SIRI 418
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 5: Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq
Fasal 6: Tanda-Tanda Mursyid yang Siddiq
sambungan.....
Dalil bagi sekalian keterangan yang kami sebutkan di atas adalah seperti berikut:
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Orang yang terbaik di kalangan kamu ialah orang yang apabila dilihatnya, dapat mengingatkan kamu kepada Allah, percakapannya menambahkan ilmu kamu, perbuatannya (amalannya) mendekatkan kamu kepada akhirat.”
[Imam Al-Haakim]
Rasulullah ﷺ bersabda:
إِنَّ مِنْ النَّاسِ مَفَاتِيحَ لِلْخَيْرِ مَغَالِيقَ لِلشَّرِّ وَإِنَّ مِنْ النَّاسِ مَفَاتِيحَ لِلشَّرِّ مَغَالِيقَ لِلْخَيْرِ فَطُوبَى لِمَنْ جَعَلَ اللَّهُ مَفَاتِيحَ الْخَيْرِ عَلَى يَدَيْهِ وَوَيْلٌ لِمَنْ جَعَلَ اللَّهُ مَفَاتِيحَ الشَّرِّ عَلَى يَدَيْهِ
“Sesungguhnya ada sebahagian manusia menjadi kunci kebaikan dan penutup kejelekan, dan ada pula sebahagian manusia yang menjadi kunci kejelekan dan penutup kebaikan. Maka beruntunglah bagi siapa saja yang Allah jadikan kunci-kunci kebaikan berada di tangannya, dan celakalah bagi siapa saja yang Allah jadikan kunci-kunci kejelekan berada di tangannya.”
[Imam Ibnu Majah]
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Sebaik-baik kamu adalah apabila dia dilihat, membawa mengingat Allah.”
[Imam Ibnu Majah]
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Perbandingan teman duduk yang soleh dan buruk adalah seperti penjual minyak wangi dan tukang besi. Adapun penjual minyak wangi, boleh jadi ia akan memberikan kamu minyak wangi, atau kamu akan membeli darinya atau kamu akan mendapat bau harum darinya. Adapun tukang pandai besi, boleh jadi ia akan membuat pakaianmu terbakar, atau kamu akan mendapat bau yang tidak sedap darinya.”
[Imam Bukhari dan Imam Muslim ]
Hadith Rasulullah ﷺ ini mengandungi isyarah dan ibarah yang sangat bernilai kepada hal keadaan seseorang yang Di-Beri Kekuatan oleh Allah untuk menyebarkan dan melimpahkan kebaikan, iaitu melimpahkan Cahaya Ketuhanan, Cahaya Keimanan, Cahaya Tauhid kepada Ummat. Dan pada sudut yang berlawanan, satu golongan lain yang membawa kepada kerosakan, kegelapan dan kebinasaan Iman. Na'uzubillah.
Melalui Hadith Rasulullah ﷺ ringkas ini, Rasulullah ﷺ perintah kepada Ummat Baginda ﷺ agar mencari "tukang jual minyak wangi yang sebarkan wangian dan keindahan" dan jauhi "tukang penyebar kekotoran dan kebusukan".
Apakah isyarat Rasulullah ﷺ pada "Tukang menjual wangian"?
Apakah pula isyarat "Tukang besi"?
Minyak wangi adalah isyarat kepada kebaikan-kebaikan, keindahan, kesucian dalam Agama. Kebaikan PALING UTAMA dalam Agama adalah kebaikan pada mengenal Allah, keindahan Tauhid yang suci murni dan perlindungan dari gangguan bisikan atau was-was syaitan, nafsu rendah, makhluq dan dunia. Semua ini cuma ada pada Mursyid yang Siddiq.
Ini kerana Mursyid yang Siddiq adalah hamba Allah yang telah mengenal Allah dengan sebenar kenal. Allah Ta'ala telah menyucikan ruhnya dan sirrnya (rahsia yang sangat dalam). Mursyid yang Siddiq adalah hamba-hamba Allah yang telah Di-Angkat oleh Allah Ta'ala kepada Maqam Hadratul Quddus — Maqam menghadap Tuhan Yang Maha Suci, mereka menyaksikan Wajah Allah pada setiap ketika. Mereka Di-Anugerahkan oleh Allah Cahaya Ketuhanan yang tinggi untuk Di-Limpahkan kepada manusia. Mereka Di-Kurniakan oleh Allah berbagai kelengkapan senjata dan perisai untuk memerangi syaitan dan hapuskan bisikan was-was nafsu yang menentang Allah.
Siapa yang berada hampir dengannya (Mursyid yang Siddiq) akan memperoleh manfaat dunia akhirat. Apa lagi berserta dengannya. Apa lagi jika dia mampu karam di dalam Rabitah — ini terlebih besar manfaatnya untuk dunia akhirat. Dia akan memperoleh kebaikan TAUHID yang tinggi, dia akan MENDAPAT perlindungan dari gangguan syaitan dan was-was bisikan nafsu rendah. Dia akan mendapat bau wangian Keredhaan Allah.
Bersambung siri 419 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
___________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment