SIRI 234
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 3: Iman Orang Awam
Fakta-fakta Iman Orang Awam
Fakta ke-9: Perincian Syirik khafi ke-4: Ujub
Definisi 'Ujub
===========
Dari segi bahasa:
Perkataan 'ujub (عُجُبْ) berasal dari 'ajaba (عَجَبَ), ya'jubu (يَعْجُبُ), 'ujban (عُجْبًا) yang membawa maksud: takjub, hairan, perasaan kagum, perasaan megah.
Dari sudut istilah, 'Ujub (عُجُبْ) adalah suatu perasaan takjub, hairan, rasa hebat, rasa mulia, rasa sempurna dengan diri sendiri, serta rasa aman dengan wujud suatu kelebihan ni'mat pada dirinya.
Penjelasan:
=========
(1) 'Ujub (عُجُبْ) adalah satu lagi _syirik khafi_ (syirik tersembunyi) yang bersarang dalam hati manusia. Sama seperti Syirik khafi yang lain, ia hapuskan ibadah dan merosakkan keimanan.
(2) Mereka melihat kelebihan diri mereka dan lupakan kekuasaan Allah. Mereka lupa semua macam ni'mat, kelebihan, kebaikan yang ada pada diri mereka adalah Pemberian Allah. Akibatnya mereka berbangga-bangga, merasa diri sangat bagus, hebat dan cemerlang!
(3) Perbezaan utama Takabbur, Riya, Sum'ah dengan 'Ujub adalah:
Takbabbur, Riya dan Sum'ah berlaku apabila manusia hadir di hadapannya. Berbeza dengan 'Ujub, ia berlaku walaupun tiada siapa pun di hadapannya. Ertinya dia seronok-seronok sendiri, seorang diri!
(4) Tiada makhluq dapat mengesan kewujudan sifat keji ini, termasuk Malaikat pencatit amal. Malaikat hanya mencatit perkara-perkara zahir perlakuan manusia. Namun tiada suatu pun tersembunyi dalam pengetahuan Allah. Allah akan membuka rahsianya di Akhirat.
(5) Maksud ungkapan: "Rasa aman dengan wujud kelebihan pada diri" adalah: dia menganggap dirinya sudah selamat kerana amalnya yang banyak dan disangkanya sudah mendapat Keredhaan Allah. Orang ini akan tenggelam di dalam khayalan dan angan-angannya.
(6) Kebanyakan orang Islam yang terperangkap dalam sifat keji ini adalah terdiri daripada mereka yang mempunyai beberapa kelebihan dalam kekuatan fizikal tubuh, kekuatan kewangan (kaya-raya), memiliki ilmu yang banyak, kehebatan berpidato dan lain-lain.
Berkata Imam Ghazali Radhiallahu Anhu:
"Maka Haqiqat 'Ujub ialah rasa kagum, bangga, rasa besar diri sendiri kerana kewujudan sesuatu kelebihan seperti ilmu, amal ibadah, kekayaan, rupa paras atau lainnya, tanpa menyandarkan nikmat tersebut kepada Allah, sebaliknya menganggapnya hasil daripada keupayaan diri sendiri semata-mata".
[Ihya Ulumuddin]
Bersambung siri 235 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
_________________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment