Thursday, April 09, 2026

SIRI 196


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 4:  Tingkatan Iman


Fasal 3:  Iman Orang Awam


Fakta-fakta  Iman Orang Awam

sambungan....


Fakta 6:  Tidak khusyu' dalam Solat

Orang di peringkat awam iaitu Iman orang awam amat susah untuk khusyu' dalam Solat, kerana hatinya menerawang kepada hal-hal keduniaan yang sentiasa menghambatnya.  Hati mereka kekosongan dari mengingat Allah, atau amat sedikit mengingat Allah atau tiada langsung mengingat Allah kerana Hati mereka tidak terlatih dengan zikrullah. 


Orang awam belum mencapai tasawwuf (kesucian hati) yang membolehkan hati mereka khusyu'.  Akibatnya sewaktu solat, hati mereka merewang ke muka bumi, hati mereka di pasaraya, hati mereka di sekolah, hati mereka masyghul uruskan kerja pejabat, bergaduh sana sini dan segala macam gambaran hidup yang telah dilalui dalam kehidupan.  Bahkan sejarah hidup puluhan tahun yang lampau pun menjadi mainan dan wayang pemikirannya.


Walaupun mulut membaca Takbir membesarkan Allah, walaupun mulut membaca Tasbih, walaupun mulut membaca Tahmid, namun hati mereka tiada bersertanya.  Walaupun mereka ruku' dan sujud namun hati mereka tidak turut ruku' dan sujud.  Hati mereka leka menghadap dunia.  Hati mereka lalai dan sibuk dengan segala hiruk-pikuk dunia.  Ringkasnya ketika solat, mereka tidak menghadap Allah sebaliknya manghadap makhluq dan dunia. 


Inilah hal keadaan kebanyakan orang awam mengerjakan Solat...!  


Sebagaimana kami jelaskan sebelum ini, apabila disebut orang awam, ianya tidak terhad kepada orang jahil atau orang yang sedikit ilmu sahaja bahkan juga termasuk di dalam istilah orang awam adalah mereka yang banyak ilmu Agama (ilmu fiqh semata-mata), ustaz, kiyai, muallim yang hanya memiliki ilmu fiqh semata-mata sedangkan jiwa mereka kosong dari mengingat Allah, jiwa mereka tiada hakikat tasawwuf (kesucian hati).... sampailah kepada Profesor dan PhD dan Drs dan lain-lain peringkat sarjana atau bergelar Ulama alim fiqh sekalipun tetap juga tiada khusyu' di dalam solatnya....! 


Mengapa ustaz, muallim, kiyai, Profesor juga tidak dapat khusyu' dalam Solat?


Jawapannya : 

Ini terjadi kerana mereka hanya berpegang kepada ilmu dan amal zahir (fiqh) semata-mata, sementara ilmu dan amal yang berkaitan dengan batin hati — iaitu Toriqat Rasulullah ﷺ yang sahih diabaikan.  Maka tiadalah mereka memperoleh tasawwuf di dalam diri (kesucian hati) yang membolehkan mereka khusyu' di dalam solatnya.  Sedangkan khusyu' setengah daripada Syarat sah batin solat.  Barangsiapa tidak langsung Khusyu' dalam Solat, maka sia-sia solatnya. 


Firman Allah:


قَدۡ أَفۡلَحَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ (١) ٱلَّذِينَ هُمۡ فِى صَلَاتِہِمۡ خَـٰشِعُونَ (٢) 


"Sesungguhnya mencapai kemenangan (kejayaan, selamat) orang Mu'min, iaitu mereka yang khusyu' di dalam Solatnya."

[Al-Mu'minun (23) : Ayat 1-2]


Rasulullah ﷺ bersabda:

“Barang siapa menunaikan solat tepat pada waktunya dan melengkapkan ruku'nya, sujudnya dan khusyu', maka solat itu pun naik ke atas dalam keadaan putih dan cemerlang.  Solat itu berkata:  “Semoga Allah Ta'ala menjaga dirimu sebagaimana engkau menjaga aku (menyempurnakan syarat, rukun, khusyu' dan ikhlas).  Tetapi barang siapa yang kerjakan solat tidak dalam waktunya yang ditentukan dan tidak pula menyempurnakan wudhu'nya serta tidak pula melengkapkan ruku'nya, sujudnya dan tanpa khusyu' sama sekali, maka solat itu pun naiklah ke atas dalam keadaan hitam kelam sambil berkata:  “Semoga Allah Ta'ala mensia-siakan dirimu sebagaimana engkau mensia-siakan aku.  Selanjutnya setelah solat itu berada di suatu tempat seperti dikehendaki Allah Ta'ala, ia pun lalu dilipatkan sebagaimana dilipatnya baju yang koyak rabak kemudian dipukulkanlah kepada mukanya”. 

[Imam Thabrani dan Imam Baihaqi]


Bersambung siri 197 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

_______________________________ 

     MAJLIS TAZKIRAH JILANI     

           🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

SIRI 200 KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَة...