Sunday, April 26, 2026

SIRI 356


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH 


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 5: Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq

Fasal 3: Fakta-Fakta Penting Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq


Fakta 10 :  Mujaddid dan Mujtahid Lahir Dari Institusi Mursyid Pewaris Nabi Yang Siddiq


Seluruh angkatan Ulama Ahlus Sunnah Mu’tabar (yang silsilah mereka sampai kepada Rasulullah ﷺ) termasuk Ulama bertaraf Mujtahid dan Mujaddid  lahir dari Madrasah Mursyid atau dikenali juga sebagai Madrasah Ahli Sufi atau Madrasah Ahli Ma’rifat.  Setiap Mujtahid dan Mujadddid telah menempuh tarbiyyah Mursyidnya yang mempunyai Silsilah sampai kepada Rasulullah ﷺ.  Mereka telah menerima didikan Guru mereka yang benar-benar Arif pada waktu  yang panjang dan menempuh latihan keruhanian yang sangat keras.  


Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani, Imam Ghazali, Imam Fakhruddin Ar-Razi, Imam Syazili, Imam Ar-Rifai’e, Imam Asy-Sya’rani, Imam Qusyairi, Imam Rofie’, Imam Abu Hanifah (pendiri mazhab Hanafi), Imam Malik (pendiri mazhab Maliki), Imam Syafi’e (pendiri mazhab Syafi’e), Imam Ahmad Ibn Hanbal (pendiri mazhab Hambali), Imam Sayuthi, Imam Haythami _Ridhwanullah Alyaihi ajmai'n_ adalah di antara nama-nama besar di kalangan Ulama Ahlus Sunnah yang telah menerima didikan dan asuhan dari Mursyid mereka masing-masing sehingga mereka juga diangkat oleh Allah menjadi Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq. 


Maksudnya sekalian Ulama Ahlus Sunnah yang Mu’tabar yang telah memimpin Ummat Islam sepanjang zaman adalah kesemuanya Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq, kesemua mereka adalah Ahli Sufi, Ahli Ma’rifat, Auliya Allah.  Sebahagian dari mereka memperoleh Kurnia Allah yang lebih tinggi sehingga mencapai Darjat Mujtahid atau Mujaddid.  Maka kita katakan Mujtahid dan Mujaddid yang benar hanya wujud dikalangan Ahlus Sunnah dan kesemua mereka adalah Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq. 


Selain dari Ahlus Sunnah, orang-orang yang bergelar “Ulama” bukanlah Ulama pada haqiqatnya.  Mereka hanya “alim fiqh” atau “Ulama as-su” yang menjual Agama dengan habuan duniawi.  Mereka memutarbelitkan Ayat Allah dan mentafsirkannya menurut hawa nafsu dan bisikan syaitan.  

Wal Iyazubillah.


Fakta 11:   Berbagai Panggilan Kepada Mursyid


Sebagaimana kami menyebutnya dari awal Risalah ini, Mursyid yang Siddiq (Benar) adalah Pewaris Nabi yang sebenar, yang mewarisi Nabi zahir dan batin.  Mereka juga dikenali dengan istilah-istilah lain sesuai dengan Maqam dan Kelayakan yang Allah Ta’ala Kurniakan kepada mereka, iaitu : Khalifah Allah dan Khalifah Rasulullah  ﷺ (yang khusus di-Pilih oleh Allah), Sahabat, Ahli Sufi, Ahli Ma’rifat. 


Ertinya apabila disebut Ahli Sufi, maka yang dimaksudkan adalah Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq.  Merekalah Ahli Ma’rifat, Sahabat Rasulullah ﷺ  dan Khalifah Rasulullah  ﷺdi dalam pengertian yang luas.


Bersambung siri  357 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

___________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI     

     🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

SIRI 361 KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH  بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ...