SIRI 341
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 6: Rumusan Tingkatan Iman — Tauhid — Ma'rifat
Rumusan Ringkas Iman, Tauhid, Ma'rifat
Berikut adalah rumusan berkenaan Iman, Tauhid, Ma'rifat yang telah dibincangkan secara detail dalam bicara ini.
Rumus 1: Iman, Tauhid, Ma'rifat adalah Ni'mat Allah Teragung
Setelah meneliti penjelasan kami di atas, sepatutnya semua orang beriman mengetahui dan meyakini haqiqat terpenting dalam kehidupan sementara ini, iaitu:
Iman, Tauhid atau Ma'rifat adalah Ni'mat Teragung, khazanah paling utama, harta paling ternilai Kurniaan Allah kepada manusia.
Manusia yang memiliki Iman atau Tauhid atau Ma'rifat bererti dia sudah memiliki segalanya dan ketika dia kehilangan Iman, Tauhid, Ma'rifat... dia sudah kehilangan segalanya.
Firman Allah:
وَٱلۡعَصۡرِ (١) إِنَّ ٱلۡإِنسَـٰنَ لَفِى خُسۡرٍ (٢) إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلۡحَقِّ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلصَّبۡرِ (٣)
"Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh serta saling menasihati dengan kebenaran dan saling menasihati dengan kesabaran".
[Al-'Asr (103) : Ayat 1-3]
Rumus 2: Tingkatan Iman, Tauhid, Ma'rifat berbeza-beza
Setiap hamba Allah memiliki Keimanan yang berbeza-beza — daripada keimanan yang rendah sehingga setinggi-tingginya sampai Ma'rifat yang tinggi.
Berdasarkan Ahli Ma'rifat, secara umum orang-orang beriman masuk kepada salah satu daripada 3 tingkatan Keimanan:
Pertama : Iman orang awam
Kedua : Iman Salikin
Ketiga : Iman 'Arifin ('Arif Billah)
Rumus 3: Iman orang awam bercampur antara keimanan dan kesyirikan
Iman orang awam bermaksud:
Keimanan orang yang sentiasa campur aduk antara keimanan dan kesyirikan (Syirik Khafi).
Firman Allah:
۞ قَالَتِ الْأَعْرَابُ آمَنَّا ۖ قُلْ لَمْ تُؤْمِنُوا وَلَٰكِنْ قُولُوا أَسْلَمْنَا وَلَمَّا يَدْخُلِ الْإِيمَانُ فِي قُلُوبِكُمْ ۖ وَإِنْ تُطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ لَا يَلِتْكُمْ مِنْ أَعْمَالِكُمْ شَيْئًا ۚ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ
"Orang-orang "A`raab" (yang dimaksud adalah orang Badwi) berkata: Kami telah beriman. Katakanlah (wahai Muhammad): Kamu belum beriman, (janganlah berkata demikian), tetapi (sementara Iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu) berkatalah sahaja: Kami telah Islam dan (ingatlah), jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya (zahir dan batin), Allah tidak akan mengurangkan sedikitpun dari pahala amal-amal kamu, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".
[Al-Hujurat (49) : Ayat 14]
Sabda Rasulullah ﷺ:
"Wahai orang yang selamat lisannya tetapi hatinya tidak kemasukan Iman. Jangan kamu mencela kaum Muslimin dan jangan kamu mengintip rahsia mereka kerana orang yang mencari-cari rahsia saudara Muslimnya, nescaya Allah akan mengorek rahsianya dan memperlihatkan rahsianya itu, sekalipun dirinya berada di dalam rumahnya yang paling tertutup".
[Imam Dailami]
Rumus 4: Iman Alim Fiqh, Alim Usuluddin, Profesor — Iman orang awam
Termasuk di dalam kelompok Iman orang awam adalah orang Alim Fiqh, Alim Usuluddin, cerdik pandai Agama, Profesor Universiti... kesemua mereka ini yang hanya amalkan Syari'at Rasulullah ﷺ zahir (Fiqh sahaja) semata-mata sedangkan mereka abaikan Syari'at batin iaitu Toriqat Rasulullah ﷺ (Tasawwuf).
Mereka bergelumang di dalam Syirik Khafi (Tawakkal bil-makhluq, 'Ujub, Sum'ah, Riya', Takabbur), Mazmumah (Sifat keji dalam hati), Ghaflah (kelalaian), Aghyar (segala sesuatu selain Allah).
Mereka tak mampu keluar daripada Syirik Khafi disebabkan hati mereka diselaputi Hijab yang tebal.
Bersambung siri 342 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment