semuanya datang dalam bentuk "penghayatan hati dan ruh", bukan sekadar ucapan atau pengakuan lidah semata-mata dan bukan pula teori yang diulang-ulang.


Sifat-sifat kemuliaan ini tidaklah kami huraikan panjang lebar di sini kerana ianya sudah pun sebati di dalam pengertian " Tanda-tanda Mu'min sejati"  seperti yang telah dijelaskan.  Ertinya apabila seseorang mencapai hati yang suci murni serta memperoleh limpahan Nur Rabbaniyyah, dia telah pun di-Kurniakan oleh Allah Ta'ala dengan Tauhid hakiki dan sekalian sifat-sifat kemuliaan dan kepujian yang di Redhai-Nya menjadi penghayatan zahir dan batinnya tanpa perlu memaksa-maksa diri atau cuba-cuba melakukannya dengan daya fikir.

 

Sebahagian orang awam yang membaca keterangan di atas musykil dan berkata begini: 

"Bagaimanakah mungkin seseorang mampu memiliki demikian banyak sifat-sifat kemuliaan dalam bentuk "penghayatan" di dalam dirinya sekaligus? Itu mustahil.”  kata mereka.

Untuk persoalan ini kami menjawab:

"Semua itu bukan mustahil, bahkan sudah terbukti sepanjang sejarah Ummat ini, mulai dari para Sahabat Ridhwanullah, kemudian diikuti zaman-zaman kemudiannya telah lahir demikian banyaknya hamba-hamba Allah yang di-Kasihi-Nya, sebahagiannya mencapai Darjat Mu'min sejati dan sebahagian lagi ditingkatkan Darjat mereka lagi menjadi Kekasih Allah yang Khawasul-Khawas (Mu'min pilihan Allah yang terlebih khusus dari yang khusus).  Ertinya beberapa Darjat Mu'min sejati.  Merekalah yang di-Kurniakan oleh Allah dengan segala sifat-sifat kemuliaan dan kepujian yang di-Redhai-Nya.


Jika ada yang bertanya....

Apakah kelayakan mencapainya?

Adakah orang tertentu yang mempunyai kedudukan atau pangkat?

Atau orang bergelar profesor yang pandai syarah Agama?

 

 Jawapannya:

Sesungguhnya semua orang Islam mempunyai keluasan yang sama untuk menjadi Mu'min sejati ; baik lelaki mahupun wanita, tua mahupun yang masih muda, kaya atau miskin, profesor Universiti atau ilmuan biasa, dengan SYARAT:  Mereka mengikuti Jalan yang benar, Jalan Ma'rifat, Warisan Suci Rasulullah , berpegang teguh dan amalkan kedua-dua bahagian Agama  (Syari'at dan Toriqat Nabi yang sahih) dengan pimpinan Mursyid, Pewaris Nabi yang Siddiq (yang benar-benar menepati Syarat sebagai Pewaris Nabi). 

Mereka hendaklah bersedia tundukkan diri kepada Mursyid, Pewaris Nabi yang Siddiq untuk dipimpin.  Mereka mesti membuang segala ego kesombongan diri, sama ada mereka ilmuan Agama atau jutawan harta benda atau karyawan berpangkat menteri sehingga dia seorang Raja sekalipun, hendaklah bersedia menundukkan diri, buang segala keakuan diri  atau ego diri, moga Cahaya Rabbaniyyah masuk ke dalam hati dan terbuka pintu-pintu Tauhid yang hakiki atau menjadi Mu'min sejati.



...bersambung ke Fasal 10 :  Tingkatan Pencapaian Salikin

10.5  Penjelasan Tauhid Tingkatan Kedua – Maqam Tauhid Asma’

..........اِ نْ شَآ ءَ اللّه 




No comments:

Post a Comment

MENCARI MURSYID PEWARIS NABI YANG SEBENAR - FASAL 10

 بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ FASAL 10: TINGKATAN PENCAPAIAN SALIKIN ...