SIRI 281
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 4: Huraian Iman Salikin
Penjelasan Tingkatan Tauhid Pertama: Iman Salikin – Maqam Tauhid Af’al
Tanda-Tanda Maqam Tauhid Af'al
sambungan....
Tanda ke-2: Musnah Syirik Khafi (syirik tersembunyi)
Di antara tanda-tanda yang menjadi keberuntungan bagi Salikin yang sampai ke Maqam Tauhid ini adalah terhapusnya sekalian Syirik Khafi, iaitu takabbur, riya', 'ujub, sum'ah dan lain-lainnya yang merosakkan Iman dan batalkan Ibadah.
Orang yang sampai ke Maqam Tauhid Af'al tidak akan ego, megah, sombong, _takabbur_ atau lainnya, sebaliknya semua kesyirikan (Syirik Khafi) itu musnah dengan sendirinya. Dia akan sentiasa merendah diri kepada sekalian hamba-hamba Allah. Meskipun dia hartawan atau jutawan atau cendekiawan atau Raja yang memerintah sekalipun, dia tidak akan membesarkan dirinya, sebaliknya sifat tawadhu' menguasai dirinya. Dia sentiasa menyedari kehinaan dirinya di hadapan Allah. Dia sedar segala harta, pangkat, kekayaan, kedudukan atau apa saja keistimewaan yang ada padanya bukan miliknya tetapi milik Allah Yang Maha Agung.
Orang Islam yang berada pada tingkatan awam seringkali tewas dengan nafsu kesombongan, iaitu takabbur, riya', 'ujub, sum'ah dan lain-lain terutama ketika mereka sedang melakukan kebaikan atau mencapai suatu kejayaan hidup atau mereka memiliki suatu keistimewaan atau mereka mempunyai pangkat, kedudukan, ketinggian di kalangan masyarakat.
Misalnya apabila mereka mengerjakan solat sunnat yang banyak atau sedekah, atau qiamullail yang banyak maka datanglah perasaan takabbur, riya', 'ujub, sum'ah, atau seseorang pelajar mencapai kejayaan cemerlang lalu datang perasaan hebat di dalam dirinya, atau seorang pensyarah, guru, pakar motivasi dan sebagainya mencapai kecemerlangan di dalam kerjaya masing-masing, lalu mereka merasai kemegahan di dalam diri mereka.
Setengah orang awam yang mempunyai kesedaran, cuba atasi masalah tersebut dengan berbagai cara. Kadangkala mereka cuba menafikan, namun sifat-sifat tersebut tetap datang menguasai mereka berulang-ulang. Kadangkala mereka berjaya menolak dengan cara menggagahinya iaitu buat-buat merendah diri atau buat-buat menghina diri, namun ianya sebentar sahaja, sifat-sifat tersebut kembali menguasainya.
Tetapi jauhnya perbezaan hal-ehwal orang awam ini dengan hamba-hamba Allah yang sudah sampai ke Maqam Tauhid yang hakiki. Bagi mereka semua macam kesyirikan (syirik khafi) musnah berkat Zikrullah dan mujahadah pada Jalan Ma'rifat dengan pimpinan Mursyid, Pewaris Nabi ﷺ yang Siddiq. Hati mereka yang sentiasa berzikir Allah Allah menolak semua macam kesombongan atau kesyirikan. Maka selamatlah Tauhid mereka daripada kerosakan.
Tanda ke-3: Musnah Sifat Mazmumah (kekejian)
Sesungguhnya sifat Mazmumah (sifat kekejian) menguasai hampir seluruh kehidupan orang Islam. Mereka sentiasa bergelumang dengan sifat-sifat kekejian — jahat sangka, hasad dengki, mengumpat, adu domba, tipu daya, fitnah dan lain-lain tanpa henti.
Namun Alhamdulillah, berkat didikan pada Jalan Ma'rifat, mereka akan menjadi hamba-hamba Allah yang suci bersih hatinya. Mereka akan dapat melepaskan diri daripada belenggu kekejian ini. Sekalian sifat-sifat kekejian akan hancur musnah apabila Cahaya Ketuhanan meliputinya.
Inilah hasil didikan pada Jalan Ma'rifat. Dan inilah setengah dari tanda menunjukkan seseorang yang telah sampai ke Maqam Tauhid Af'al.
Bersambung siri 282 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
________________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment