Thursday, April 23, 2026

SIRI 279


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH 




بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 4:  Tingkatan Iman

Fasal 4:  Huraian Iman Salikin



Penjelasan Tingkatan Tauhid Pertama – Maqam Tauhid Af’al

Sesungguhnya beruntunglah hamba-hamba Allah yang disucikan batinnya sehingga tercurah Nur Rabbaniyyah (Cahaya Ketuhanan) yang Tinggi ke dalam hatinya, sehingga diangkat ke Maqam Tauhid yang hakiki.  Tauhid yang hakiki ini disebut juga sebagai Iman Sejati atau Ma’rifat dan Ubudiyyah setulus hati. 


Inilah Tauhid dan Iman yang sebenar yang terbit dari hati yang benar-benar suci bersih dari segala bentuk kesyirikan atau mazmumah.  Hatinya bersinar bagaikan permata, memantulkan Cahaya Af’al, Asma’, Sifat dan Zat Allah.  Tauhid hakiki ini adalah semata-mata penghayatan hati dan ruh, dan BUKAN fiqir aqal.  Ia semata-mata pandangan mata hati hamba Allah yang terbuka kepada Ketuhanan yang Laisa-Kamithlihi-Syai’un (Tiada umpama sesuatu sepertinya).


Sebagaimana huraian kami terdahulu, Tauhid hakiki ini hanya akan dicapai oleh hamba-hamba Allah yang telah menempuh perjalanan jauh pada Jalan Ma'rifat (Manhaj Ahli Ma'rifat) dengan pimpinan Guru yang benar-benar 'Arif, iaitu Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (benar).  


Jika seseorang tidak menempuh jalan menuju Allah menurut Jalan _Ma'rifat_ dan tidak berpegang kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (benar) maka dia tidak akan mencapai Tauhid yang suci bersih ini.  Dia akan kekal sebagai orang awam dengan keimanan orang awam yang bergelumang di dalam kesyirikan — syirik khafi (syirik tersembunyi), mazmumah (kekejian hati), ghaflah (kelalaian), aghyar (selain Allah)!  Inilah hal keadaan kebanyakan orang Islam.  Keimanan mereka sentiasa bercampur aduk dengan segala macam kekufuran, sebahagiannya disedari dan sebahagian lagi berlaku tanpa disedari.  Walaupun mereka sedar akan segala macam kekotoran maknawiyyah berupa Syirik Khafi, mazmumah dan lain-lain, mereka tidak dapat keluar darinya kerana mereka tidak mempunyai jalan yang mampu keluarkan mereka daripada sekalian kekejian yang menghambat mereka!


Tanda Maqam Tauhid Af'al

Setiap orang yang sampai ke Maqam Tauhid Af'al, ada tandanya, yang akan dirasai sendiri.  Hamba-hamba Allah yang telah Di-Kurniakan oleh Maqam Tauhid ini akan merasai sendiri sejumlah bukti di dalam dirinya.  Hatinya dapat melihat dan merasai sendiri Kurnia Allah ini di dalam hatinya yang dipenuhi Cahaya gilang-gemilang.  


Berikut adalah tanda-tanda yang terang nyata menunjukkan seseorang telah sampai ke Maqam Tauhid Af'al.  


Bersambung siri 280 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

 ________________________________

  MAJLIS TAZKIRAH JILANI

        🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

SIRI 287 KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH  بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ...