SIRI 280
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 4: Huraian Iman Salikin
Penjelasan Tingkatan Tauhid Pertama Iman Salikin – Maqam Tauhid Af’al
Tanda-Tanda Maqam Tauhid Af'al
sambungan....
Tanda Pertama: Terbuka mata hati menyaksikan Af'al Allah
Hamba Allah yang sampai ke Maqam Tauhid pertama ini akan menyaksikan sekalian Af'al (Perbuatan) Allah dengan pandangan ainul-basirah (mata hatinya) yang terbuka kepada Ketuhanan. Dia akan diperlihatkan setiap yang bergerak atau diam pada haqiqatnya Af'al Allah. Dia akan diperlihatkan pada setiap saat berlakunya Taqdir Allah ke atas dirinya dan sekalian makhluq. Inilah permulaan Tauhid yang sebenar, Esakan Allah dengan pandangan mata hati yang jernih.
Ketika berada pada tingkatan orang awam, dia hanya mengenal Af'al Allah dengan aqalnya, iaitu teori dan hujjah yang diterima aqal, namun sekarang dia saksikan sendiri Af'al Allah melalui pandangan mata hatinya, iaitu penyaksian melalui Cahaya Ketuhanan yang terang-benderang yang terlimpah ke dalam hatinya. Ianya sebuah penghayatan hati dan ruh tanpa kaifiyyat atau cara untuk dikhabarkan.
Keyakinan yang terhasil dari pandangan _ainul basirah_ (mata hati) ini yang dinamakan Ainul-Yaqin, iaitu sebenar-benar yakin tanpa keraguan sedikit pun, keyakinan yang disaksikan dengan pandangan mata hati, keyakinan yang terbit dari cahaya hati yang terhubung kepada Cahaya Ketuhanan. Inilah keyakinan penuh — keyakinan 100% yakin tanpa sebarang keraguan. Sedangkan di peringkat orang awam, keyakinannya cuma di peringkat Ilmul-Yaqin sahaja, iaitu keyakinan bercampur keraguan — bercampur-campur antara syak, zonn, waham.
Perbandingan bagi memahami hal ini...
Misalnya seseorang meyakini "manis dan lazatnya buah durian" semata-mata berdasarkan khabar yang didengarinya atau teori atau _hujjah aqal_ yang diketahuinya sedangkan dia sendiri tak pernah melihat dan merasai kelazatannya, maka keyakinan seperti ini adalah kepercayaan yang rapuh, belum teguh, bercampur-campur dengan keraguan.
Amat jauhlah perbezaannya dengan orang yang benar-benar "melihat sendiri buah durian" dan "merasai sendiri isinya yang lazat", baginya tiada keraguan sedikit pun berkenaan "buah durian" dan "kelazatan rasanya" kerana dia sudah merasai sendiri akan kebenarannya, bukan sekadar pengetahuan aqal atau khayalan atau teori semata-mata.
Penyaksian kepada Af'al Allah dan Tauhid yang penuh yakin dalam hati dengan pandangan _Ainul-Yaqin_ ini adalah hasil terpenting dan tanda paling utama bagi orang yang sampai ke Maqam Tauhid pertama ini.
Firman Allah:
أَفَمَن شَرَحَ ٱللَّهُ صَدْرَهُۥ لِلْإِسْلَـٰمِ فَهُوَ عَلَىٰ نُورٍۢ مِّن رَّبِّهِۦ
“Apakah orang-orang yang dibukakan Allah hatinya (untuk) berserah diri lalu ia mendapat Cahaya dari Tuhannya (sama dengan orang yang tertutup mata hatinya?)”.
[Az-Zumar (39) : Ayat 22]
Bersambung siri 281 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
________________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment